Google
 



Jumaat, 25 Mei 2012

Kolej PTPTL mampu memenuhi keperluan teknologi makmal negara

PELAJAR banyak melakukan ujian makmal untuk diagnosis penyakit.  
PELAJAR banyak melakukan ujian makmal untuk diagnosis penyakit.
 
TEKNOLOGI Makmal Perubatan (MLT) antara bidang kerjaya yang menitikberatkan sains dan amalan penyelidikan makmal untuk membantu dalam diagnosis, penentuan punca penyakit, cara kawalan dan juga penyembuhannya.

Apabila sesuatu penyakit yang memerlukan penyiasatan mendalam, khidmat juruteknologi makmal diperlukan untuk menganalisis ujian yang dijalankan terhadap pesakit. Keputusan daripada penganalisaan itu dapat membantu doktor dalam membuat diagnosis dan seterusnya memberi rawatan lanjut.
Sehubungan itu, tidak hairan sekiranya kerjaya dalam bidang teknologi makmal perubatan (MLT) merupakan individu penting dalam pasukan perubatan kerana amalan perubatan moden sekarang banyak bergantung hasil keputusan sesuatu ujian.


Tambahan pula, negara menyaksikan peningkatan terhadap kakitangan makmal perubatan, peluang kerjaya yang menanti lulusan MLT mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan lepasan SPM.

Kolej PTPL tidak ketinggalan menyahut seruan kerajaan dengan menawarkan program Teknolologi Makmal Perubatan di peringkat Diploma. Program tiga tahun ini terbuka kepada mereka yang berminat untuk berada di dalam bidang sains kesihatan.

Program Diploma Teknologi Makmal Perubatan (DTMP) ini direka khas bagi mempersiapkan pelajar untuk bekerja dalam bidang perubatan, penyelidikan klinikal dan makmal kesihatan awam. Mereka yang bertanggungjawab menerima specimen penyakit, melakukan ujian makmal bagi membantu pakar perubatan dalam diagnosis dan rawatan penyakit.

Juruteknologi makmal perubatan menggunakan pengetahuan mereka untuk menjalankan ujian, membantu doktor dalam diagnosis, memantau, merawat penyakit. Mereka mampu untuk menentukan punca jangkitan dan jenis darah pesakit bagi memudahkan kerja-kerja yang lain.
Di antara bidang yang boleh diceburi antaranya adalah dalam bidang bioperubatan, bioinformatika, teknologi pangan, bioteknologi dan mikrobiologi. Ini adalah daerah, yang penting untuk negara-negara membangun. Ini adalah sejajar dengan kerajaan fokus untuk meningkatkan jumlah professional dalam bidang sains kesihatan.

Lulusan dari Kolej PTPL boleh melanjutkan pengajian mereka ke peringkat Ijazah di Management Science Universtiy (MSU) di bawah Fakulti Sains Kesihatan (FHLS). Graduan juga boleh memohon untuk program MBBS melalui MSU International Medical School (IMS) di Kampus Shah Alam atau Kampus pesisir pantai di Bangalore, India.

Bagi pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian tidak perlu risau dengan yuran pengajian. Tabung PTPTN merupakan antara badan yang menyediakan pinjaman kepada pelajar bagi menguruskan yuran pengajian dan juga badan tajaan yang lain. Selain itu, Kolej PTPL juga menawarkan bantuan kewangan melalui Anugerah Presiden PTPL, Biasiswa Pendidikan SKOR, dan juga pinjaman melalui institusi perbankan tempatan. 
 
--- BERITA HARIAN

Isnin, 21 Mei 2012

Pengorbanan ikhlas jururawat wajar diberi pengiktirafan setimpal

Oleh Irfan Mohamad
2010/05/21

KERJAYA jururawat sering dilepas pandang bermula daripada ingin memilih bidang pengajian, mahupun pemberian pengiktirafan. Mereka jarang bersuara di media apatah lagi menjadi wakil pertubuhan atau jurucakap persatuan. Mereka diingati sekali setahun pada tanggal 12 Mei dengan sambutan sederhana, namun semua itu tidak pernah mematikan semangat mereka untuk turut menyumbangkan kepada keutuhan institusi kesihatan negara.

Setakat ini, ada 90 kolej kejururawatan di seluruh negara dan 17 daripadanya milik kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kolej kejururawatan itu mampu melahirkan 8,000 jururawat bertauliah setahun. Setakat ini, ada 80,000 jururawat di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 75 peratus berkhidmat dengan kerajaan.

