Halaman

Google
 



Saturday, January 18, 2014

Wujudkan jururawat di rumah




KOTA BHARU 18 Jan. - Konsep penjagaan kejururawatan di rumah atau home care nursing (HCN) perlu dibangunkan kerana boleh menjadi barisan hadapan paling efektif dalam sistem kesihatan sekali gus mengelak bebanan berterusan kepada perkhidmatan hospital.

Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Datuk Dr. Zaidun Kamari berkata, biarpun perkhidmatan hospital kerajaan di negara ini sudah mencapai tahap antarabangsa, namun masih ketinggalan dalam pelaksanaan HCN.

Beliau berkata, HCN adalah satu bentuk perkhidmatan luar hospital yang menumpukan kepada rawatan di rumah atau pusat komuniti oleh jururawat berkelayakan yang mampu memberi nasihat dan rawatan awal kepada pesakit tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan di hospital.
"Perkhidmatan HCN penting bagi membantu pesakit kronik seperti kanser, golongan tua terlantar dan pesakit lain seperti kanak-kanak yang mengalami masalah cerebral palsy dan sebagainya.

"Beban kini banyak ditanggung oleh hospital kerana sistem HCN kita masih belum mantap, bilangan sukarelawan dalam bidang ini masih sedikit dan penglibatan pihak swasta juga terhad.

"Malah jika dibandingkan dengan negara maju, kerjaya sebagai jururawat HCN sudah menjadi satu pengkhususan dengan bilangan mereka mewakili peratus yang signifikan daripada keseluruhan jururawat," katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan HCN yang dihadiri lebih 200 peserta dari seluruh negara, di sini hari ini.

Persidangan julung kali anjuran Jabatan Kesihatan negeri, USM dan Pertubuhan St. John Ambulance Malaysia negeri itu bertujuan berkongsi maklumat dan pengalaman selain mendapat input terkini pengendali perkhidmatan HCN dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, pengerusi persidangan yang juga pemegang geran Kementerian Pendidikan bagi penyelidikan HCN untuk pesakit kurang berkemampuan, Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin berkata, perkembangan HCN di negara seperti Jepun melonjak apabila kerajaan negara itu memperkenal pelbagai akta pada tahun 2000 yang mengawal selia sekali gus menggalak pertumbuhan banyak pusat komuniti HCN.

Beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 6,000 pusat HCN di Jepun dengan bilangan jururawat sehingga 180,000 manakala di United Kingdom pula sebanyak 2,000 pusat dengan 60,000 jururawat HCN yang melakukan kunjungan berkala ke rumah pesakit.

"Kita boleh dikatakan masih merangkak dalam bidang ini berbanding negara maju yang mempunyai sistem kesihatan yang disokong oleh pembiayaan insurans untuk menampung kos penjagaan dan rawatan.

"Apa yang boleh kita lakukan sekarang adalah menggalakkan lebih ramai penyertaan sukarelawan HCN, namun mereka juga perlu sokongan dari sudut peralatan dan sebagainya.

"Kesedaran tentang pentingnya HCN bukan setakat boleh memberi manfaat kepada pesakit tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada lulusan kejururawatan tempatan yang kini berlambak di pasaran agar tidak tertumpu kepada perkhidmatan di hospital dan klinik sahaja," katanya.

--- UTUSAN MALAYSIA

Wednesday, January 8, 2014

Stok Darah Berkurangan Menjelang Musim Perayaan

 
KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Jumlah pendermaan darah di Pusat Darah Negara (PDN) dan Tabung Darah di seluruh negara masih berkurangan menjelang musim perayaan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina yang akan datang ini.

Menurut PDN dalam kenyataan Selasa, tindakan proaktif telah diambil bagi meningkatkan jumlah penderma darah.

Katanya, bilangan yang datang menderma darah masih rendah awal tahun ini.

Orang ramai digalakkan menderma darah di PDN di sini, Tabung Darah atau di lokasi kempen derma darah unit bergerak yang berhampiran.

PDN dibuka setiap Sabtu dan Ahad dari 8 pagi hingga 4 petang.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi PDN di talian 03-26955557 atau 03-26955558 dan boleh malayari laman web www.pdn.gov.my.

-- BERNAMA

Penjawat Awam Berperanan Penting Jayakan Agenda Transformasi - Ali Hamsa

 
 
PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama) -- Penjawat awam diminta agar sentiasa melakukan penambahbaikan dalam perancangan, pelaksanaan dasar dan prosedur kerja untuk meraih kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata ia antara faktor penting yang perlu diberi perhatian oleh setiap penjawat awam dalam menjayakan agenda transformasi negara.

