Halaman

Google
 



Monday, January 10, 2011

Penambahbaikan perkhidmatan kesihatan bukti keprihatinan kerajaan (Utusan Malaysia Online)

Kesihatan adalah keperluan asas manusia dan rakyat mengharapkan pihak kerajaan menyediakan kemudahan perkhidmatan kesihatan yang baik secara percuma ataupun pada kadar kos yang paling minimum.

Dalam hal ini, kita amat tertarik dengan beberapa inisiatif dan langkah yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Semuanya bermula dengan pelancaran Klinik 1Malaysia yang telah diwujudkan mulai Januari lalu bertujuan menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan ringan kepada penduduk di kawasan bandar sesuai dengan pendekatan kerajaan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' pada kadar bayaran serendah RM1 sahaja.

Ia disusuli pula dengan pelancaran Inisiatif Klinik Bergerak 1Malaysia pada awal bulan ini, yang menawarkan perkhidmatan penjagaan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma ke kampung di kawasan pedalaman.

Melalui Klinik Bergerak 1Malaysia ini, bas- bas yang telah disediakan akan membawa doktor, jururawat dan staf sokongan untuk merawat mereka yang sakit dan memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti di tempat yang tidak ada kemudahan klinik dan hospital terutama di kawasan pedalaman.

Terkini Najib mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan klinik bot bergerak hibrid untuk memberikan perkhidmatan kesihatan ke kampung yang dihubungkan melalui sungai di Sabah dan Sarawak.

Tambah Najib, langkah ini bertujuan memastikan rakyat dapat menikmati kesihatan lebih baik dan menerima pemeriksaan perubatan, ubat dan nasihat yang sewajarnya.

Komitmen dan pelbagai inisiatif seperti ini jelas membuktikan tahap keprihatinan dan keikhlasan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat, membela nasib golongan yang kurang mampu serta membuka ruang akses kepada masyarakat luar bandar untuk turut sama menikmati kemudahan kesihatan yang berkualiti sama seperti masyarakat di kawasan bandar.

Hal ini amat signifikan kerana dengan adanya klinik-klinik bergerak seperti ini, ia dijangka mampu mengurangkan beban pesakit di klinik kesihatan di kawasan bandar yang sedia ada dan ini juga dapat memudahkan serta mempertingkatkan akses rakyat untuk mendapatkan rawatan ringan terutama di kawasan luar bandar.

Kita perlu sedar bahawa masih ramai penduduk luar bandar berpendapatan rendah dan sederhana. Golongan ini sering menghadapi masalah kekangan kewangan untuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik mahupun hospital swasta. Tambahan pula hospital ataupun klinik kesihatan kerajaan yang sedia ada agak jauh dari lokasi penempatan mereka dan jumlah pesakit pula ramai yang jelas akan melambatkan proses mendapatkan rawatan yang dikehendaki dengan segera.

Keprihatinan pihak kerajaan dalam aspek kesihatan rakyat memang tidak perlu diragui ataupun dinafikan kerana buktinya bagi tahun 2010 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telahpun diperuntukkan bajet berjumlah RM14.8 bilion yang merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM11.2 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM3.6 bilion.

Peruntukan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 7.6 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM13.2 bilion. Malah, peruntukan yang diterima oleh KKM ini juga merupakan antara yang tertinggi berbanding kementerian lain. Data ini sudah cukup untuk menjelaskan rasa tanggungjawab kerajaan terhadap aspek kesihatan rakyat negara ini terutamanya bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan.

Dalam pada itu, kerajaan juga dilihat amat serius dalam mengekang tindakan beberapa klinik dan hospital swasta yang mengenakan caj rawatan melampau dan tidak munasabah sehingga pesakit mengalami kesukaran untuk menjelaskan bil tersebut.

Ini terbukti apabila pihak KKM melalui mesyuarat bersama Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia, Majlis Perubatan Malaysia (MMC), ketua pegawai eksekutif dan orang bertanggungjawab bagi hospital swasta, wakil Organisasi Jagaan Yang Diuruskan (MCO), syarikat insurans, kumpulan profesional serta profesional perseorangan baru-baru ini telah memutuskan agar hospital swasta kini perlu memaklumkan secara terperinci dan telus mengenai caj profesional serta caj anggaran dan di luar jangkaan sebelum pesakit diberi rawatan atau dimasukkan ke wad.

Penulis berharap agar pihak kerajaan akan meneruskan lagi inisiatif-inisiatif murni seperti ini agar seluruh rakyat Malaysia mampu akses kepada kemudahan rawatan perubatan yang berkualiti demi melahirkan sebuah masyarakat yang sihat and cergas.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Penolong Pendaftar Kanan Pusat Kesihatan Universiti, Universiti Putra Malaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...