Halaman

Google
 



Wednesday, July 27, 2011

Tiga premis makanan kotor diarah tutup oleh MPAJ

ARKIB : 27/07/2011

AMPANG 26 Julai - Sebanyak tiga buah restoran diarah tutup dalam operasi 'Tutup Kedai Makanan Kotor' yang dijalankan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bersama Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat di sekitar kawasan Kampung Tasik Permai, Lembah Jaya, di sini baru-baru ini.

Operasi yang diketuai oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MPAJ, Ghazali Abd. Wahab itu melibatkan lapan anggota penguat kuasa MPAJ dan enam daripada Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat.

Ghazali berkata, operasi tersebut telah memeriksa 10 buah premis makanan dan tiga kedai diarahkan tutup kerana pengusahanya telah melanggar beberapa syarat termasuk didapati kotor.

Katanya, tindakan menutup kedai makan tersebut diambil setelah markah yang diperoleh oleh kedai itu kurang daripada 50 peratus iaitu berada dalam kategori D.

"Kesemua restoran berkenaan telah diberi notis memberhentikan operasi selama 14 hari di bawah Akta Makanan 1983.

"Dalam tempoh berkenaan, pengusaha perlu mengambil tindakan yang telah diarahkan oleh pegawai berkuasa bagi meningkatkan tahap kebersihan premis makanan mereka," katanya selepas operasi tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak enam kompaun kepada pengusaha kedai makanan yang membabit beberapa kesalahan.

Antaranya ialah pekerja premis terbabit tidak mempunyai suntikan Typhod TY2, tidak memakai apron, topi dan kasut sewaktu bekerja.

Kesalahan-kesalahan lain yang dilakukan oleh pengusaha restoran adalah tidak memasang perangkap minyak pada sinki dan dikesan terdapat banyak serangga perosak.

Jelasnya lagi, dari Januari sehingga Julai tahun ini, pihak MPAJ telah mengadakan pemeriksaan terhadap 61 buah restoran dan 15 daripadanya diarahkan tutup kerana gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0727&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_07.htm#ixzz2E04kFUeV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...