Menjelang 2015, kerajaan menyasarkan nisbah jururawat kepada pesakit ialah 1:200 berbanding sekarang 1:329.

Sesungguhnya, tidak dinafikan pengorbanan besar yang ditunjukkan insan mulia ini. Walau bebanan kerja yang sememangnya berat dan bertambah berlipat kali ganda apabila adanya wabak seperti denggi dan Influenza A (H1N1), mahupun musibah setempat seperti banjir dan tanah runtuh, mereka tetap bersama kakitangan perawat lain dalam menjayakan misi Kementerian Kesihatan untuk meletakkan kesihatan rakyat di tempat teratas.

Kelibat mereka sentiasa ada di mana-mana saja lokasi berkaitan kesihatan - di hospital rujukan, hospital daerah, klinik gigi, Klinik 1Malaysia, kem khidmat kesihatan, pameran dan klinik bergerak. Mereka menjadi penenang kepada ibu mengandung yang gelisah, anak kecil yang takut diperiksa gigi, orang tua yang murung kesedihan atau pesakit yang datang tanpa teman.

Merekalah yang menyuapkan makan dan ubat pesakit tidak berupaya, memandikan mereka yang belum boleh menguruskan diri, menggosok gigi pesakit tidak sedar, bahkan menyucikan kumuhan dilakukan tanpa sedikitpun keluhan. Di manakah lagi profesion yang boleh kita cari ganti, serupa dengannya?

Setiap jururawat keluar rumah menuju ke tempat kerja kebanyakannya secara syif, menyebabkan ada kalanya mereka pulang malam jika tidak ‘bermalam’ di hospital dalam keadaan mata yang celik cekal menjalankan tugas. Namun, semua itu diharungi dengan penuh iltizam dan semangat bahawa tugas mulia ini pasti mempunyai ganjaran besar suatu hari nanti.

Dalam mereka mengharungi segala getir, jarang sekali kita mendengar mereka melakukan kesalahan, baik berbentuk disiplin mahupun etika. Walhal, berbanding perkhidmatan barisan hadapan seperti di kaunter, mereka sememangnya cenderung mempamerkan aksi reaktif akibat provokasi yang kita tahu berpunca daripada pelbagai jenis perangai manusia yang datang ke hospital.

Namun, semua itu mampu diserap dengan senyap. Kerja berjalan seperti biasa penuh profesionalisme.

Sebagai seorang paling banyak masa dihabiskan bersama pesakit, jururawat dilihat mampu menjayakan misi sebuah hospital, mahupun misi perawatan pesakit secara lebih holistik. Misalnya, jika hospital ingin diiktiraf sebagai hospital rakan bayi yang menerapkan sepenuhnya penyusuan susu ibu, maka jururawat paling banyak memberi input dan tunjuk ajar kaedahnya kepada pesakit selain prasarana dan infrastruktur yang disediakan pihak hospital.

Jika hospital ingin menjadi mesra ibadat, maka jururawat juga menjadi pengingat kepada pesakit, menghulurkan kemudahan di wad, mahupun mendapatkan bahan bacaan bagi tujuan pendidikan dan panduan beribadah.

Tugas perawatan banyak dilaksanakan jururawat. Pakar atau pegawai perubatan sememangnya menentukan apa harus dilakukan, tetapi pelaksanaan dan pemantauannya dilakukan oleh mereka yang sentiasa bersama pesakit. Tiada satu arahan doktor pun akan terlepas pandang atau tertinggal untuk dilaksanakan kerana dari satu syif ke syif lain, jururawat akan pastikan pemindahan maklumat itu dilakukan secara tepat, jelas dan jitu kepada rakan setugas. Sebelum mereka pulang setiap hari, itulah akan mereka lakukan tanpa jemu.

Jarang sekali kita mendengar golongan ini meminta kenaikan gaji atau imbuhan, walaupun saban tahun silih berganti pengumuman menggembirakan yang dibuat memberikan senyuman kepada penjawat sektor awam. Tidak pernah diadakan protes jauh sekali menghantar memorandum atau tunjuk perasaan kerana mereka tahu imbuhan besar sedia menanti bagi mereka yang ikhlas bekerja membantu pesakit.

Sewajarnya bidang kejururawatan di Malaysia perlu diangkasakan bukan saja dari segi namanya, bahkan pengiktirafan lain selaras pengorbanan mereka.

Pulau Pandan jauh ke tepi,
Gunung Daik bercabang dua,
Jururawat penerus terapi berkualiti,
Pesakit yang perit menjadi lega.
--- BERITA HARIAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...