Halaman

Google
 



Thursday, January 14, 2010

Klinik 1Malaysia | Pusat Rawatan Alternatif Rakyat

Klinik 1Malaysia yang diwujudkan di kawasan penempatan golongan berpendapatan rendah dan sederhana misalnya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah pun meringankan beban rakyat untuk mengunjungi klinik swasta.


SULAIMAN Awang, 72, sudah boleh menarik nafas lega. Dia tidak perlu risau lagi tentang tempoh perjalanan kalau hendak pergi ke klinik. Sebabnya sekarang dia hanya perlu berjalan kira-kira lima minit untuk mendapatkan rawatan kesihatannya. 

Klinik 1Malaysia yang diwujudkan di kawasan penempatan golongan berpendapatan rendah dan sederhana seperti di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) nyata meringankan beban rakyat biasa, terutama warga emas seperti Sulaiman. 

Klinik yang dibina di 50 buah lokasi di seluruh negara itu dilancarkan secara serentak pada 7 Januari lalu. Sempena perasmian secara besar-besaran, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berkunjung ke Klinik 1Malaysia di Kerinchi dan Lembah Subang sebagai simbolik bermulanya operasi klinik secara rasmi.

Ia diperkenalkan bagi memudahkan golongan kurang mampu yang ingin pergi ke hospital-hospital kerajaan, semata-mata mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Bagaimanapun, Klinik 1Malaysia hanya menyediakan rawatan untuk penyakit ringan seperti demam, selesema dan batuk. Selain itu, rawatan untuk sakit kepala, cirit-birit, jangkitan mata merah, gastrik, gatal-gatal, luka kecil dan sebagainya turut ditawarkan kepada orang ramai. 

Sulaiman yang tinggal di PPR Permai sebelum ini terpaksa berjalan jauh ke klinik untuk mendapat rawatan. Dalam keadaan fizikal yang semakin uzur, warga emas itu perlu meminta bantuan daripada sahabat handai atau jiran tetangga untuk membawanya ke klinik swasta mahupun hospital kerajaan yang terletak lebih setengah jam perjalanan dari Kerinchi. 

"Tempoh perjalanan sudah membuatkan saya rasa sangat penat. Sampai klinik, saya perlu jalan lagi untuk dapat rawatan pesakit luar. Saya sudah tua, tidak ada tenaga untuk berjalan, tetapi hendak buat macam mana, kena hadapi juga semua ini.

"Bagusnya kerajaan bina klinik baru ini. Kawan yang beritahu ada klinik untuk golongan sederhana seperti saya. Hati pun rasa senang dan gembira," demikian luah Sulaiman ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. 

KLINIK 1Malaysia di Kerinchi ini merupakan salah satu daripada 50 buah klinik yang dilancarkan secara serentak di seluruh negara pada 7 Januari ini.


Dia berjalan perlahan-lahan sambil memegang erat tongkat kayunya menuju ke arah klinik yang bertempat di Kuarters Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhampiran (PPR) Permai. 

Pesara tentera yang telah menetap di PPR Permai sejak setahun lalu itu, datang ke klinik kerana masalah sakit sendi yang sudah berlarutan selama dua hari. Kawannya yang menyedari tentang kewujudan klinik itu terus membawa Sulaiman ke sana. Klinik 1 Malaysia Kerinchi dikendalikan oleh seorang Penolong Pegawai Perubatan (MA), dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, jururawat terlatih dan pembantu rawatan kesihatan. 

Sebelum berjumpa dengan MA, pembantu rawatan kesihatan, Shazilah Hasan membuat pemeriksaan awal ke atas Sulaiman. Klinik kecil itu turut menyediakan pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah tinggi, paras gula dalam badan dan berat badan ideal. Pemeriksaan mendapati tekanan darah Sulaiman agak tinggi, mungkin kerana dia berjalan dalam cuaca panas dan dinasihatkan untuk rehat buat seketika. 

Setelah lebih kurang 15 minit berlalu, MA, Iszwan Cabrini Muhamad memanggil Sulaiman untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Selepas selesai pemeriksaan, Shazilah tampil untuk memimpin Sulaiman keluar dari bilik pemeriksaan dan memberi ubat-ubatan yang sesuai kepadanya. 

Selepas ini dia tidak perlu risau untuk mencari klinik di tempat lain jika menghadapi kecemasan. Pada masa yang sama, dia tidak bimbang akan bayaran kerana kosnya jauh lebih murah berbanding klinik swasta. 

