Halaman

Google
 



Thursday, October 15, 2009

Penyelidikan menghalang wabak virus nipah


KAJIAN yang dijalankan oleh Dr. Chan Li-Yen menggunakan analisis bioinformatik dapat mengesan sehingga tujuh jenis protein yang terlibat dalam replikasi virus.


WABAK virus Nipah mula dikesan pada 1999 selepas ia menyebabkan penyakit pernafasan dan neurologi di ladang ternakan babi di Negeri Sembilan, Semenanjung Malaysia.

Wabak berkenaan telah menyebabkan 105 kematian manusia dan pelupusan lebih sejuta ekor ternakan babi.

Bukan saja di negara ini, malah wabak berkenaan merebak ke Singapura dengan 11 kes termasuk satu kematian berlaku di kalangan pekerja sembelihan yang terdedah kepada babi yang diimport dari ladang di Malaysia.

Simptom jangkitan dari wabak virus Nipah di negara ini adalah ensefalitis atau radang otak pada manusia dan pernafasan bagi babi.

Wabak berikutnya telah menyebabkan penyakit pernafasan pada manusia, meningkatkan kemungkinan jangkitan dari manusia ke manusia dan menunjukkan kewujudan jenis virus yang lebih merbahaya.

Berasaskan data seroprevalence dan pengasingan virus, simpanan utama virus Nipah telah dikenal pasti sebagai kelawar buah atau Pteropid fruit bats termasuk Pteropus vampyrus (Keluang) dan Pteropus hypomelanus (Keluang Kecil) yang terdapat di negara ini.

Virus Nipah bukan saja dikesan di negara ini tetapi wabak berkenaan dikesan di Bangladesh dengan kadar kematian mencecah 80 peratus.

Kadar berkenaan hampir menyamai dengan wabak Ebola, sementara Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) hanya mencatatkan kadar kematian sekitar sembilan peratus.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan punca kematian yang lebih tinggi sama ada disebabkan jenis virus di Bangladesh lebih berbahaya berbanding jenis di sini atau disebabkan faktor perkhidmatan kesihatan dan sanitasi yang kurang baik.

Bagi menghalang wabak Nipah, negara kini mengambil langkah drastik dengan menyaring contoh darah babi bagi mengesan virus Nipah.

Penyebaran virus Nipah dari kelawar kepada babi dipercayai berlaku akibat peningkatan pertindanan antara kawasan habitat kelawar dengan kawasan pemeliharaan babi di Semenanjung Malaysia.

Kajian mendapati di ladang tempat bermulanya wabak terdapat kebun buah yang berada berdekatan dengan ladang babi di mana sisa air kencing, najis dan buah-buahan yang digigit keluang dimakan pula oleh babi.

Kajian retrospespektif menunjukkan bahawa limpahan virus kepada babi mungkin telah berlaku di Malaysia semenjak 1996 tanpa dikesan.

Pada 1998, penyebaran virus banyak dibantu oleh pemindahan babi yang dijangkiti ke ladang lain dan memulakan wabak yang baru.

Justeru sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya (UM) telah menjalankan kajian mengenai wabak yang disebabkan oleh virus Nipah bermula tahun 2000.

Kajian yang dijalankan adalah mengenai tindakbalas sel neural atau saraf otak pada manusia.

Salah seorang penyelidik yang juga pensyarah di Jabatan Perubatan Mikrobiologi, Fakulti Perubatan UM, Dr. Chan Li-Yen berkata, kajian yang dijalankan menjurus kepada ekspresi protein.

"Kajian dijalankan banyak mengenai protein yang diekspresikan pada sel saraf pada manusia," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Beliau merupakan pemenang Anugerah Saintis Muda Merck 2008.

Dr. Chan berkata, hasil penyelidikan yang dijalankan mendapati virus Nipah boleh dihalang dengan dua cara.

"Kaedah pertama adalah dengan menghalang proses replikasi dan kedua dengan memusnahkan sel yang dijangkiti," katanya.

Beliau menjelaskan kajian terdahulu hanya mensasarkan untuk membunuh virus yang menjangkiti perumah atau hos.

"Bagaimanapun hasil penyelidikan yang dijalankan mendapati terdapat protein di dalam perumah yang diperlukan dalam proses replikasi virus.

"Buat masa ini kami sedang mensasarkan protein hos yang dapat membantu dalam proses replikasi virus.

"Jika proses replikasi virus Nipah dapat dihalang, ini dapat membantutkan bukan saja perkembangan tetapi juga jangkitan virus pada mangsa," katanya.

Hasil kajian in-vitro di dalam makmal mendapati perkembangan virus Nipah dapat dihalang dengan menyekat perkembangan protein berkenaan.

Kajian menggunakan analisis bioinformatik pula dapat mengesan sehingga tujuh jenis protein yang terlibat dalam replikasi virus.

Protein-protein berkenaan akan dikaji peranan dalam perkembangan virus Nipah dalam membantu menghalang virus.

"Oleh itu kajian yang dijalankan akan diteruskan bagi mencari bahan yang boleh menghalang atau membantutkan replikasi virus daripada berlaku," katanya.

Dr. Chan berkata, walaupun pihaknya telah berjaya menemui protein yang dapat menghalang perkembangan virus Nipah, masih banyak yang perlu dikaji.

"Pihak kami juga akan terus menjalankan kajian mengenai virus Nipah memandangkan ia masih baru di rantau ini dan kemungkinan virus ini menjadi wabak jika tidak ditangani dengan betul.

"Kami berharap virus Nipah akan dapat dikawal dari peringkat awal dan hasil kajian dapat digunakan dan diiktiraf di peringkat global," katanya.


--- UTUSAN MAALYSIA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...