Halaman

Google
 



Friday, February 15, 2008

IOL & MICS: Teknologi terkini pembedahan katarak


SISTEM Stellaris membolehkan doktor membuat insisi sekecil 1.8 milimeter semasa pembedahan katarak.


KATARAK, perkataan yang semakin banyak didengar kini berikutan peningkatan bilangan kes setiap tahun di samping usaha membangunkan teknologi bagi pembedahan mata menggantikan kanta mata pesakit katarak.

Penyakit ini berlaku apabila kanta mata semakin legap dan mengganggu laluan cahaya masuk ke retina mata.

Kanta yang semakin legap akan menyebabkan pesakit menghadapi masalah penglihatan kabur, imej berganda, gangguan penglihatan warna dan masalah melihat cahaya terang.

Katarak dikatakan menyerang satu daripada enam indidvidu yang telah melangkau usia 40 tahun.

Menjelang usia 75 tahun pula, hampir semua orang akan mengalami katarak di salah satu atau kedua-dua belah mata mereka.

Kira-kira 18 juta pesakit katarak baru direkodkan di seluruh dunia setiap tahun dan dijangkakan lebih 40 juta penduduk dunia akan menjadi buta akibat katarak menjelang 2025.

Permintaan untuk pembedahan katarak di Asia pula dijangka terus meningkat dengan peningkatan usia penduduk rantau ini.

Pada 2003 sahaja, lebih lima juta pembedahan katarak dijalankan di Asia dan jumlah ini meningkat kepada lebih 6.1 juta pada 2006, mewakili peningkatan 21 peratus bilangan pembedahan dalam tempoh tiga tahun sahaja.

Di Malaysia, lebih 55,000 orang menjalani pembedahan katarak setiap tahun, menjadikannya prosedur pembedahan besar yang paling banyak dijalankan kini.

Kebanyakan penghidap katarak pula adalah warga emas melebihi umur 60 tahun dan mereka juga mengalami pelbagai masalah kesihatan lain dalam kehidupan seharian selain masalah mata.

Kejayaan pembedahan katarak kini adalah pada tahap 95 peratus di mana kebanyakan pesakit tidak mengalami komplikasi sampingan.

Pakar Runding Oftalmologi dan Pembedahan Mata, Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC), Dr. Choong Yee Fong menyatakan pembedahan katarak pertama dicatatkan di Mesir lebih 4,000 tahun lalu.

“Masalah penglihatan akibat katarak boleh menyebabkan kemalangan di rumah dan di tempat kerja.

“Penglihatan juga amat penting untuk memandu serta kebebasan hidup terutamanya warga emas yang di antaranya menghadapai banyak masalah kesihatan lain. Masalah penglihatan pasti akan menyukarkan lagi kehidupan seharian mereka,” katanya.

Kata beliau, memandangkan risiko penyakit ini meningkat dengan usia, boleh dikatakan semua orang akan mendapat katarak jika umur mereka panjang.

Peratusan pesakit katarak mengikut usia:

* 10 peratus golongan melebihi usia 60 tahun

* 25 peratus golongan melebihi usia 65 tahun

* 50 peratus golongan melebihi usia 70 tahun

* 80 peratus golongan melebihi usia 75 tahun

Pejabat Pendaftaran Pembedahan Katarak Kebangsaan (NCSR) Malaysia dan sumber industri yang lain menunjukkan terdapat 60,000 pembedahan katarak pada 2006 sahaja.

Tetapi, berdasarkan bilangan penduduk dan demografi Malaysia, dianggarkan sepatutnya 140,000 pembedahan katarak dijalankan setiap tahun.

Ini bermakna, kira-kira 80,000 kes tertinggal setiap tahun dan bilangan pesakit yang tidak dirawat akan berganda setiap tahun kecuali pesakit mendapatkan rawatan atau meninggal dunia.

Menurut Dr. Yee Fong, masalah katarak memerlukan kesedaran dan pendedahan kepada orang ramai.

“Masih ramai yang tidak mendapat maklumat terkini mengenai penyakit ini dan cara rawatannya.”

“Selain itu, perasaan takut terhadap pembedahan juga menyebabkan ramai yang membiarkan masalah katarak mereka berterusan,” ujarnya.

Pembedahan

Dengan teknologi sedia ada, antara enam hingga 25 kes dapat dirawat setiap hari tetapi waktu menunggu untuk pesakit mungkin mencecah sehingga satu tahun bergantung kepada teknologi yang digunakan, kepakaran dan bilangan pesakit di sesuatu pusat rawatan.