Sungguhpun murah, layanan dan rawatan boleh dipercayai sama seperti perkhidmatan yang disediakan di hospital atau klinik lain.
PEMBANTU Rawatan Kesihatan, Shazilah Hasan membuat pemeriksaan awal ke atas Sulaiman Awang.


Klinik 1Malaysia yang beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam hanya mengenakan bayaran RM1 kepada pesakitnya.

Bagi pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) akan dikenakan caj sebanyak RM7.50 dan warga asing pula perlu membayar RM15. 

Pengecualian diberi kepada kakitangan kerajaan yang membawa surat dari jabatan, pelajar sekolah, kolej dan universiti yang mempunyai surat pengecualian serta kanak-kanak berusia bawah setahun. 

Sebanyak 50 buah klinik yang dibuka terletak di seluruh negara. Lima buah di Pulau Pinang, Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor. Empat buah klinik di Perak, Sabah dan Sarawak. Tiga klinik sama pula beroperasi di Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan. Selain dua buah di Kedah dan sebuah klinik di Perlis. Kerajaan telah membelanjakan kos sebanyak RM10 juta untuk membina semua klinik tersebut. 

Sementara itu, Thanaletchumy Sundaraj, 41, yang datang ke klinik itu mengakui pembukaan Klinik 1Malaysia berhampiran tempat tinggalnya memang memudahkan hidupnya. Dia yang menghidap penyakit lelah sering juga mengalami selesema dan batuk. Kalau keadaannya serius, hendak pergi ke klinik swasta bukan sahaja jauh, cajnya juga mahal. 

"Sejak dahulu lagi, saya sering terfikir akan kebaikan adanya kemudahan klinik seperti ini. Tidak disangka hasrat yang lama terpendam akhirnya menjadi kenyataan dengan pembukaan Klinik 1Malaysia di seluruh Malaysia. 

"Kami yang tinggal berhampiran bandar pun tetap berasa perit kerana sukar mendapatkan rawatan untuk masalah kesihatan biasa. Bagi mereka yang tinggal di luar bandar, nasib mereka mungkin lebih membimbangkan," jelas ibu kepada empat orang anak itu yang tinggal di PPR Permai sejak lapan tahun lalu.

PEMERIKSAAN dan rawatan di Klinik 1Malaysia jauh lebih murah berbanding klinik kesihatan dan swasta yang sedia ada.


Seorang lagi pengunjung yang dikenali sebagai Azlin Sari, 30, memberitahu dia datang dari Melaka untuk menziarah saudaranya di Kerinchi. Dia cukup tertarik dengan reka bentuk dan suasana klinik berkenaan. Walaupun ruang klinik terhad, tetapi ia masih dapat memenuhi keperluan orang ramai. 

"Penubuhan klinik seperti ini secara tidak langsung mampu meningkatkan kualiti kesihatan masyarakat setempat dan menyedarkan mereka tentang kepentingan penjagaan kesihatan. Ini kerana penyakit boleh menjangkiti kepada sesiapa tanpa mengira umur, pangkat, bangsa dan agama.

"Penyakit kecil-kecil seperti demam, batuk, selesema dan cirit-birit boleh mengundang kepada pelbagai penyakit kronik yang membahayakan nyawa seseorang," ujarnya yang bersetuju bahawa inisiatif kerajaan dalam menitikberatkan kebajikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana adalah satu langkah positif dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada rakyat jelata. 

Iszwan Cabrini Muhamad memberitahu, klinik itu dilengkapi dengan kemudahan asas rawatan. Misalnya, set memeriksa tekanan darah, troli kecemasan, sofa pemeriksaan, nebuliser dan ECG (mesin kardiogram elektro). Turut disediakan, risalah-risalah kesihatan untuk bacaan orang ramai.

Katanya, angka kunjungan orang ramai ke klinik di Kerinchi itu sudah pun mencecah kira-kira 100 orang setiap hari. Kadangkala, bilangan yang ramai membuatkan mereka terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan. 

Ada juga pesakit yang mencadangkan supaya klinik itu menawarkan rawatan untuk penyakit kronik dan mewujudkan kemudahan ambulans jika berlaku kes-kes kecemasan. 

Selain merawat penyakit-penyakit tidak serius, dia juga perlu mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) untuk merawat para pesakit. Pada masa yang sama, harus mendidik para pesakit mengenai kepentingan kesihatan untuk kesejahteraan hidup mereka. Dengan ini, orang ramai lebih peka terhadap kesihatan dan mengutamakan gaya hidup yang sihat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...