Halaman

Google
 



Wednesday, January 8, 2014

Kikis Tanggapan Anak Lasak Punyai Masalah Kesihatan - Fatimah

KUCHING, 7 Jan (Bernama) -- Ibu bapa diminta mengikis tanggapan bahawa anak mereka yang lasak dan tidak mengikut arahan sebagai mempunyai masalah kesihatan, sebaliknya perlu segera mengambil langkah bersesuaian melalui kaedah perubatan atau latihan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata kanak-kanak yang mempunyai sifat hiperaktif ini sebenarnya mengalami ketidakseimbangan sistem neuro yang masih boleh diatasi sekiranya mendapat rawatan lebih awal.

Katanya ibu bapa harus bijak dalam mengenal pasti masalah yang dihadapi anak masing-masing kerana setiap kanak-kanak mempunyai kebolehan untuk mempelajari sesuatu yang baharu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan majlis pelancaran Pusat Tindak Balas Neuro Quantum yang pertama di Sarawak di sini Selasa.

Turut hadir Penasihat Quantum Brain Power Sdn Bhd yang juga Pensyarah Kognitif Sains Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Muhamad Sophian Nazaruddin.

Dr Muhamad Sophian berkata Pusat Tindak Balas Neuro Quantum itu turut menyediakan rawatan untuk golongan dewasa yang terdedah kepada pelbagai masalah dan tekanan.

Selain merawat, pusat itu juga membantu golongan pelajar untuk meningkatkan tahap memori, tumpuan dan kreativiti mereka.

Sementara itu, Fatimah berkata Jabatan Pelajaran negeri menyediakan 10 sekolah pendidikan khas peringkat prasekolah di seluruh negeri bagi membantu kanak-kanak kurang upaya serta gangguan kecelaruan tumpuan dan kelasakan.

Lima puluh pelajar telahpun berdaftar di sekolah itu sehingga Disember tahun lepas, katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...