"Setiap penjawat awam telah diberi tanggungjawab dan kepercayaan untuk menjadi perintis dan ejen perubahan bagi memajukan negara ini.

"Perkhidmatan awam kini terdedah kepada penelitian kritikal orang awam, apatah lagi bila berhadapan dengan persepsi bahawa masih berlaku kerenah birokrasi, ketidakcekapan, prestasi di bawah tahap, ketidaktelusan dan kurangnya akauntabiliti," katanya pada majlis penganugerahan Diploma Pengurusan Awam (DPA) Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) 2013 di Pusat Konvensyen Antarabanga Putrajaya (PICC) di PUtrajaya, Selasa.

Hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Pengarah Intan Datuk Dr Halim Man.

Seramai 735 orang menerima DPA selepas menjalani pengajian di Kampus Utama Intan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, Kampus Intan Wilayah Selatan di Kluang, Johor dan di Kampus Intas Wilayah Timur di Kemaman, Terengganu.

Ali berkata penjawat awam berperanan penting dalam mengubah tanggapan negatif sesetengah anggota masyarakat terhadap perkhidmatan awam dengan menunaikan janji kerajaan kepada rakyat menerusi pemberian perkhidmatan yang cepat, tepat dan berintegriti.

"Perkhidmatan awam adalah tonggak pentadbiran negara dan kesemua penjawat awam kini gigih melakukan yang terbaik dalam tugasan masing-masing dalam menjayakan agenda transformasi negara," katanya.

Beliau mengingatkan bahawa penjawat awam harus memegang kuat prinsip taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara, Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan yang memerintah.

"Sebagai penjawat awam, kita perlu sentiasa menjaga nama baik dan imej perkhidmatan dari segi kelakuan dan percakapan, melaksanakan tugas dengan sifat amanah dan integriti yang bukan sekadar menghindari daripada perlakuan rasuah dan salah guna kuasa, tetapi membabitkan pengurusan masa, memberi perkhidmatan yang terbaik dan menjadi seorang pekerja yang berdedikasi," katanya.

Pada majlis itu 18 peserta memenangi anugerah peserta terbaik DPA bagi kategori Anugerah Khas Perdana Menteri (Keseluruhan Terbaik), Anugerah Khas Ketua Setiausaha Negara (Kepimpinan Terbaik), Anugerah Khas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Akademik Terbaik), Anugerah Khas Pengarah Intan (Pembinaan Sahsiah Terbaik) dan Anugerah Khas Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD).

--BERNAMA

Kikis Tanggapan Anak Lasak Punyai Masalah Kesihatan - Fatimah

KUCHING, 7 Jan (Bernama) -- Ibu bapa diminta mengikis tanggapan bahawa anak mereka yang lasak dan tidak mengikut arahan sebagai mempunyai masalah kesihatan, sebaliknya perlu segera mengambil langkah bersesuaian melalui kaedah perubatan atau latihan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata kanak-kanak yang mempunyai sifat hiperaktif ini sebenarnya mengalami ketidakseimbangan sistem neuro yang masih boleh diatasi sekiranya mendapat rawatan lebih awal.

Katanya ibu bapa harus bijak dalam mengenal pasti masalah yang dihadapi anak masing-masing kerana setiap kanak-kanak mempunyai kebolehan untuk mempelajari sesuatu yang baharu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan majlis pelancaran Pusat Tindak Balas Neuro Quantum yang pertama di Sarawak di sini Selasa.

Turut hadir Penasihat Quantum Brain Power Sdn Bhd yang juga Pensyarah Kognitif Sains Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Muhamad Sophian Nazaruddin.

Dr Muhamad Sophian berkata Pusat Tindak Balas Neuro Quantum itu turut menyediakan rawatan untuk golongan dewasa yang terdedah kepada pelbagai masalah dan tekanan.

Selain merawat, pusat itu juga membantu golongan pelajar untuk meningkatkan tahap memori, tumpuan dan kreativiti mereka.

Sementara itu, Fatimah berkata Jabatan Pelajaran negeri menyediakan 10 sekolah pendidikan khas peringkat prasekolah di seluruh negeri bagi membantu kanak-kanak kurang upaya serta gangguan kecelaruan tumpuan dan kelasakan.

Lima puluh pelajar telahpun berdaftar di sekolah itu sehingga Disember tahun lepas, katanya.



