APABILA kita ke hospital atau klinik untuk mendapat rawatan atau
melawat pesakit, pasti kita bertemu dengan petugas wanita yang
berpakaian seragam serba putih lengkap.
Merekalah jururawat yang merawat dan banyak membantu pesakit di hospital selain doktor.
Rawatan dan layanan yang baik terhadap pesakit, dari segi
psikologinya menyebabkan pesakit lebih selesa tinggal di hospital dan
mungkin cepat sembuh. Mereka amat memahami kerenah setiap pesakit di
bawah jagaan mereka.
Bidang kejururawatan ini luas dan boleh dibahagikan kepada empat
bidang asas seperti yang diamalkan di negara ini, meliputi jururawat
kesihatan, jururawat perubatan, jururawat masyarakat dan jururawat
akademik. Bagi yang berpengalaman dan berkelayakan, mereka akan dilantik
ke jawatan yang lebih kanan, misalnya sebagai ketua jururawat penyelia
jururawat dan ketua penyelia jururawat.
Namun, keperluan jururawat tidak dapat dipenuhi oleh negara ketika
ini. Keadaan ini disebabkan pelajar lepasan sekolah tidak mahu atau
berminat menceburi bidang yang semakin penting ini, atau mungkin ramai
yang kurang mengetahui tentang kerjaya ini yang semakin berkembang
dengan pendapatan yang menarik.
Statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan sehingga Mei 1996,
terdapat hanya 15, 921 jururawat, 10 886 penolong jururawat dan 1,165
jururawat pergigian yang berkhidmat di sektor kerajaan dan swasta di
negara ini. Pada tahun 2000, terdapat 29, 369 jururawat terlatih dan
pada tahun 2010 negara dijangka mempunyai sebanyak 101, 366 orang
jururawat, iaitu pertambahan sebanyak 71, 997 orang (RRJP3 2001-2010)
Kekurangan sumber manusia di bidang ini menyebabkan kerajaan terpaksa
mendapatkan bantuan dari negara jiran untuk mendapatkan khidmat tenaga
jururawat. Langkah seperti ini yang dilakukan oleh kerajaan semata-mata
bertujuan meningkatkan taraf kesihatan rakyat.
Kini, jururawat tidak lagi dianggap sebagai hanya satu kerjaya tetapi
sebagai satu profesion yang penting dan mempunyai permintaan yang
tinggi. Mereka tidak hanya membantu doktor, sebaliknya sebagai penolong
kepada doktor melaksanakan tugas merawat dan menjalankan prosedur
klinikal.
Kolej
Malah, sekiranya berlaku kes kecemasan ketika ketiadaan doktor, jururawat harus menanganinya sebelum ketibaan doktor.
Berikutan penubuhan lebih banyak hospital kerajaan, kolej latihan
perubatan, pusat-pusat perubatan kerajaan dan swasta telah membuka
peluang yang luas kepada jururawat sebagai satu kerjaya dan meningkatkan
kelayakan hingga ke peringkat ijazah dan kemahiran klinikal khusus.
Bidang ini menawarkan banyak pekerjaan seperti di hospital kerajaan,
Hospital UKM, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Institut Jantung Negara
dan pusat-pusat perubatan swasta. Calon yang mempunyai Diploma
Kejururawatan akan ditawarkan gaji yang lumayan melebihi RM1,000 dan
kemudahan lain yang menarik, termasuk elaun dan faedah perubatan.
Keperluan terhadap kerjaya ini serta untuk meningkatkan taraf
profesion kejururawatan, mendorong Kementerian Kesihatan, banyak
universiti dan institusi menawarkan program kejururawatan di peringkat
diploma dan ijazah.
Program ini bertujuan memenuhi keperluan tenaga jururawat untuk
negara masa kini dan masa hadapan yang semakin berkurangan dan pada masa
yang sama meningkatkan kemahiran klinikal yang sentiasa berkembang.
