Halaman

Google
 



Monday, June 10, 2013

Penjawat Awam Sementara, Kontrak Bergaji RM3,000 Atau Kurang Layak Carum Perkeso

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Penjawat awam bertaraf sementara dan kontrak yang bergaji RM3,000 sebulan atau kurang layak mencarum dalam skim Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) mulai 1 Jun lepas, kata Ketua Eksekutif Perkeso Datuk K. Selvarajah.

Beliau berkata pekerja yang menerima gaji bulanan lebih RM3,000 dan tidak layak mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, masih boleh mencarum dengan syarat majikan dan pekerja setuju memilih untuk diliputi skim Perkeso dengan mengemukakan notis pilihan.

Bagi pekerja yang sebelum ini telah mencarum dan pada masa sekarang bergaji melebihi RM3,000, mereka wajib untuk terus mencarum selaras dengan prinsip 'sekali layak mencarum terus layak mencarum', katanya.

"Perkeso akan memastikan semua pekerja dan majikan memahami perkara ini dengan menganjurkan taklimat ke seluruh negara bermula hari ini," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Taklimat Perlindungan Keselamatan Sosial Perkeso Kepada Penjawat Awam Bertaraf Sementara dan Kontrak di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Isnin.

Selvarajah berkata penjawat awam akan menerima faedah yang sama dengan pekerja swasta berdasarkan dua skim perlindungan yang disediakan Perkeso.

"Skim pertama ialah Skim Bencana Pekerjaan iaitu Perkeso memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan dengan faedah-faedah seperti perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, pendidikan, orang tanggungan dan pengurusan mayat.

"Skim kedua ialah Skim Keilatan iaitu meliputi pencen ilat, pendidikan dan pencen penakat," katanya.

Beliau berkata caruman yang perlu dibayar penjawat awam adalah sama dengan pekerja swasta iaitu kategori pertama ialah caruman untuk Skim Bencana Pekerjaan dan Pencen Ilat; dan kategori kedua ialah Skim Bencana Pekerjaan.

Kategori pertama melibatkan pekerja belum mencapai umur 60 tahun iaitu syer dibayar majikan ialah 1.75 peratus dan pekerja 0.5 peratus, manakala kategori kedua pekerja berumur melebihi 60 tahun iaitu syer caruman 1.25 peratus hanya dibayar majikan, katanya.

Sementara itu, Selvarajah berkata majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja dikehendaki mendaftar dengan Perkeso dalam tempoh tidak lewat 30 hari daripada tarikh diambil bekerja.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...