Klinik 1Malaysia yang diwujudkan di kawasan penempatan golongan
berpendapatan rendah dan sederhana misalnya di kawasan Projek Perumahan
Rakyat (PPR) telah pun meringankan beban rakyat untuk mengunjungi
klinik swasta.
SULAIMAN Awang, 72, sudah boleh menarik nafas lega. Dia tidak perlu
risau lagi tentang tempoh perjalanan kalau hendak pergi ke klinik.
Sebabnya sekarang dia hanya perlu berjalan kira-kira lima minit untuk
mendapatkan rawatan kesihatannya.
Klinik 1Malaysia yang diwujudkan di kawasan penempatan golongan
berpendapatan rendah dan sederhana seperti di kawasan Projek Perumahan
Rakyat (PPR) nyata meringankan beban rakyat biasa, terutama warga emas
seperti Sulaiman.
Klinik yang dibina di 50 buah lokasi di seluruh negara itu
dilancarkan secara serentak pada 7 Januari lalu. Sempena perasmian
secara besar-besaran, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah
berkunjung ke Klinik 1Malaysia di Kerinchi dan Lembah Subang sebagai
simbolik bermulanya operasi klinik secara rasmi.
Ia diperkenalkan bagi memudahkan golongan kurang mampu yang ingin
pergi ke hospital-hospital kerajaan, semata-mata mendapatkan rawatan
sebagai pesakit luar.
Bagaimanapun, Klinik 1Malaysia hanya menyediakan rawatan untuk
penyakit ringan seperti demam, selesema dan batuk. Selain itu, rawatan
untuk sakit kepala, cirit-birit, jangkitan mata merah, gastrik,
gatal-gatal, luka kecil dan sebagainya turut ditawarkan kepada orang
ramai.
Sulaiman yang tinggal di PPR Permai sebelum ini terpaksa berjalan
jauh ke klinik untuk mendapat rawatan. Dalam keadaan fizikal yang
semakin uzur, warga emas itu perlu meminta bantuan daripada sahabat
handai atau jiran tetangga untuk membawanya ke klinik swasta mahupun
hospital kerajaan yang terletak lebih setengah jam perjalanan dari
Kerinchi.
"Tempoh perjalanan sudah membuatkan saya rasa sangat penat. Sampai
klinik, saya perlu jalan lagi untuk dapat rawatan pesakit luar. Saya
sudah tua, tidak ada tenaga untuk berjalan, tetapi hendak buat macam
mana, kena hadapi juga semua ini.
"Bagusnya kerajaan bina klinik baru ini. Kawan yang beritahu ada
klinik untuk golongan sederhana seperti saya. Hati pun rasa senang dan
gembira," demikian luah Sulaiman ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Dia berjalan perlahan-lahan sambil memegang erat tongkat kayunya
menuju ke arah klinik yang bertempat di Kuarters Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL) berhampiran (PPR) Permai.
Pesara tentera yang telah menetap di PPR Permai sejak setahun lalu
itu, datang ke klinik kerana masalah sakit sendi yang sudah berlarutan
selama dua hari. Kawannya yang menyedari tentang kewujudan klinik itu
terus membawa Sulaiman ke sana. Klinik 1 Malaysia Kerinchi dikendalikan
oleh seorang Penolong Pegawai Perubatan (MA), dari Jabatan Kesihatan
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, jururawat terlatih dan pembantu
rawatan kesihatan.
Sebelum berjumpa dengan MA, pembantu rawatan kesihatan, Shazilah
Hasan membuat pemeriksaan awal ke atas Sulaiman. Klinik kecil itu turut
menyediakan pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah tinggi, paras
gula dalam badan dan berat badan ideal. Pemeriksaan mendapati tekanan
darah Sulaiman agak tinggi, mungkin kerana dia berjalan dalam cuaca
panas dan dinasihatkan untuk rehat buat seketika.
Setelah lebih kurang 15 minit berlalu, MA, Iszwan Cabrini Muhamad
memanggil Sulaiman untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Selepas selesai
pemeriksaan, Shazilah tampil untuk memimpin Sulaiman keluar dari bilik
pemeriksaan dan memberi ubat-ubatan yang sesuai kepadanya.
Selepas ini dia tidak perlu risau untuk mencari klinik di tempat lain
jika menghadapi kecemasan. Pada masa yang sama, dia tidak bimbang akan
bayaran kerana kosnya jauh lebih murah berbanding klinik swasta.
