LABUAN 25 Sept. - Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan
bersedia menempatkan seorang pembantu kesihatan dan jururawat bagi
memastikan tahap perkhidmatan kesihatan mahasiswa di Universiti Malaysia
Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) lebih terjamin.
Pengarahnya, Dr. Zaini Hussin berkata, pihaknya akan mendapatkan
pandangan Kementerian Kesihatan dan mengadakan perbincangan dengan
pegawai kanan Jabatan Kesihatan Labuan sebelum hasrat murni itu dapat
direalisasikan.
Katanya, penempatan kakitangan Kementerian Kesihatan di kampus
tersebut perlu dibincangkan terlebih dahulu kerana ia melibatkan polisi
kementerian.
Menurutnya, cadangan menempatkan seorang pembantu kesihatan dan
jururawat di universiti itu adalah selepas waktu pejabat antara pukul 6
petang sehingga 10 malam bagi memberi perkhidmatan kepada kira-kira
2,000 mahasiswa dan 300 kakitangan serta pensyarah UMS-KAL.
"Pihak kami bersedia membincangkan cadangan pihak pengurusan UMS-KAL
itu bagi membantu merawat warga kampus terutama mahasiswa selepas waktu
pejabat," katanya di sini baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengarah
UMS-KAL, Prof. Madya Dr. Ismail Ali dan rombongan ke Hospital Labuan.
Hadir sama, Pegawai Perubatan, Dr. Adam Firdaus Dahlan; Penolong
Pendaftar Kanan Pentadbiran UMS-KAL, Musnin Mattersah dan Penolong
Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMS-KAL, Norhanizah Adnan.
Mengulas lanjut, Zaini berkata, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan
Labuan juga mencadangkan sebuah klinik bergerak sebagai cadangan
tambahan sekiranya kakitangan tersebut tidak dapat ditempatkan di kampus
berkenaan.
Jelasnya, cadangan sebuah klinik bergerak merupakan alternatif
terbaik jabatan itu bagi memastikan kebajikan warga kampus dapat dijaga.
Sementara itu, Ismail berkata, penempatan kakitangan yang bertauliah
daripada Jabatan Kesihatan akan dapat membantu meringankan beban
mahasiswa yang ditimpa penyakit.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_%26_Sarawak/20120926/wb_02/Pembantu-kesihatan,-jururawat-di-UMS-KAL#ixzz2E0C7OcCR
© Utusan Melayu (M) Bhd