Halaman

Google
 



Wednesday, August 27, 2014

Jabatan Kesihatan Perkenal Combi Untuk JE Di Kampung Selamat


TASEK GELUGOR, 25 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Pulau Pinang akan memperkenalkan program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) di Kampung Selamat dalam usaha memastikan penduduk di kawasan itu tidak dijangkiti virus Ensefalitis Jepun (JE).

Timbalan Pengarah Bahagian Kesihatan Awam jabatan itu Dr Norlia Yahaya berkata kumpulan Combi itu akan menjalankan pemeriksaan berkala seminggu sekali di kawasan pembiakan nyamuk.

"Jabatan Kesihatan dan Jabatan Veterinar negeri telah mengadakan mesyuarat dengan penduduk Kampung Selamat dan penternak babi di situ, mereka bersetuju untuk mewujudkan kumpulan-kumpulan Combi di kawasan berkenaan.

"Pendekatan Combi untuk JE ini sama seperti yang dilaksanakan bagi menghapuskan aedes. Kampung Selamat menjadi perintis bagi program ini dan jika berjaya, ia akan diperkenalkan di tempat lain di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kempen Kesedaran Penyakit Zoonotik Babi di Kampung Selamat di sini, hari ini.

Seramai 50 penternak babi di kawasan itu menghadiri program berkenaan yang memberikan penerangan mengenai penyakit ternakan haiwan itu dan cara mengatasinya.

Jabatan Kesihatan negeri mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi virus JE itu selepas seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat di sini koma setelah disyaki dijangkiti virus JE bulan lepas.

Dr Norlia berkata pihaknya menjangkakan Combi untuk JE di Kampung Selamat dapat dilaksanakan sebelum hujung tahun ini.

"Kami akan hantar pegawai untuk memberi taklimat dan tunjuk ajar kepada penduduk kampung. Selepas itu kami akan bentuk kumpulan yang terdiri antara tujuh hingga 10 orang bagi menjalankan Combi. Ia adalah antara tindakan kami untuk menghapuskan pembiakan nyamuk Culex iaitu pembawa virus JE," katanya.

Sempena program itu, katanya aspek kebersihan dan pengurusan ladang juga perlu diambil perhatian oleh penternak babi untuk mengelak pembiakan nyamuk pembawa virus berkenaan.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...