Halaman

Google
 



Wednesday, December 9, 2009

Jururawat Islam sedia berbakti (Utusan Malaysia Online)


ISHAK Yeop Hamzah bertanya sesuatu kepada sebahagian jururawat yang mengikuti Program Orientasi Tugas Kejururawatan di Yala, baru-baru ini.


KOMITMEN Malaysia dalam membantu kerajaan Thailand bagi membawa keamanan di tiga wilayah di selatan negara itu yang majoritinya terdiri daripada penduduk Islam sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.

Apatah lagi, di dalam Islam sendiri, kita digalakkan membantu sesama Muslim dengan apa cara sekali pun. Begitu juga Malaysia, kerajaan negara ini tidak mahu hanya menjadi pemerhati kepada pergolakan yang berlaku di Narathiwat, Yala dan Pattani.

Atas sebab itulah, Malaysia bersedia menubuhkan Task Force 2010 (Malaysia) yang bekerjasama dengan Task Force 960 Thailand bagi merangka pelbagai program yang bertujuan membantu penduduk Islam di tiga wilayah yang bergolak berkenaan.

Sejak kewujudannya, Task Force 2010 (Malaysia) yang dipimpin oleh Ketua Pengarahnya, Leftenan Jeneral Datuk Wan Abu Bakar Omar telah mengatur pelbagai program terutamanya dalam soal memberi kemahiran kepada belia selatan Thailand dalam pelbagai bidang termasuklah kejururawatan, komputer dan elektrik.

Usaha Task Force 2010 (Malaysia) itu bertujuan bagi memastikan, selatan Thailand akan mampu mempunyai golongan generasi belia yang berupaya untuk membantu masyarakat sendiri dan sekali gus mengelakkan mereka daripada terjebak dalam sebarang kegiatan yang tidak sihat.

Ia kerana sudah menjadi lumrah dalam sesuatu konflik, apatah lagi melibatkan gerakan puak pemisah, generasi muda pasti menjadi sasaran untuk dipengaruhi bagi meneruskan perjuangan songsang berkenaan.

Justeru tumpuan harus diberikan kepada golongan belia supaya mereka mempunyai kemahiran yang mampu membantu mereka meneruskan kehidupan di tanah air sendiri dengan melakukan pekerjaan bersesuaian.

Pada 2 Disember lalu, Task Force 2010 (Malaysia) dengan kerjasama Task Force 960 terus mengorak langkah bagi memberikan pendedahan kepada belia dari selatan Thailand yang pernah mengikuti kursus kejururawatan di negara ini.

Kali ini, seramai 40 orang daripada mereka mengikuti Program Orientasi Tugas Kejururawatan di Kolej Kejururawatan Boromrajchoni Southern Region Thailand di Yala selama sebulan.

Program itu bertujuan memberi penekanan terhadap kerja-kerja praktikal sebagai jururawat seperti yang sedang digunapakai dan diperakui oleh Kementerian Kesihatan Thailand.

Kesemua mereka sebelum ini telah mengikuti Program Latihan Pembantu Jururawat selama setahun di Universiti Kuala Lumpur - Royal of Medicine Perak (UniKL-RCMP). Ia dianjurkan oleh kedua-dua task force berkenaan.

Melalui pendedahan selama sebulan di Yala itu, ia sudah pasti akan memberikan ilmu yang bermanfaat dalam usaha memastikan mereka menjadi jururawat yang berkebolehan.

Selepas mengikuti program orientasi itu, mereka akan meneruskan khidmat masing-masing sebagai pembantu jururawat terlatih di Hospital dan klinik kerajaan sekitar Yala, Patani dan Narathiwat.

Penghargaan

Atas sebab itulah, tiada apa yang mampu mereka lafazkan selain mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana sebelum ini telah memberikan peluang untuk mengikuti program latihan di negara ini.

