|
IPOH – Empat lelaki termasuk seorang bakal doktor yang sedang
menjalani latihan di sebuah hospital awam di sini direman lima hari
bermula semalam selepas didakwa menyamar sebagai anggota polis dan
menyamun seorang peniaga di Jalan Datuk Onn Jaafar di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.25 pagi, doktor pelatih bersama tiga
pelajar sebuah kolej swasta di sini yang berusia 21 hingga 26 tahun
menaiki sebuah kereta Mercedes ketika bertindak menghalang kenderaan
seorang peniaga berusia 30 tahun dan memperkenalkan diri masing-masing
sebagai anggota polis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata,
bakal doktor yang berusia 26 tahun itu kemudian keluar dari kereta
menuju ke kereta mangsa sebelum membuka pintu kenderaan mangsa lalu
menumbuk bahagian dada peniaga itu.
“Suspek yang memakai vest lutsinar polis memperkenalkan diri sebagai
anggota polis sebelum menunjukkan kad kuasa tertulis ‘Agensi Khas
Malaysia’ berpangkat Timbalan Penguasa. Suspek juga cuba menunjukkan
kononnya terdapat pistol terselit pada pinggangnya.
“Selepas itu suspek sama meminta wang RM350 daripada mangsa dan
mengugut akan membawa mangsa ke balai polis jika enggan memberi wang.
Seorang lagi suspek kemudian masuk ke dalam kereta peniaga itu sebelum
membawa mangsa ke sebuah bank di Jalan Sultan Idris Shah di sini bagi
mengeluarkan wang daripada mesin pengeluaran wang automatik,” kata
beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini
semalam.