Halaman

Google
 



Saturday, July 14, 2012

Bagaimana Untuk Menyiapkan Diri Bagi Sesi Temuduga Dan Berjaya


07 Julai, 2012 22:32 PM

Oleh Hazlinda Hamzah

PETALING JAYA, 7 Julai (Bernama) -- Dengan beratus-ratus orang memohon untuk mengisi jawatan yang sama, termasuk mereka yang baru menamatkan persekolahan, graduan dan mereka yang ingin bertukar majikan, peluang untuk dipanggil menghadiri temuduga adalah tipis.

Dan walaupun mereka dipanggil untuk menghadiri temuduga, melepasi proses saringan pula begitu sukar sekali.

Sementara majikan mempunyai begitu banyak pilihan dalam mengisi kekosongan, mereka yang berharap untuk diterima bekerja sering kali kecewa. Di mana silapnya?

Sekarang ini, persiapan rapi perlu serta kebijaksanaan dalam memohon jawatan dan melepasi proses saringan. Bagaimanapun, nasib juga memainkan peranan kerana beratus-ratus orang yang memenuhi segala syarat memohon jawatan yang sama.

PENAMPILAN PENTING

Tanggapan awal penting. Ini satu daripada syarat penentu yang pencari kerja perlu tahu sama ada dalam memohon jawatan atau menghadiri temuduga.

Tanggapan awal ini bermula dengan surat permohonan yang ringkas, menyeluruh dan menarik yang akan menarik perhatian majikan dan menambah peluang untuk dipanggil menghadiri temuduga.

Tetapi sekarang ini majikan lebih suka mengadakan temuduga terbuka dan dengan itu surat permohonan tidak lagi perlu.

Bagaimanapun, syarat itu kekal. Untuk meyakinkan bakal majikan, penampilan fizikal semasa menghadiri temuduga yang menunjukkan tanggapan pertama adalah penting.

Jadi calon-calon yang menghadiri temuduga dinasihatkan berpakaian elok - bersih dan kemas - sesuai dengan tuntutan jawatan dan status syarikat yang mereka mahu bekerja.

�Setiap kali anda berjalan masuk ke bilik temuduga, tanggapan awal tercetus secara automatik. Panel temuduga akan meneliti pakaian anda,� jelas Sujitha Rajaratnam, Pengarah Sumber Manusia Akzo Nobel Decorative Paints Malaysia baru-baru ini.

Tanggapan pertama ini membawa impak segera. Daripada pakaian yang dipakai, sehinggalah pada aksesori pelengkap dan cara seseorang itu berjalan atau duduk, akan diteliti apabila calon memasuki bilik temuduga.

�Semua orang bermula dengan cara yang sama, dan begitu juga saya. Saya pernah melihat mereka yang berpakaian elok dan mereka yang tidak kisah dengan faktor penampilan semasa temuduga. Mereka seharusnya tahu yang seluar jeans dan selipar tidak boleh dipakai untuk temuduga, katanya.

Pakaian kemas perlu diiringi sikap yang betul.

"Sikap yang betul adalah faktor penting bagi majikan dalam melakukan pilihan yang tepat,� jelas Sujitha lagi.

KOMUNIKASI LEBIH BAIK DIPERLUKAN

Sujitha yang terbabit dalam proses merekrut petugas, mengutarakan satu kelemahan serius yang sering diperhatikan pada calon semasa temuduga.

"Saya mendapati kelemahan dalam kemahiran berkomunikasi dalam kebanyakan temuduga yang dijalankan hari ini. Dan memperbetul kelemahan ini adalah penting. Kami sentiasa mencari bakat-bakat baru dan sesiapa sahaja boleh menikmati laluan kerjaya yang hebat di Akzo Nobel,� katanya.

"Sebagai pengamal HR, saya akan memberi penekanan yang lebih kepada kemampuan calon-calon untuk meyakinkan bakal majikan mereka apabila berkomunikasi semasa sesi temuduga,� kata Sujitha.

Calon-calon perlu meyakinkan panel yang membuat pemilihan akan kemampuan komunikasi mereka semasa temuduga.

Pemerhatian Sujitha juga menunjukkan graduan institut pengajian tinggi swasta nampak lebih terbuka dan menonjol semasa temuduga tidak seperti rakan-rakan mereka daripada institut pengajian tinggi awam.

�Saya mahu lihat lebih ramai graduan daripada universiti-universiti awam menunjukkan kemampuan mereka petah bercakap termasuk memberikan pandangan dan pendapat mereka terhadap perkara-perkara tertentu.

DOKUMEN

Semasa temuduga, ringkasan butiran peribadi atau curriculum vitae (CV) mesti disediakan untuk dirujuk oleh mereka yang mengendalikan temuduga. CV ini perlulah ringkas, padat dan lengkap.

Format CV paling sesuai adalah tidak lebih daripada dua muka surat dan harus mengandungi butir-butir seperti pengalaman kerja, kelayakan akademik dan maklumat terkini pekerjaan semasa mereka.

