Halaman

Google
 



Wednesday, November 11, 2015

Jangan Nafikan Rawatan Kerana Pakaian - Dr Hilmi


KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan etika berpakaian bagi hospital dan kemudahan awam, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata tiada arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan atau Kementerian Kesihatan mengenai isu itu dan orang ramai boleh memakai apa sahaja pakaian asalkan ia sopan.

"Perkara itu tidak sepatutnya timbul, kami tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan mengenai bagaimana orang ramai harus berpakaian ketika datang ke kemudahan kesihatan kerajaan.

"Kita tahu kadang-kadang semasa kecemasan, orang hanya memakai pakaian yang ada, tidak ada masa untuk mencari pakaian yang sopan, kita faham," katanya ketika ditanya mengenai kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang cedera di jari tidak dibenarkan masuk untuk rawatan kerana ibunya memakai seluar dianggap terlalu pendek.

Mereka dilarang masuk ke Klinik 1Malaysia di Saleng dan Johor Baru serta Hospital Kulai.

Dr Hilmi berkata insiden tersebut akan disiasat dan penjawat awam yang bertugas di hospital awam tidak harus mengambil tindakan tanpa merujuk kepada standard tata laku dari Kementerian Kesihatan.

"Mereka pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan, itu tujuan utama mereka ke sana, apa yang mereka pakai ialah perkara kedua.

"Kita tidak boleh berkata tidak kepada pesakit yang memerlukan rawatan dan menafikan layanan kepada mereka, bagi saya, ini salah," kata beliau.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...