Program yang mempunyai ciri-ciri akademik dan profesional yang tinggi
ini mampu menghasilkan tenaga jururawat yang mempunyai pengetahuan asas
ilmu kejururawatan, kemahiran klinikal yang tinggi dan mempunyai sikap
dan budi pekerti yang luhur untuk merawat pesakit dengan berkesan.
Semasa pengajian di peringkat diploma pelajar akan mengikuti
pengajian merangkumi bidang kemahiran sains kemanusiaan, sains kesihatan
dan sains kejururawatan secara teori dan amali.
Selain itu, pelajar akan diajar secara praktis berasaskan teori untuk
memberi bantuan perubatan dan penjagaan yang komprehensif kepada
pesakit. Ini memandangkan bidang kejururawatan tidak hanya dilihat dari
aspek pemulihan tetapi merangkumi semua aspek lain iaitu meningkatkan
kesihatan individu, keluarga dan masyarakat, mencegah penyakit, merawat
dan memulih pesakit.
Sebagai satu disiplin praktis, pelajar diberi pendedahan awal kepada
pesakit dan pendedahan ini berterusan sepanjang, pendidikan
kejururawatan. Selain itu pelajar juga didedahkan dengan penyelidikan
kejururawatan dan proses kejururawatan. Ini bertujuan untuk melahirkan
jururawat yang bukan sahaja terlatih dan profesional tetapi turut
mempunyai ciri-ciri akademik.
CIRI-CIRI PERIBADI YANG DIPERLUKAN
(i) Meminati profesion ini
(ii) Mempunyai pengetahuan di bidang sains dan matematik
(iii) Mempunyai pengetahuan di bidang perubatan
(iv) Bersikap ramah terhadap pesakit
(v) Sanggup melayani dan mengambil hati pesakit
(vi) Boleh berkomunikasi dengan baik
(vii) Sanggup bertugas mengikut syif (giliran)
(viii) Sanggup bertugas tanpa mengira masa dan tempat
SYARAT MENCEBURI BIDANG INI
Untuk bekerja sebagai jururawat, calon mestilah mempunyai diploma di
bidang ini yang diperoleh daripada universiti, institusi atau
kementerian Kesihatan. Selain itu, calon mesti berdaftar dengan Lembaga
Jururawat Malaysia bagi mendapatkan pengiktirafan sebelum berkhidmat.
TEMPAT MENGIKUTI LATIHAN
Ketika ini beberapa universiti dan institusi menawarkan kursus
kejururawatan di peringkat diploma iaitu Universiti Sains Malaysia
(USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Perubatan Universiti
Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kementerian Kesihatan
serta beberapa institusi kerajaan dan swasta. Tempoh pengajian di
peringkat diploma ialah selama tiga tahun.
Sementara itu, UM, USM, UKM, UNIMAS dan Universiti Putra Malaysia
(UPM) telah memperkenalkan kursus kejururawatan di peringkat sarjana
muda. Untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ini, calon perlu
mempunyai kelayakan Diploma Kejururawatan.
SYARAT MENGIKUTI LATIHAN
(i) Peringkat diploma
Untuk mengikuti latihan di bidang ini pelajar perlu lulus peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat kepujian dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan tiga mata
pelajaran lain.
Satu daripadanya mestilah mata pelajaran sains.
Selain itu, calon mestilah belum berkahwin dan berumur di antara 18 hingga 28 tahun.
Sudah menjadi kelaziman di negara ini, bidang kejururawatan menjadi pilihan calon wanita.
(ii) Peringkat sarjana muda
Di UNIMAS dan USM calon lepasan STPM boleh memohon dengan syarat
lulus STPM aliran sains serta mendapat purata nilai gred kumulatif 3.5.
Sementara UPM mengambil calon-calon yang memiliki diploma yang
bersesuaian atau yang berkhidmat sebagai jururawat atau pembantu
perubatan.
Calon perlu lulus SPM, memiliki Sijil atau Diploma Kejururawatan
serta pengalaman kerja dalam bidang kesihatan. Pengalaman kerja setahun
bagi pemegang diploma dan lima tahun bagi pemegang sijil.