Halaman

Google
 



Saturday, July 14, 2012

SPA Serius Dalam Memikat Bukan-Melayu Sertai Sektor Awam


Laporan Khas Oleh Ravichandran D.J Paul


KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat komposisi kaum yang lebih saksama dalam perkhidmatan awam selaras dengan dasar-dasar transformasi beliau dan matlamat 1Malaysia.

Begitu juga dengan ketua setiausaha negara yang baru Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang mahu melihat perkhidmatan awam menampilkan imej berbilang kaum.

Sekarang ini, lebih 80 peratus penjawat awam adalah Melayu dan Bumiputera lain sementara Cina (5 peratus) dan India (4 peratus). Bahagian yang diwakili bukan-Melayu begitu kecil sekali jika dibandingkan dengan 1.4 juta kakitangan awam di negara ini.

Pada satu ketika dahulu Jabatan Kerja Raya, Perkhidmatan Pos dan Keretapi Tanah Melayu didominasi pegawai daripada masyarakat India. Begitu juga golongan Bukan-Bumiputera hadir dalam bilangan ketara dalam bidang perguruan.

Hari ini, hanya sebilangan kecil penjawat awam India dan bilangan lebih kecil lagi penjawat awam Cina boleh ditemui di jabatan-jabatan tertentu khasnya dalam bidang profesional.

Sementara pintu terus terbuka bagi bukan-Melayu untuk menyertai perkhidmatan awam, mereka memandang sepi terhadap jawatan-jawatan sektor awam kerana menganggap peluang untuk meningkat naik dalam kerjaya adalah terhad berbanding rakan-rakan Melayu mereka.

Masalah ini diburukkan lagi oleh hakikat yang tidak ramai bukan-Melayu sekarang ini berminat dengan perkhidmatan awam. Masyarakat India lebih selesa dengan persekitaran berbilang budaya sementara masyarakat Cina pula memilih persekitaran berorientasi perniagaan.

Bagaimanapun, kerajaan kini serius dalam menarik penyertaan lebih ramai bukan-Melayu dalam usaha memastikan perkhidmatan awam diwakili semua kaum dan menerimapakai pendekatan abad ke 21 dalam menunaikan janji Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

USAHA GALAK RAMAI BUKAN MELAYU

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam menunjukkan bahawa kerajaan mengambil pelbagai usaha untuk menggamit bukan-Melayu menyertai perkhidmatan awam dan ia bukan sekadar omong-omong kosong.

SPA mengendalikan kira-kira 48 peratus daripada jumlah pengambilan kakitangan kerajaan.

Bagi Mahmood, perkara pertama untuk dilakukan adalah menggalakkan lebih ramai bukan-Melayu memohon jawatan-jawatan perkhidmatan awam supaya SPA mempunyai lebih ramai orang untuk dipilih berdasarkan kepada kelayakan dan merit yang ditetapkan bagi semua pemohon.

Sementara penjawat awam Melayu dan Bumiputera lain akan kekal dominan dalam perkhidmatan awam, memandangkan masyarakat itu mewakili majoriti, masih terdapat ruang bagi kaum lain untuk turut memainkan peranan.

Tetapi, untuk meyakinkan bukan-Melayu bahawa perkhidmatan awam bukan terhad kepada masyarakat Melayu sahaja pasti bukan mudah memandangkan Generasi Y adalah segmen populasi yang memasuki pasaran kerja sekarang ini.

SPA juga sedar yang ia perlu mencetuskan perubahan dalam minda masyarakat bukan-Melayu dan dengan itu ia mengambil inisiatif untuk terbabit secara langsung dengan komuniti terbabit.

LUPAKAN YANG LAMPAU

Jadi SPA kini mengambil satu pendekatan baru. Di sebalik hanya mengiklankan peluang-peluang pekerjaan, SPA kini turun padang untuk menggamit bukan-Melayu yang layak untuk mengisi kekosongan dalam perkhidmatan awam.

Antara inisiatif terawal adalah satu sesi dialog bersama 40 guru India dan pemimpin masyarakat untuk menyampaikan mesej di sekolah hinggalah kejiranan akan peluang-peluang yang terdapat dalam perkhidmatan awam bagi masyarakat India.

Sesi dialog bagi wilayah tengah pada Jumaat lepas (6 Julai), akan disusuli oleh sesi lebih kurang sama di wilayah selatan dan utara. Satu dialog lebih kurang sama bagi masyarakat Cina juga sedang diusahakan.

Menurut penyelaras sesi dialog ini G. Perumal, seorang anggota suruhanjaya perkhidmatan awam; "Pada sesi itu Tan Sri menjelaskan bahawa tidak ramai anggota masyarakat India memohon untuk menyertai perkhidmatan awam.

"Beliau menunjukkan bahawa daripada lebih 1.2 juta orang yang memohon mengisi kekosongan dalam perkhidmatan awam pada 2011, masyarakat India diwakili oleh 36,729 (3.27 peratus) orang dan masyarakat Cina jauh kurang iaitu seramai 23,547 (2.1 peratus) sementara pemohon Melayu mengatasi kedua-dua kaum dengan 893,292 (79.5 peratus) pemohon.

"Daripada bilangan ini, 2,316 India (6.3 peratus) dan 3,686 Cina (10.1 peratus) berjaya dipilih berbanding dengan 28,367 Melayu (77 peratus)."

"Tan Sri meminta masyarakat India untuk melupakan apa sahaja yang menghalang mereka sebelum ini daripada menyertai perkhidmatan awam memandangkan pintu bagi mereka terbuka luas sekarang ini."

"Buat julung kali bukan-Melayu boleh memohon sehingga 15 jawatan yang diiklankan oleh SPA dan bukan lima seperti sebelum ini dengan jawatan-jawatan itu diiklankan di akhbar-akhbar harian berbahasa Tamil," katanya dan menambahkata, sehinggakan SPA sedia mengatur temuduga mengikut keperluan pemohon.

BANYAK PERLU DILAKUKAN

Bagaimanapun, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk meyakinkan bukan- Melayu.

Mereka yang menghadiri dialog itu, khasnya kaum guru, tidak puas hati dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan awam.

Mereka menggunakan forum itu untuk menyuarakan keluhan mereka - ketinggalan dari segi kenaikan pangkat dan sumbangan mereka tidak diiktiraf.

Mereka juga menunjukkan peluang kenaikan pangkat yang terhad dan lain-lain lagi yang terhad bagi bukan-Melayu dalam pasukan polis dan angkatan tentera.

Perumal berkata Mahmood memberitahu anggota dialog yang keluhan mereka boleh diselesaikan pada forum relevan dan apa yang penting adalah untuk lihat kepentingan bersama demi masa hadapan.

Dan untuk maju dalam kerjaya dalam sektor awam, mereka perlu bermula dari bawah seperti semua yang lain.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...