Pemohon juga perlu menyusun kemas dokumen-dokumen mereka di dalam folio, bersama-sama dengan CV dan sijl-sijil asal, selain membawa bersama mereka sebatang pen dan kertas kosong semasa temubual jika terdapat keperluan.

Selain daripada itu, mungkin terdapat keperluan untuk mengisi borang-borang sebelum temuduga bermula.

Ingat, tambah Sujitha, borang-borang ini perlu diisi lengkap kerana ia membantu penemuduga untuk mendapatkan butir-butir yang diperlukan oleh syarikat sekilas pandang.

�Seseorang perlu menulis semula. Jangan biarkan penemuduga untuk menghalusi CV panjang lebar sekali lagi. Pindahkan semua butiran yang perlu pada ruang-ruang yang disediakan pada borang. Ia tidak mengambil masa yang lama untuk melengkapkannya,� tambah beliau.

BUATLAH SEDIKIT KAJI SELIDIK

Seseorang calon temuduga perlu tahu mengenai latar belakang syarikat yang berkenaan. Mereka perlu melakukan sedikit kaji selidik akan produk-produk keluaran syarikat itu dan industri.

Ia pasti berfaedah untuk mengetahui maklumat lanjut syarikat berkenaan dan bagaimana kedudukannya jika dibandingkan dengan penggiat industri atau pesaing berkaitan.

Calon-calon juga boleh melayari laman web syarikat untuk mengetahui mengenai pelanggan syarikat, selain tumpuan dan pendekatannya.

DISKRIPSI TUGAS

Satu lagi petua penting adalah untuk meneliti bidang tugas jawatan yang dipohon itu.

Memahami bidang tugas akan membolehkan calon-calon lebih bersiap sedia untuk menghadapi temuduga, khasnya mengenai kesesuaian calon itu sendiri bagi jawatan berkenaan.

Dan akhir sekali, mereka yang menghadiri temuduga perlu berada di tempat yang sepatutnya tepat pada masa dan perlu berada dalam keadaan relaks semasa sesi temubual.

Graduan hari ini perlu mencari jalan meningkatkan peluang untuk mencari pekerjaan daripadak mengeluh yang mereka ketinggalan dalam persaingan mencari kerja.

Jadi apa pula kata mereka yang bersiap untuk memasuki pasaran kerja? Mohd Alif Osman, seorang penuntut tahun akhir program diploma seni hias dalaman yang berusia 23 tahun yakin akan masa depannya dalam industri itu.

�Sebelum ke temuduga, seorang graduan perlu mengetahui keperluan sebenar industri dan baca akan latarbelakang syarikat yang mereka berminat untuk bekerja. Ini pasti dapat membantu saya menghadapi temuduga dengan lebih baik,� jelas Mohd Alif.

Chun Ee Voon, 20, seorang penuntut Malaysian Institute of Arts juga menyuarakan kesediaannya untuk merebut apa-apa peluang pekerjaaan selepas menamatkan kursus dua setengah tahun.

Sekarang ini bukan mudah untuk mendapatkan peluang pekerjaan, jadi mereka yang sedang mencari pekerjaan perlu menghargai setiap peluang temuduga dan berusaha ke arah menambah baik kemahiran komunikasi dan pengetahuan mereka untuk meyakinkan bakal majikan.

-- BERNAMA

SPA Serius Dalam Memikat Bukan-Melayu Sertai Sektor Awam


Laporan Khas Oleh Ravichandran D.J Paul


KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat komposisi kaum yang lebih saksama dalam perkhidmatan awam selaras dengan dasar-dasar transformasi beliau dan matlamat 1Malaysia.

Begitu juga dengan ketua setiausaha negara yang baru Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang mahu melihat perkhidmatan awam menampilkan imej berbilang kaum.

Sekarang ini, lebih 80 peratus penjawat awam adalah Melayu dan Bumiputera lain sementara Cina (5 peratus) dan India (4 peratus). Bahagian yang diwakili bukan-Melayu begitu kecil sekali jika dibandingkan dengan 1.4 juta kakitangan awam di negara ini.

Pada satu ketika dahulu Jabatan Kerja Raya, Perkhidmatan Pos dan Keretapi Tanah Melayu didominasi pegawai daripada masyarakat India. Begitu juga golongan Bukan-Bumiputera hadir dalam bilangan ketara dalam bidang perguruan.

Hari ini, hanya sebilangan kecil penjawat awam India dan bilangan lebih kecil lagi penjawat awam Cina boleh ditemui di jabatan-jabatan tertentu khasnya dalam bidang profesional.

Sementara pintu terus terbuka bagi bukan-Melayu untuk menyertai perkhidmatan awam, mereka memandang sepi terhadap jawatan-jawatan sektor awam kerana menganggap peluang untuk meningkat naik dalam kerjaya adalah terhad berbanding rakan-rakan Melayu mereka.

Masalah ini diburukkan lagi oleh hakikat yang tidak ramai bukan-Melayu sekarang ini berminat dengan perkhidmatan awam. Masyarakat India lebih selesa dengan persekitaran berbilang budaya sementara masyarakat Cina pula memilih persekitaran berorientasi perniagaan.