‘‘Segala jasa yang dilakukan oleh Malaysia melalui Task Force 2010 (Malaysia) akan kami kenang sehingga akhir hayat,’’ kata Suraya Samah dari Yala.

Suraya berkata, walaupun jururawat bukanlah menjadi cita-cita utamanya tetapi sejak mengikuti kursus dalam bidang itu, beliau mula tertarik dengan kerjaya berkenaan.

‘‘Saya akan berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di kawasan saya,’’ katanya.

Rakannya, Suhaida Awai dari Narathiwat pula berkata, kesungguhan kerajaan Malaysia melalui Task Force 2010 (Malaysia) yang terus merancang pelbagai program bagi meningkatkan kemahiran mereka adalah sesuatu yang menyentuh perasaan.

Katanya, keadaan itu membuktikan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam sentiasa berusaha membantu saudara sesama agama di negara lain.

‘‘Ilmu yang diperolehi tidak akan kami sia-siakan. Sebaliknya ia akan dicurahkan sepenuhnya bagi berbakti kepada penduduk,’’ katanya.

Suhaida berharap, selepas ini program latihan kejururawatan seumpama itu akan diteruskan bagi memberi peluang kepada belia lain pula di selatan Thailand mengikutinya.

‘‘Saya percaya ramai yang ingin menyertai kursus ini kerana ia akan mampu membantu kami mendapat pekerjaan,’’ katanya.

Hasmah Sama daripada Pattani pula berkata, beliau berterima kasih dengan keprihatinan Malaysia dalam melaksanakan kursus jururawat tersebut.

Apa yang menarik, biarpun kebanyakan daripada mereka berkelulusan sekolah agama, tetapi sepanjang mengikuti program latihan berkenaan, mereka berupaya menunjukkan kemampuan yang memberangsangkan dan mampu menjadi jururawat Islam yang cemerlang.

Berucap di majlis penyampaian sijil selepas program orientasi tersebut, Pengarah Operasi Task Force 2010 (Malaysia), Brigedier Jeneral Datuk Ishak Yeop Hamzah berkata, melalui program itu adalah diharapkan ia akan memahirkan lagi kemampuan jururawat-jururawat yang terlibat.

Katanya, dengan kemampuan itu ia sudah tentulah mampu memberikan mereka manfaat untuk menabur bakti di tanah air sendiri terutama di Yala, Pattani dan Narawathiwat

‘‘Tanamkanlah keazaman pada diri masing-masing untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,’’ katanya.

Ishak berkata, masyarakat di ketiga-tiga wilayah berkenaan sudah pasti akan berasa bangga jika jururawat-jururawat terlibat mampu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

‘‘Sebab itulah, mereka perlu berjanji bahawa kelayakan dan pengalaman yang sedia ada dengan diri masing-masing akan digunakan sepenuhnya untuk berbakti kepada masyarakat di selatan Thailand.

‘‘Mereka harus sedar bahawa tugas jururawat adalah amat dihormati dan sentiasa dipandang mulia,’’ katanya.

Sememangnya hanya melalui perkhidmatan yang terbaik sahaja, ia sudah pasti mampu membantu mereka untuk mencatatkan kejayaan lebih cemerlang di masa-masa akan datang.

Apa yang lebih penting dengan memberikan pendedahan kepada belia di selatan Thailand mengikuti program seumpama ini, ia akan sedikit sebanyak membantu membawa keamanan di wilayah yang bergolak tersebut.

Di samping itu juga, adalah menjadi harapan agar program ini akan dapat membantu usaha-usaha membawa keamanan ke selatan Thailand.

Apa pun rumusannya, program orientasi yang diadakan itu sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia sememangnya ikhlas dalam membantu Thailand memulihkan keadaan di selatan negara itu.

Dan bukti keikhlasan Malaysia akan lebih nyata, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Narathiwat pada Rabu ini.

Semoga lawatan itu akan memperkukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara bagi memastikan cahaya keamanan kembali bersinar di bumi selatan Thailand.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...