Halaman

Google
 



Sunday, July 28, 2013

Memilih Bersalin Secara Semulajadi


Oleh Kurniawati Kamaruddin

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Memilih untuk bersalin dalam air bukan lagi sesuatu yang baharu walaupun ramai wanita mengandung masih ragu-ragu untuk mencubanya.

Kaedah ini yang telah popular di negara-negara maju sejak akhir 1990-an, masih belum meluas di Malaysia kerana pelbagai persepsi terhadap baik-buruk kaedah ini yang mengundang rasa bimbang di kalangan wanita untuk mencubanya.

Kebimbangan paling ketara berlegar di minda ramai kaum ibu adalah risiko lemas yang mungkin berlaku pada bayi yang dilahirkan.

Kelahiran anak sulung angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Sophea Isabella melalui kaedah itu dua tahun lalu mendapat liputan media dan ini sedikit sebanyak membuka mata masyarakat mengenainya.

Hingga kini ratusan bayi telah dilahirkan dalam air sejak kaedah itu diperkenalkan kira-kira lima tahun lalu di dua buah hospital di Malaysia iaitu Hospital Island, di Pulau Pinang dan Hospital Pantai Kuala Lumpur (PPKL).

APA KELEBIHAN CARA INI

Tetapi apakah kelebihan cara ini?

Bersalin dalam air menjadi kaedah penahan sakit semulajadi menggantikan ubat-ubatan yang biasa diambil ketika proses melahirkan seperti epidural, pitocin dan sebagainya yang mempunyai kesan sampingan kepada ibu dan anak.

Kaedah ini umpama satu spa atau terapi yang memberi ketenangan kepada wanita terutama di peringkat akhir bersalin yang mampu meningkatkan tenaga wanita untuk menolak keluar bayi daripada rahim.

Ini diakui sendiri oleh salah seorang wanita yang melahirkan anak menggunakan kaedah itu, Ar'nie Rozan Krogh, 38.

Pernah melahirkan tiga anak secara normal di atas katil bersalin, beliau mengambil keputusan untuk mencuba kaedah bersalin dalam air untuk anaknya yang keempat.

PENGALAMAN BERBEZA

"Memang banyak perbezaannya bersalin di atas katil berbanding di dalam air.

"Jika saya tahu ada kaedah ini dahulu, kesemua anak saya pasti akan dilahirkan dalam air," katanya yang bersalin anak ke-4 di HPKL di bawah pemantauan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Choong Kuo Hsiang pada 13 Julai 2012.

Wanita ini yang berasal dari Singapura berkata beliau mengambil keputusan untuk bersalin dalam air, berikutan komplikasi yang dilalui ketika proses melahirkan sejak anak pertama lagi.

Serviks yang lambat terbuka, jumlah air ketuban yang berkurangan antara masalah yang dilaluinya hingga menyebabkan beliau dipaksa (induce) bersalin dengan dimasukkan ubat.

"Bila dipaksa, sakitnya hanya tuhan sahaja yang tahu hingga saya agak trauma untuk melahirkan bayi yang ke-4 ini," kata beliau yang ketiga-tiga anaknya yang berumur 12 hingga tiga tahun, dilahirkan di luar negara.

Sebaik disahkan mengandung anak keempat, beliau terus mencari maklumat kaedah bersalin dalam air di Internet dan mencari doktor yang sesuai untuk menyambut bayinya, katanya yang berkahwin dengan warga Denmark dan berada di Perancis mengikut suaminya bertugas di sana ketika itu.

Sebaik terlihat nama Dr Choong, terus beliau memaklumkan kepada suaminya untuk pulang ke Malaysia dan bersalin di sini.

"Kalau tidak silap saya bertemu Dr Choong pada minggu ke 32 mengandung. Semuanya berjalan lancar sehinggalah waktu bersalin, saya berhadapan masalah yang sama iaitu kandungan air ketuban yang berkurangan serta bukaan serviks yang perlahan," katanya yang kini membuka syarikat perunding terapi dan motivasi.

KURANGKAN SAKIT

Apakah pula cara yang digunakan untuk bersalin dalam air tanpa memudaratkan keselamatan ibu dan anak?

Sebaik masuk ke dalam tab khas yang mengandungi air suam bersuhu 37 darjah Celsius, perasaan menjadi cukup tenang dan kesakitan yang ditanggung berkurangan, katanya yang terpaksa berada di hospital selama empat hari menanti serviksnya terbuka sepenuhnya.

"Saya mengalami kontraksi tiga hari sebelum bersalin, namun serviks masih tidak terbuka. Sepanjang berada di hospital itu saya dibenarkan untuk melakukan apa sahaja aktiviti mengikut keselesaan termasuk menari, melakukan senaman ringan dan yoga bagi mempercepatkan bukaannya.

"Sehinggalah pada hari Sabtu, doktor terpaksa memasukkan ubat bagi mempercepatkan bukaan serviks dan setelah bukaan mencapai tujuh sentimeter, saya disuruh masuk ke dalam tab yang disediakan untuk proses melahirkan anak," katanya

Apabila melihat sendiri badan terapung di dalam air, perasaan cukup selesa. Ia seperti ubat penahan sakit semulajadi yang cukup berkesan, katanya.

"Berada di dalam air, saya bebas mencari posisi yang sesuai mengikut keselesaan dan apabila kontraksi kuat datang dengan sendirinya saya menolak bayi keluar.

"Bila perasaan tenang, kita lebih fokus dan ini membantu melancarkan proses bersalin dengan lebih mudah berbanding jika berada di atas katil dengan lutut di atas dada, membuatkan kita tidak selesa," katanya yang menganggap proses itu satu pengalaman yang cukup berharga buat diri dan anaknya Ariena Ayla yang kini berumur setahun.

PILIHAN BUAT IBU

Sementara itu menurut Dr Choong, apungan badan semasa berada dalam air boleh mengurangkan beban berat badan dan membolehkan wanita hamil bergerak bebas dalam tab yang disediakan.

"Mereka bebas mencari posisi yang sesuai sama ada dengan bercangkung atau melutut bagi memudahkan bayi keluar daripada rahim, katanya permintaan melahirkan bayi melalui cara alternatif ini semakin meningkat dan HPKL telah menyambut hampir 100 bayi dengan cara ini sejak diperkenalkan pada tahun 2009.

Ketika serviks capai bukaan sekitar lima sentimeter, mereka akan dibenarkan masuk ke dalam tab bagi memberi ketenangan untuk menanti saat-saat kelahiran.

Sekiranya merasa tidak selesa untuk bersalin melalui kaedah itu, mereka boleh meminta untuk bersalin di atas katil yang turut disediakan di dalam bilik bersalin.

Namun, wanita yang telah mengambil ubat tahan sakit seperti epidural, tidak sekali-kali dibenarkan bersalin dalam air.

Mengulas tentang risiko lemas bayi menggunakan kaedah ini, Dr Choong berkata risiko dan peratus kes bayi lemas di negara-negara yang menggunakan kaedah ini seperti Amerika, Italy, Australia, New Zealand dan United Kingdom terlalu kecil iaitu di bawah satu peratus.

Menurut Dr Choong yang akan bersara pada penghujung Ogos ini, anggaran kos bersalin menggunakan kaedah ini adalah sekitar RM6,000 dengan hospital-hospital yang menawarkan cara bersalin ini mempunyai kemudahan yang cukup lengkap.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...