Halaman

Google
 



Saturday, January 18, 2014

Wujudkan jururawat di rumah




KOTA BHARU 18 Jan. - Konsep penjagaan kejururawatan di rumah atau home care nursing (HCN) perlu dibangunkan kerana boleh menjadi barisan hadapan paling efektif dalam sistem kesihatan sekali gus mengelak bebanan berterusan kepada perkhidmatan hospital.

Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Datuk Dr. Zaidun Kamari berkata, biarpun perkhidmatan hospital kerajaan di negara ini sudah mencapai tahap antarabangsa, namun masih ketinggalan dalam pelaksanaan HCN.

Beliau berkata, HCN adalah satu bentuk perkhidmatan luar hospital yang menumpukan kepada rawatan di rumah atau pusat komuniti oleh jururawat berkelayakan yang mampu memberi nasihat dan rawatan awal kepada pesakit tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan di hospital.
"Perkhidmatan HCN penting bagi membantu pesakit kronik seperti kanser, golongan tua terlantar dan pesakit lain seperti kanak-kanak yang mengalami masalah cerebral palsy dan sebagainya.

"Beban kini banyak ditanggung oleh hospital kerana sistem HCN kita masih belum mantap, bilangan sukarelawan dalam bidang ini masih sedikit dan penglibatan pihak swasta juga terhad.

"Malah jika dibandingkan dengan negara maju, kerjaya sebagai jururawat HCN sudah menjadi satu pengkhususan dengan bilangan mereka mewakili peratus yang signifikan daripada keseluruhan jururawat," katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan HCN yang dihadiri lebih 200 peserta dari seluruh negara, di sini hari ini.

Persidangan julung kali anjuran Jabatan Kesihatan negeri, USM dan Pertubuhan St. John Ambulance Malaysia negeri itu bertujuan berkongsi maklumat dan pengalaman selain mendapat input terkini pengendali perkhidmatan HCN dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, pengerusi persidangan yang juga pemegang geran Kementerian Pendidikan bagi penyelidikan HCN untuk pesakit kurang berkemampuan, Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin berkata, perkembangan HCN di negara seperti Jepun melonjak apabila kerajaan negara itu memperkenal pelbagai akta pada tahun 2000 yang mengawal selia sekali gus menggalak pertumbuhan banyak pusat komuniti HCN.

Beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 6,000 pusat HCN di Jepun dengan bilangan jururawat sehingga 180,000 manakala di United Kingdom pula sebanyak 2,000 pusat dengan 60,000 jururawat HCN yang melakukan kunjungan berkala ke rumah pesakit.

"Kita boleh dikatakan masih merangkak dalam bidang ini berbanding negara maju yang mempunyai sistem kesihatan yang disokong oleh pembiayaan insurans untuk menampung kos penjagaan dan rawatan.

"Apa yang boleh kita lakukan sekarang adalah menggalakkan lebih ramai penyertaan sukarelawan HCN, namun mereka juga perlu sokongan dari sudut peralatan dan sebagainya.

"Kesedaran tentang pentingnya HCN bukan setakat boleh memberi manfaat kepada pesakit tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada lulusan kejururawatan tempatan yang kini berlambak di pasaran agar tidak tertumpu kepada perkhidmatan di hospital dan klinik sahaja," katanya.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...