Pembedahan katarak melibatkan pembuangan kanta asal yang sudah legap dan menggantikannya dengan kanta intraokular (IOL) tiruan.

Dr. Yee Fong menjelaskan, walaupun risiko komplikasi yang dihadapi dengan pembedahan ini sangat rendah, tetapi risiko tetap ada dengan kemungkinan jangkitan kuman menjadi antara masalah utama.

“Teknik seperti ultrabunyi yang digunakan ketika pembedahan juga boleh menghasilkan haba dan meningkatkan suhu pada mata.

“Masalah suhu berlebihan ini juga telah berjaya dikurangkan kerana suhu yang terlalu panas mungkin merosakkan kornea pesakit,” katanya.

Beliau menekankan kebanyakan risiko pesakit menjadi buta adalah berpunca daripada jangkitan kuman dari kelopak mata dengan kebarangkalian satu dalam setiap 2,000 kes.

Prosedur pembedahan boleh dilakukan dalam hanya 10 minit dengan kos di antara RM2,500 hingga RM5,000 hospital swasta, bergantung kepada kaedah dan jenis lensa yang digunakan serta perkhidmatan disediakan hospital.

Dr. Yee Fong juga mendedahkan, secara keseluruhannya, lebih banyak wanita menjalankan pembedahan katarak daripada lelaki.

“Ini mungkin disebabkan jangka hayat wanita lebih panjang daripada lelaki.

“Bagaimanapun, lebih ramai lelaki yang memilih untuk menjalani pembedahan katarak di hospital kerajaan,” ujarnya.

Pembedahan katarak moden telah banyak berkembang dengan adanya pakar bedah berpengalaman, teknologi biometri, teknologi phacoemulsification dan teknologi kanta intraokular (IOL).

Komplikasi pembedahan seperti astigmatisme, bengkak, jangkitan kuman, pendarahan, penanggalan retina dan glaukoma juga semakin berkurangan.

Risiko komplikasi hanya akan meningkat jika pesakit turut mempunyai masalah mata atau masalah kesihatan yang lain.

Menurut Dr. Yee Fong, phacoemulsification kini menjadi Piawaian Emas untuk pembedahan katarak kerana ia lebih pantas dan selamat.

“Pembedahan cara ini juga kurang menghadapi risiko komplikasi di samping pemulihan penglihatan pesakit lebih pantas, sekitar satu atau dua hari sahaja.

“Cara ini melibatkan insisi kecil pada kornea dan menggunakan prob sekecil jarum untuk mencairkan kanta asal yang legap dengan gelombang ultrabunyi dan kemudian menyedutnya keluar,” jelasnya.

Kata beliau, kanta IOL yang boleh dilipat akan dimasukkan untuk menggantikan kanta asal dan kanta IOL ini akan mengembang sendiri di dalam mata pesakit.

Tambahnya, kuasa kanta IOL juga akan dibentuk mengikut keperluan individu pesakit seperti untuk mereka yang mempunyai masalah rabun.

MICS

Pembedahan Insisi Mikro Katarak (MICS) keluaran syarikat Bausch & Lomb merupakan kaedah phacoemulsification terbaru yang dapat mengurangkan potongan insisi bukan sahaja dari 2.85mm kepada 2.2mm, malahan sekecil 1.8mm.

Pengurangan sehingga 30 peratus saiz insisi ini dapat dicapai dengan sistem alat Stellaris syarikat tersebut bagi mengurangkan komplikasi dan hasil penglihatan lebih baik selepas pembedahan.

Dr. Yee Fong menjelaskan risiko jangkitan yang sememangnya rendah untuk pembedahan katarak dapat diturunkan lagi dengan saiz insisi yang lebih kecil ini.

“Kebanyakan kes juga tidak memerlukan jahitan berikutan peralatan pembedahan hanya digunakan untuk satu pembedahan dan mengurangkan risiko penyebaran penyakit.

“Ini membolehkan luka pulih dengan lebih baik dan pantas sementara pesakit dapat melihat semula tidak lama selepas pembedahan,” katanya.

Kata Dr. Yee Fong, mesin baru ini juga membolehkan pembedahan retina dijalankan tetapi buat masa ini lebih ditumpukan kepada pembedahan katarak.

Tambahnya, individu yang tiada katarak tetapi mengalami rabun dekat yang amat teruk juga boleh menggantikan lensa mata mereka dengan cara ini tetapi cuma jika tiada cara rawatan lain.

- Untuk maklumat lanjut mengenai rawatan katarak dan kanta IOL, sila layari laman web www.isecmalaysia.com atau dengan menghubungi ISEC di talian 03-22848989.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...