Halaman

Google
 



Wednesday, September 26, 2012

Pembantu kesihatan, jururawat di UMS-KAL

ARKIB : 26/09/2012

Ismail Ali (empat dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Dr. Zaini Hussin (empat dari kanan) pada kunjungan hormat UMS-KAL ke Hospital Labuan, baru-baru ini. 
LABUAN 25 Sept. - Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan bersedia menempatkan seorang pembantu kesihatan dan jururawat bagi memastikan tahap perkhidmatan kesihatan mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) lebih terjamin.

Pengarahnya, Dr. Zaini Hussin berkata, pihaknya akan mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan dan mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan Jabatan Kesihatan Labuan sebelum hasrat murni itu dapat direalisasikan.

Katanya, penempatan kakitangan Kementerian Kesihatan di kampus tersebut perlu dibincangkan terlebih dahulu kerana ia melibatkan polisi kementerian.

Menurutnya, cadangan menempatkan seorang pembantu kesihatan dan jururawat di universiti itu adalah selepas waktu pejabat antara pukul 6 petang sehingga 10 malam bagi memberi perkhidmatan kepada kira-kira 2,000 mahasiswa dan 300 kakitangan serta pensyarah UMS-KAL.

"Pihak kami bersedia membincangkan cadangan pihak pengurusan UMS-KAL itu bagi membantu merawat warga kampus terutama mahasiswa selepas waktu pejabat," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengarah UMS-KAL, Prof. Madya Dr. Ismail Ali dan rombongan ke Hospital Labuan.

Hadir sama, Pegawai Perubatan, Dr. Adam Firdaus Dahlan; Penolong Pendaftar Kanan Pentadbiran UMS-KAL, Musnin Mattersah dan Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMS-KAL, Norhanizah Adnan.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan juga mencadangkan sebuah klinik bergerak sebagai cadangan tambahan sekiranya kakitangan tersebut tidak dapat ditempatkan di kampus berkenaan.

Jelasnya, cadangan sebuah klinik bergerak merupakan alternatif terbaik jabatan itu bagi memastikan kebajikan warga kampus dapat dijaga.

Sementara itu, Ismail berkata, penempatan kakitangan yang bertauliah daripada Jabatan Kesihatan akan dapat membantu meringankan beban mahasiswa yang ditimpa penyakit.

Monday, September 3, 2012

Penawar malaria hampir ditemui

ARKIB : 03/09/2012

CAPE TOWN 2 Sept. - Saintis percaya, mereka kini semakin hampir mencipta penawar bagi penyakit malaria.

Sepasukan penyelidik dari Universiti Cape Town di Afrika Selatan, baru-baru ini menemui sebatian yang dipanggil MMV390048 yang mungkin mampu menyekat penyebaran parasit itu daripada manusia kepada manusia.

Rawatan konvensional gabungan pelbagai ubat untuk penyakit malaria sebelum ini, hanya berkesan untuk jangka pendek memandangkan parasit malaria didapati kebal terhadap semua ubat berkenaan.
Bagaimanapun, pasukan penyelidik yang diketuai Profesor Kelly Chibale berkata, rawatan baru ciptaan mereka mampu 'membunuh parasit malaria' serta merta.

Menteri Sains dan Teknologi Afrika Selatan, Naledi Pandor berkata, penemuan itu adalah kejayaan penting dalam usaha untuk mengurangkan penyakit malaria di negara ini.

Sebatian baru tersebut mempunyai kekuatan menentang parasit malaria sepanjang kitaran hidupnya dan kerana itu jugalah ia mampu menghentikan penyebaran parasit antara manusia.

Pada 2010, malaria dianggar menyebabkan 655,000 kematian di benua Afrika dengan kebanyakannya kanak-kanak. - AGENSI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...