-- BERNAMA

Restoran Makanan Segera Tidak Dibenar Menggaji Pekerja Asing

PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKA-PATI) Selasa memutuskan supaya semua restoran berkonsep makanan segera tidak dibenarkan menggaji pekerja asing.

Mesyuarat Urus Setia JKKA-PATI yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini menyatakan keputusan itu dibuat bagi memberi keutamaan kepada rakyat tempatan untuk mengisi pekerjaan itu.

"Kerajaan memandang serius perkara ini. Pengusaha restoran berkonsepkan `fast food' disaran mengambil dan menggaji pekerja tempatan memandangkan masih ramai lagi warga tempatan yang berminat bekerja di restoran itu," kata Urus Setia JKKA-PATI dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat ke-11 Bil 1/2014 itu.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Hasan Malek; Menteri Kesihatan Datuk Seri S. Subramaniam; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Karim dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Unggah Embas.

JKKA-PATI menyatakan kemahiran memasak di restoran makanan segera tidak tinggi atau sukar berbanding restoran biasa, yang menghidangkan pelbagai jenis makanan dan masakan kerana kaedah penyediaannya mudah dipelajari melalui latihan.

Oleh itu, bidang pekerjaan di restoran makanan segera menjadi pilihan dan tarikan warga tempatan terutamanya golongan muda, pelajar lepasan sekolah dan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk mendapat pendedahan dan sumber pendapatan sama ada bekerja secara separuh atau sepenuh masa.

JKKA-PATI turut memutuskan untuk memanjangkan mekanisme Kerajaan kepada Kerajaan antara Malaysia dan Bangladesh yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia untuk diguna pakai kerajaan negeri Sarawak bagi mengisi kekosongan dalam sektor perladangan sawit.

Kaedah kawalan kemasukan, tapisan keselamatan dan saringan kesihatan yang dijalankan kedua-dua negara dilihat sistematik dan mampu menangani masalah berhubung penggajian pekerja asing.

JKKA-PATI juga menyatakan Program Khas Pengurusan PATI (PKPP) yang dilaksanakan di Pusat Kelulusan Setempat (OSC) Kementerian Dalam Negeri akan tamat pada 20 Jan ini.

Justeru itu, ia mengingatkan majikan yang mendakwa ditipu oleh ejen atau orang tengah semasa Program 6P (pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran) lepas supaya datang ke OSC untuk membolehkan permohonan mereka diteliti sebelum tamat PKPP.

"Majikan diharap hadir lebih awal di OSC bagi mengelak kesulitan. Setelah tamatnya program ini, aktiviti penguatkuasaan akan dilaksanakan dengan lebih tegas dan berterusan demi keselamatan dan kententeraman awam," kata Urus Setia JKKA-PATI.



-- BERNAMA

Lindungi Mata Ketika Lihat Fenomena Tompok Matahari - Angkasa

 
 Gambar Hiasan
 
KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) menasihati masyarakat agar memakai alat perlindungan mata bersesuaian jika ingin memandang ke arah matahari berikutan fenomena kemunculan tompok matahari yang berlaku sejak beberapa hari lepas.

Menurut kenyataan agensi itu Selasa, mata individu yang melihat matahari tanpa sebarang perlindungan berkemungkinan rosak dan buta.

"Tompok itu dikenali sebagai 'Wilayah Aktif 1944' dan merupakan satu kelompok matahari yang besar serta mengandungi lebih daripada 60 tompok individu dan satu daripadanya adalah jauh lebih besar daripada saiz bumi," katanya.

Kenyataan itu menyebut Wilayah Aktif 1944 berjaya dirakam oleh Observatori Negara Langkawi Angkasa menerusi teleskop yang dinamakan Celestron C11 dan satu daripada tompok berkenaan berukuran empat kali ganda saiz diameter bumi serta boleh dilihat tanpa menggunakan teleskop atau binokular.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Observatori Negara Langkawi Angkasa Mohammad Redzuan Tahar berkata tompok matahari itu akan kelihatan untuk beberapa hari dan anggaran durasi bagi tompok bersaiz kecil adalah antara tiga atau empat hari.

"Fenomena itu berlaku dalam tempoh setiap 11 tahun yang mana medan magnet matahari berubah dari utara ke selatan, dan sebaliknya.

"Ia berlaku apabila kawasan magnet matahari tidak stabil serta membuang bahan dari permukaan matahari dan anggaran suhu bagi setiap tompok itu ialah 3,000 darjah selsius," katanya.

-- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...