Halaman

Google
 



Monday, August 11, 2014

Pegawai Kesihatan Di Pintu Masuk Sedia Tangani Ebola


KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Kakitangan Kementerian Kesihatan semua peringkat termasuk di pintu masuk antarabangsa negara telah diberi penerangan berkaitan pengurusan kes-kes disyaki 'Ebola viral disease' (EVD) yang kini dilaporkan menular di beberapa negara Afrika Barat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata penerangan itu merangkumi aspek saringan penyakit EVD, langkah-langkah pencegahan termasuk kawalan jangkitan infeksi, pengesanan kes disyaki dan kontak, membuat notifikasi dengan kadar segera dan rujukan kes disyaki ke hospital berhampiran.

"Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Kebangsaan (NCPRC) sedang memantau perkembangan status kejadian EVD di Afrika barat dan menyelaras kesiapsiagaan dan respons kementerian bagi menghadapi penularan penyakit itu," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Subramaniam, sehingga kini tiada kes EVD dilaporkan di Malaysia.

EVD sejenis penyakit demam berdarah yang boleh menyebabkan maut.

Kementerian Kesihatan, katanya, mempunyai makmal yang berupaya mengesan visus Ebola iaitu di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) selain kemudahan merawat kes seumpama itu di hospital kerajaan yang dikenal pasti di seluruh negara.

Subramaniam memetik kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang memaklumkan bahawa situasi EVD di Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria merupakan kecemasan kesihatan awam yang menjadi kepentingan antarabangsa.

Sehingga 6 Ogos lepas, 1,779 kes dikesan dengan 961 kematian dilaporkan.

Bagaimanapun, menteri itu berkata WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan perjalanan ke negara-negara terbabit dan selain daripada kontak atau kes EVD, masyarakat di sana juga tidak dikenakan sekatan perjalanan antarabangsa.

"Antara saranan WHO ialah supaya negara yang menghadapi Ebola melakukan saringan sebelum keluar dari negara dan sekiranya seseorang itu menunjukkan tanda EVD, mereka tidak dibenarkan membuat perjalanan antarabangsa kecuali untuk tujuan evakuasi perubatan," tambahnya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...