MASIH segar lagi di memori penulis tatkala dimasukkan ke salah sebuah
hospital swasta dua tahun lalu gara-gara masalah jangkitan paru-paru
sehingga disyaki menghidap tibi dan wabak Influenza A (H1N1).
Keadaan tersebut menyebabkan penulis dikuarantin dalam bilik
berasingan daripada pesakit lain. Malah, tiada pelawat dibenarkan
melawat kerana khuatir berlaku sebarang jangkitan sekali gus menyebabkan
penyebaran wabak.
Namun ketika itu, beberapa wanita tanpa rasa takut berulang kali singgah ke wad penulis.
Mereka mencucuk hidung penulis dengan alat ujian influenza, mengambil
darah dan menenangkan penulis yang bimbang apabila batuk tidak juga
beransur pulih.
Sanggup mengambil risiko demi menjaga pesakit di hospital, mereka
merupakan individu yang memikul tanggungjawab besar menerusi profesion
jururawat.
Ya, memang benar mereka dibayar gaji untuk melakukan itu semua, namun
risiko dan pengorbanan yang dilakukan terlalu besar untuk ditukar
dengan wang.
Sejajar dengan pengorbanan mereka, maka selayaknya jururawat di
seluruh dunia diraikan pada hari istimewa iaitu Hari Jururawat Sedunia
yang disambut pada tanggal 12 Mei setiap tahun.
Tarikh keramat tersebut turut diisytiharkan sebagai Hari Jururawat
Malaysia oleh kerajaan bagi mengiktiraf sumbangan jururawat yang
berterusan terhadap sektor penjagaan kesihatan di negara.
Tidak dinafikan bahawa jururawat yang disifatkan sebagai nadi
hospital menempuh pelbagai cabaran sepanjang menggalas tanggungjawab
menjaga pesakit.
Pelbagai ragam pesakit sudah menjadi rencah dalam perjalanan kerjaya mereka.
Bagi jururawat kanan Lee Soon Chai, 37, yang sudah 13 tahun
bertugas di suite bersalin Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), hatinya
terusik untuk menjadikan jururawat sebagai kerjayanya apabila melihat
layanan penuh ikhlas jururawat ketika ayahnya dimasukkan ke hospital.
"Sejak situ, minat dalam bidang ini terus mekar dan saya mengambil
keputusan mendalami bidang kejururawatan selepas tamat tingkatan lima.
Saya belajar selama tiga tahun di Kolej Kejururawatan Pantai sebelum
memulakan perkhidmatan di sini.
"Saya suka jadi bidan kerana dapat melihat bayi dilahirkan setiap
hari. Seronok apabila dapat berkongsi kegembiraan dengan ibu-ibu yang
bersalin di sini," kata ibu kepada dua orang anak yang berasal dari
Raub, Pahang itu.
Selain berkongsi kegembiraan, Soon Chai juga turut merasai kesedihan
saat si ibu kehilangan bayi akibat komplikasi kelahiran, namun dia tidak
boleh terbawa-bawa dengan kesedihan tersebut kerana emosi si ibu harus
dijaga.
Adakalanya, hubungan Soon Chai dengan para ibu tidak terhenti di
hospital sahaja kerana keakraban tersebut bertukar menjadi kawan.
"Ada juga ibu membawa anaknya yang sudah besar ke sini dan memperkenalkannya kepada kami.
"Melihat ibu dan bayi pulang dengan sihat adalah satu kegembiraan
yang tidak ternilai buat saya," ujarnya yang merupakan salah seorang
yang mendapat anugerah jururawat terbaik sempena sambutan Hari Jururawat
PHKL baru-baru ini.
Ketika ditebak soalan mengenai pengalaman dimarahi pesakit, Soon Chai
memberitahu itu merupakan perkara biasa dalam diari seorang jururawat.
