KEADAAN yang tidak menentu dalam dunia penawaran kerja dan nasib
pengambilan graduan institusi pengajian tinggi menjadikan suasana
pasaran kerja sesetengah sektor dianggap kritikal.
Begitupun, masih ada ruang kerja yang menerima kemasukan calon tanpa
dibatasi faktor-faktor kekangan jangka panjang. Bagi seorang jururawat
lelaki, Aiman Zamani, 18, dia melihat prospek yang cerah dalam bidang
kerjaya yang diceburinya.
"Jika ditanya mengapa memilih kerjaya ini, jawapannya adalah sama
jika seseorang itu ditanya kenapa dia mengambil bidang kejuruteraan atau
bidang lain sebagai kerjaya. Ia adalah untuk mencari sumber pendapatan
yang stabil.
"Tetapi, setiap individu punya alasan tersendiri. Bagi saya, bidang
kejururawatan menjanjikan kerjaya yang stabil. Jururawat adalah antara
kerjaya yang terbaik tidak kira apa yang berlaku pada keadaan ekonomi.
Menurutnya, jangka hayat manusia kini semakin panjang. Setiap orang
ingin hidup lebih lama dan berusaha menjaga kesihatan melalui pelbagai
cara serta kaedah rawatan. Oleh itu, keperluan terhadap khidmat
jururawat menjadikannya sebagai aliran pekerjaan yang realistik.
Belia dari Kelantan yang mencatat keputusan 6A dalam peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2010 itu, telah memilih untuk
menyertai kolej latihan kejururawatan.
Aiman memilih program diploma latihan kejururawatan daripada
menyertai kursus lain yang ditawarkan universiti tempatan. Dia juga
bukan bersendirian dalam membuat keputusan tersebut.
Kikis stereotaip
Secara tradisi dan kemudiannya dipandang secara stereotaip, bidang
jururawat dianggap kepunyaan kaum Hawa. Jururawat juga dilihat sebagai
pembantu kepada doktor dan para ahli penjagaan profesional kesihatan
yang lain.
Masyarakat umumnya akan melihat jururawat lelaki dari sudut negatif.
Apabila lelaki memasuki kerjaya itu, sesetengah pihak akan beranggapan
bahawa mereka kurang syarat kelayakan untuk menjadi doktor seterusnya
terpaksa memilih kerjaya yang hanya milik kaum wanita.
Kaum Adam yang menceburi bidang kemahiran itu juga dianggap tidak begitu sensitif terhadap emosi, seperti jururawat wanita.
Dahulu, kaum lelaki rasa terhalang untuk memceburi bidang kejururawatan kerana takut ciri 'kelelakian' mereka hilang.
Ada juga tanggapan bahawa jururawat hanya bekerja untuk doktor dan
tidak mempunyai peluang yang banyak untuk melanjutkan bidang kerjaya
mereka.
Kata Aiman: "Situasi sebenar adalah di sebaliknya. Saya kenal seorang
wanita yang bertugas sebagai jururawat dan menyatakan beliau lebih
senang bertugas bersama jururawat lelaki.
"Kata wanita itu, jururawat lelaki bertindak lebih baik dalam kedaan
kecemasan dalam wad ICU (Unit Jagaan Rapi) kerana mereka cenderung
mengambil tindakan yang praktikal serta tidak mudah terganggu emosi atau
putus asa semasa menjalankan tugas".
Tetapi di Malaysia, kaum lelaki masih di tahap peratusan yang amat
kecil dalam kerjaya jururawat walaupun bilangan mereka di sekolah
latihan kejururawatan semakin meningkat.
Ada yang berpendapat, kehadiran kaum lelaki dalam profesion
kejururawatan boleh meningkatkan prestij kerjaya itu. Pendapat itu
berdasarkan ciri-ciri yang wujud dalam lelaki - kepimpinan, dedikasi
terhadap kerja serta pengetahuan teknikal.
Lelaki juga akan menghadapi masalah berat sebelah atau pilih kasih
dalam bidang ini. Kehadiran jururawat lelaki mungkin akan membuat
jururawat dan pesakit wanita rasa tidak selesa.
Pesakit pula mempunyai tanggapan bahawa jururawat mestilah perempuan
kerana kaum itu adalah lebih bersifat lembut, prihatin dan penyayang.
Bagaimanapun kajian mendapati jururawat lelaki juga mempunyai
perasaan menyayangi, bukan sahaja terhadap pesakit tetapi juga terhadap
profesion mereka.
Satu cabaran
"Bagi saya, bidang kejururawatan adalah satu cabaran. Sebagai seorang
jururawat, saya perlu mengingatkan diri setiap hari bahawa saya
membantu manusia dalam kesusahan.
"Apabila saya membuat keputusan memilih bidang kejururawatan, saya
telah membuat satu keputusan paling bermakna dalam hidup," ulas Aiman.
Seorang lagi pelajar jururawat lelaki iaitu Ramlee Saadon dari Parit,
Perak berkata: "Sekarang, untuk mendapat tempat di universiti bagi
pelajar yang mendapat keputusan sederhana dalam SPM adalah agak sukar.
"Pada masa kini, lebih ramai lelaki memilih kerjaya ini kerana mereka
mahukan satu pekerjaan yang menjanjikan sumber pendapatan yang stabil
bagi memenuhi tuntutan serta keperluan kewangan mereka."
Bagi Ramlee, walaupun kejururawatan menjanjikan karier yang stabil,
perkara yang membuatkannya memilih bidang itu adalah kerana interaksi
bersama pesakit.
"Keinginan membantu sesama manusia adalah sama bagi sesiapapun dalam
kerjaya perubatan. Namun, kelainan dalam bidang kejururawatan adalah
kami terlibat dengan masalah yang dihadapi oleh orang sakit untuk jangka
waktu yang lebih lama.
"Dalam satu aspek, kami (jururawat) menjaga dan merawat mereka ketika
mereka (pesakit) berada dalam keadaan sakit dan tegang," terang Ramlee.
Tambah Ramlee, sebagai jururawat, dia cuba memberi perhatian dan
merawat pesakit sama seperti layanan yang diharapkan jika ahli
keluarganya sendiri yang sakit serta memerlukan rawatan.
"Saya tidak punya perasaan negatif tentang kerjaya yang saya pilih,
satu bidang yang didominasi oleh kaum wanita. Saya rasa jiwa saya sesuai
dengan kerjaya ini dan saya amat selesa," ujarnya.
Nisbah lelaki
Walaupun dengan perkembangan yang agak positif kebelakangan ini,
jurang nisbah antara lelaki dan wanita dalam kerjaya kejururawatan
begitu ketara. Begitupun, senario itu kini dilihat sedang beransur
berubah.
"Dalam usaha kami ingin menambah jumlah jururawat lelaki dalam bidang
ini, perkembangan semasa menunjukkan ia sedang bergerak dalam arah yang
betul," kata pensyarah Sains Kejururawatan, Mary Lim.
Bagi Lim, jika pesakit rasa selesa dan yakin dengan ciri 'maskulin'
seorang jururawat lelaki, maka tiada masalah bagi pesakit serta pihak
pengamal perubatan menerima kehadiran jururawat lelaki bertugas di
hospital.
Bagi pelajar jururawat lelaki seperti Aiman dan Ramlee, bidang
kejururawatan adalah satu bidang yang signifikan selain menawarkan
fleksibiliti dalam masa pekerjaan.
Jururawat boleh bekerja sepenuh masa atau separuh masa selain
bertugas mengikut jadual syif. Itu juga antara sebab semakin ramai
lelaki berminat untuk menceburi kerjaya tersebut. - Bernama