KOTA BHARU 18 Jan. - Konsep penjagaan kejururawatan di rumah atau home care nursing
(HCN) perlu dibangunkan kerana boleh menjadi barisan hadapan paling
efektif dalam sistem kesihatan sekali gus mengelak bebanan berterusan
kepada perkhidmatan hospital.
Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Datuk Dr. Zaidun
Kamari berkata, biarpun perkhidmatan hospital kerajaan di negara ini
sudah mencapai tahap antarabangsa, namun masih ketinggalan dalam
pelaksanaan HCN.
Beliau berkata, HCN adalah satu bentuk perkhidmatan luar hospital
yang menumpukan kepada rawatan di rumah atau pusat komuniti oleh
jururawat berkelayakan yang mampu memberi nasihat dan rawatan awal
kepada pesakit tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan di
hospital.
"Perkhidmatan HCN penting bagi membantu pesakit kronik seperti
kanser, golongan tua terlantar dan pesakit lain seperti kanak-kanak yang
mengalami masalah cerebral palsy dan sebagainya.
"Beban kini banyak ditanggung oleh hospital kerana sistem HCN kita
masih belum mantap, bilangan sukarelawan dalam bidang ini masih sedikit
dan penglibatan pihak swasta juga terhad.
"Malah jika dibandingkan dengan negara maju, kerjaya sebagai
jururawat HCN sudah menjadi satu pengkhususan dengan bilangan mereka
mewakili peratus yang signifikan daripada keseluruhan jururawat,"
katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan HCN yang dihadiri
lebih 200 peserta dari seluruh negara, di sini hari ini.
Persidangan julung kali anjuran Jabatan Kesihatan negeri, USM dan
Pertubuhan St. John Ambulance Malaysia negeri itu bertujuan berkongsi
maklumat dan pengalaman selain mendapat input terkini pengendali
perkhidmatan HCN dari dalam dan luar negara.
Sementara itu, pengerusi persidangan yang juga pemegang geran
Kementerian Pendidikan bagi penyelidikan HCN untuk pesakit kurang
berkemampuan, Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin berkata, perkembangan HCN
di negara seperti Jepun melonjak apabila kerajaan negara itu memperkenal
pelbagai akta pada tahun 2000 yang mengawal selia sekali gus menggalak
pertumbuhan banyak pusat komuniti HCN.
Beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 6,000 pusat HCN di
Jepun dengan bilangan jururawat sehingga 180,000 manakala di United
Kingdom pula sebanyak 2,000 pusat dengan 60,000 jururawat HCN yang
melakukan kunjungan berkala ke rumah pesakit.
"Kita boleh dikatakan masih merangkak dalam bidang ini berbanding
negara maju yang mempunyai sistem kesihatan yang disokong oleh
pembiayaan insurans untuk menampung kos penjagaan dan rawatan.
"Apa yang boleh kita lakukan sekarang adalah menggalakkan lebih ramai
penyertaan sukarelawan HCN, namun mereka juga perlu sokongan dari sudut
peralatan dan sebagainya.
"Kesedaran tentang pentingnya HCN bukan setakat boleh memberi manfaat
kepada pesakit tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada lulusan
kejururawatan tempatan yang kini berlambak di pasaran agar tidak
tertumpu kepada perkhidmatan di hospital dan klinik sahaja," katanya.