Bagaimanapun, kerajaan kini serius dalam menarik penyertaan lebih ramai bukan-Melayu dalam usaha memastikan perkhidmatan awam diwakili semua kaum dan menerimapakai pendekatan abad ke 21 dalam menunaikan janji Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

USAHA GALAK RAMAI BUKAN MELAYU

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam menunjukkan bahawa kerajaan mengambil pelbagai usaha untuk menggamit bukan-Melayu menyertai perkhidmatan awam dan ia bukan sekadar omong-omong kosong.

SPA mengendalikan kira-kira 48 peratus daripada jumlah pengambilan kakitangan kerajaan.

Bagi Mahmood, perkara pertama untuk dilakukan adalah menggalakkan lebih ramai bukan-Melayu memohon jawatan-jawatan perkhidmatan awam supaya SPA mempunyai lebih ramai orang untuk dipilih berdasarkan kepada kelayakan dan merit yang ditetapkan bagi semua pemohon.

Sementara penjawat awam Melayu dan Bumiputera lain akan kekal dominan dalam perkhidmatan awam, memandangkan masyarakat itu mewakili majoriti, masih terdapat ruang bagi kaum lain untuk turut memainkan peranan.

Tetapi, untuk meyakinkan bukan-Melayu bahawa perkhidmatan awam bukan terhad kepada masyarakat Melayu sahaja pasti bukan mudah memandangkan Generasi Y adalah segmen populasi yang memasuki pasaran kerja sekarang ini.

SPA juga sedar yang ia perlu mencetuskan perubahan dalam minda masyarakat bukan-Melayu dan dengan itu ia mengambil inisiatif untuk terbabit secara langsung dengan komuniti terbabit.

LUPAKAN YANG LAMPAU

Jadi SPA kini mengambil satu pendekatan baru. Di sebalik hanya mengiklankan peluang-peluang pekerjaan, SPA kini turun padang untuk menggamit bukan-Melayu yang layak untuk mengisi kekosongan dalam perkhidmatan awam.

Antara inisiatif terawal adalah satu sesi dialog bersama 40 guru India dan pemimpin masyarakat untuk menyampaikan mesej di sekolah hinggalah kejiranan akan peluang-peluang yang terdapat dalam perkhidmatan awam bagi masyarakat India.

Sesi dialog bagi wilayah tengah pada Jumaat lepas (6 Julai), akan disusuli oleh sesi lebih kurang sama di wilayah selatan dan utara. Satu dialog lebih kurang sama bagi masyarakat Cina juga sedang diusahakan.

Menurut penyelaras sesi dialog ini G. Perumal, seorang anggota suruhanjaya perkhidmatan awam; "Pada sesi itu Tan Sri menjelaskan bahawa tidak ramai anggota masyarakat India memohon untuk menyertai perkhidmatan awam.

"Beliau menunjukkan bahawa daripada lebih 1.2 juta orang yang memohon mengisi kekosongan dalam perkhidmatan awam pada 2011, masyarakat India diwakili oleh 36,729 (3.27 peratus) orang dan masyarakat Cina jauh kurang iaitu seramai 23,547 (2.1 peratus) sementara pemohon Melayu mengatasi kedua-dua kaum dengan 893,292 (79.5 peratus) pemohon.

"Daripada bilangan ini, 2,316 India (6.3 peratus) dan 3,686 Cina (10.1 peratus) berjaya dipilih berbanding dengan 28,367 Melayu (77 peratus)."

"Tan Sri meminta masyarakat India untuk melupakan apa sahaja yang menghalang mereka sebelum ini daripada menyertai perkhidmatan awam memandangkan pintu bagi mereka terbuka luas sekarang ini."

"Buat julung kali bukan-Melayu boleh memohon sehingga 15 jawatan yang diiklankan oleh SPA dan bukan lima seperti sebelum ini dengan jawatan-jawatan itu diiklankan di akhbar-akhbar harian berbahasa Tamil," katanya dan menambahkata, sehinggakan SPA sedia mengatur temuduga mengikut keperluan pemohon.

BANYAK PERLU DILAKUKAN

Bagaimanapun, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk meyakinkan bukan- Melayu.

Mereka yang menghadiri dialog itu, khasnya kaum guru, tidak puas hati dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan awam.

Mereka menggunakan forum itu untuk menyuarakan keluhan mereka - ketinggalan dari segi kenaikan pangkat dan sumbangan mereka tidak diiktiraf.

Mereka juga menunjukkan peluang kenaikan pangkat yang terhad dan lain-lain lagi yang terhad bagi bukan-Melayu dalam pasukan polis dan angkatan tentera.

Perumal berkata Mahmood memberitahu anggota dialog yang keluhan mereka boleh diselesaikan pada forum relevan dan apa yang penting adalah untuk lihat kepentingan bersama demi masa hadapan.

Dan untuk maju dalam kerjaya dalam sektor awam, mereka perlu bermula dari bawah seperti semua yang lain.

-- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...