Sungguhpun murah, layanan dan rawatan boleh dipercayai sama seperti perkhidmatan yang disediakan di hospital atau klinik lain.
Klinik 1Malaysia yang beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam hanya mengenakan bayaran RM1 kepada pesakitnya.
Bagi pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi
Pelarian (UNHCR) akan dikenakan caj sebanyak RM7.50 dan warga asing pula
perlu membayar RM15.
Pengecualian diberi kepada kakitangan kerajaan yang membawa surat
dari jabatan, pelajar sekolah, kolej dan universiti yang mempunyai surat
pengecualian serta kanak-kanak berusia bawah setahun.
Sebanyak 50 buah klinik yang dibuka terletak di seluruh negara. Lima
buah di Pulau Pinang, Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor. Empat
buah klinik di Perak, Sabah dan Sarawak. Tiga klinik sama pula
beroperasi di Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan.
Selain dua buah di Kedah dan sebuah klinik di Perlis. Kerajaan telah
membelanjakan kos sebanyak RM10 juta untuk membina semua klinik
tersebut.
Sementara itu, Thanaletchumy Sundaraj, 41, yang datang ke klinik itu
mengakui pembukaan Klinik 1Malaysia berhampiran tempat tinggalnya memang
memudahkan hidupnya. Dia yang menghidap penyakit lelah sering juga
mengalami selesema dan batuk. Kalau keadaannya serius, hendak pergi ke
klinik swasta bukan sahaja jauh, cajnya juga mahal.
"Sejak dahulu lagi, saya sering terfikir akan kebaikan adanya
kemudahan klinik seperti ini. Tidak disangka hasrat yang lama terpendam
akhirnya menjadi kenyataan dengan pembukaan Klinik 1Malaysia di seluruh
Malaysia.
"Kami yang tinggal berhampiran bandar pun tetap berasa perit kerana
sukar mendapatkan rawatan untuk masalah kesihatan biasa. Bagi mereka
yang tinggal di luar bandar, nasib mereka mungkin lebih membimbangkan,"
jelas ibu kepada empat orang anak itu yang tinggal di PPR Permai sejak
lapan tahun lalu.
Seorang lagi pengunjung yang dikenali sebagai Azlin Sari, 30,
memberitahu dia datang dari Melaka untuk menziarah saudaranya di
Kerinchi. Dia cukup tertarik dengan reka bentuk dan suasana klinik
berkenaan. Walaupun ruang klinik terhad, tetapi ia masih dapat memenuhi
keperluan orang ramai.
"Penubuhan klinik seperti ini secara tidak langsung mampu
meningkatkan kualiti kesihatan masyarakat setempat dan menyedarkan
mereka tentang kepentingan penjagaan kesihatan. Ini kerana penyakit
boleh menjangkiti kepada sesiapa tanpa mengira umur, pangkat, bangsa dan
agama.
"Penyakit kecil-kecil seperti demam, batuk, selesema dan cirit-birit
boleh mengundang kepada pelbagai penyakit kronik yang membahayakan nyawa
seseorang," ujarnya yang bersetuju bahawa inisiatif kerajaan dalam
menitikberatkan kebajikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana
adalah satu langkah positif dalam melaksanakan tanggungjawab sosial
kepada rakyat jelata.
Iszwan Cabrini Muhamad memberitahu, klinik itu dilengkapi dengan
kemudahan asas rawatan. Misalnya, set memeriksa tekanan darah, troli
kecemasan, sofa pemeriksaan, nebuliser dan ECG (mesin kardiogram
elektro). Turut disediakan, risalah-risalah kesihatan untuk bacaan orang
ramai.
Katanya, angka kunjungan orang ramai ke klinik di Kerinchi itu sudah
pun mencecah kira-kira 100 orang setiap hari. Kadangkala, bilangan yang
ramai membuatkan mereka terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan
rawatan.
Ada juga pesakit yang mencadangkan supaya klinik itu menawarkan
rawatan untuk penyakit kronik dan mewujudkan kemudahan ambulans jika
berlaku kes-kes kecemasan.
Selain merawat penyakit-penyakit tidak serius, dia juga perlu
mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) untuk merawat para pesakit.
Pada masa yang sama, harus mendidik para pesakit mengenai kepentingan
kesihatan untuk kesejahteraan hidup mereka. Dengan ini, orang ramai
lebih peka terhadap kesihatan dan mengutamakan gaya hidup yang sihat.
No comments:
Post a Comment