"Tidak perlu terasa hati dengan pesakit, kerana emosi mereka tidak
stabil berikutan masalah kesihatan yang dihidapi," katanya sambil
tersenyum.
Ikhlas bekerja
Dalam pada itu, rakannya, Nur Zuriah Azahari, 30, yang
bertugas di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) PHKL memberitahu, walaupun
masanya bersama keluarga terhad, namun, dia sangat gembira menggalas
tanggungjawab sebagai jururawat.
Jururawat kanan yang merupakan ibu kepada dua anak itu pernah meraih
pengalaman profesion lain, namun akhirnya kerjaya sebagai jururawat
begitu serasi dengan jiwa Nur Zuriah.
"Setiap hari, saya tidak sabar untuk pergi bekerja melihat keadaan kesihatan 'anak-anak' saya di hospital.
"Paling menyedihkan apabila bayi pramatang yang dijaga dalam tempoh
empat hingga enam bulan meninggal dunia akibat masalah komplikasi
kesihatan," katanya yang berasal dari Durian Tunggal, Melaka.
Tambahnya, walaupun bertugas di NICU, tugasnya tidak hanya bertumpu
pada penjagaan bayi semata-mata, tetapi turut berdepan dengan ibu bapa
bayi tersebut.
"Bagi anak muda di luar sana yang mahu menjadikan jururawat sebagai
karier, pastikan anda benar-benar ikhlas untuk menggalas tanggungjawab
sebagai jururawat.
"Pekerjaan ini sangat mulia kerana ia dapat membantu orang tidak kira
usia dan latar belakang," ujarnya sambil memberitahu seseorang
jururawat itu perlu mempunyai persediaan mental dan fizikal yang kuat.
Formula 10 untuk 10
Sama ada anda sedar atau tidak, jururawat meluangkan 70 hingga 80
peratus masanya berinteraksi dengan para pesakit jika dibandingkan
dengan masa pesakit bersama doktor atau ahli keluarga masing-masing.
Ini menunjukkan mereka merupakan golongan yang paling rapat dengan pesakit sepanjang berada di hospital.
Maka, tidak hairanlah jika golongan jururawat ini diberikan penghargaan sepatutnya setanding dengan bakti yang dicurahkan.
Pada sambutan Hari Jururawat PHKL baru-baru ini, Soon Chai, Nur
Zuriah dan Low Sing Joe dari Institut Kanser Pantai diiktiraf sebagai
jururawat terbaik hospital berkenaan.
Pengerusi Pantai Holding Berhad, Khairil Anuar Abdullah menyifatkan
sambutan Hari Jururawat pada tahun ini sangat istimewa buat warga
jururawat PHKL kerana mereka tampil menyahut cabaran bagi meningkatkan
standard perkhidmatan.
"Standard tersebut dapat dipertingkatkan dengan menerapkan formula 10 untuk 10.
"Tugas jururawat sangat mulia kerana selaku jururawat, mereka
melakukan sesuatu yang orang lain tidak mampu lakukan," katanya pada
majlis sambutan Hari Jururawat di PHKL.
Dalam pada itu, Ketua Jururawat PHKL, Datin Punithavathy Navaratnam
memberitahu, formula 10 untuk 10 boleh dijadikan pemangkin meningkatkan
perkhidmatan bukan sahaja di PHKL, bahkan bagi bidang kejururawatan dan
industri penjagaan kesihatan secara keseluruhan.
"Formula tersebut harus dipraktikkan bagi menguatkan kepercayaan
orang ramai terhadap perkhidmatan kesihatan di negara ini, secara tidak
langsung meningkatkan kepercayaan terhadap kebolehan para jururawat,"
ujarnya.
Antara intipati formula tersebut adalah menganggap pesakit sebagai
sahabat, melawan kemarahan dengan belas kasihan, ingatkan diri mengenai
tugas jururawat yang mulia, sentiasa memberikan senyuman, mempunyai
sifat empati dan sebagainya.