Google
 



Jumaat, 15 Februari 2008

Diabetes dan mata


SALUR darah normal di dalam mata amat halus (gambar besar) dan kerosakan akibat diabetes boleh menyebabkan pendarahan di dalam mata (gambar kecil).

- UTUSAN ONLINE

Bersama:DR. KOK HOWE SEN (Pakar Runding Pembedahan Mata, Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC) Midvalley, Kuala Lumpur)">

DIABETES kini semakin pantas menjadi ancaman kesihatan utama kepada negara dari segi bilangan pesakit dan juga kesannya kepada ekonomi kesihatan.

Kira-kira lima peratus golongan dewasa di Malaysia telah disahkan menghidap diabetes dengan anggaran bilangan sebenar kes adalah sekitar 10 peratus atau lebih.

Kebanyakan pesakit bukan sahaja gagal didiagnosis dengan diabetes malahan keadaan kesihatan mereka juga tidak dijaga dengan baik kerana kejahilan diri, tidak mahu menerima hakikat serta rasa puas hati dengan keadaan kesihatan semasa oleh pesakit dan kadangkala doktor yang merawat.

Diagnosis, pemantauan dan kawalan

Dalam kebanyakan kes diabetes, kalori dalam badan sering kali gagal dikawal dengan baik.

Ketidakseimbangan ini menyebabkan kandungan gula di dalam darah lebih tinggi daripada biasa yang seterusnya akan merosakkan dinding saluran darah pesakit jika tidak dikawal.

Kerosakan yang berlaku kepada salur darah mungkin akan membawa kepada kebocoran salur darah atau berkemungkinan menyebabkan salur darah tersumbat.

Memandangkan salur darah terdapat di seluruh bahagian badan, kesemua organ dan struktur badan berkemungkinan menerima kesan daripada masalah ini.

Antara yang paling mudah rosak akibat kerosakan salur darah adalah mata, yang akan mengancam penglihatan pesakit di samping buah pinggang, yang boleh membawa kepada penggantungan kepada dialisis untuk seumur hidup.

Diagnosis untuk diabetes hanya memerlukan ujian darah ringkas dan tidak menyakitkan yang boleh dilakukan di mana-mana pusat kesihatan atau klinik setempat.

Diagnosis awal membolehkan pesakit menerima rawatan segera yang selalunya lebih ringkas dan penting dalam mengelakkan atau memulihkan komplikasi yang timbul akibat diabetes.

Pemantauan penyakit ini pula hanya memerlukan alat mengukur gula darah (glukometer) yang murah dan mudah digunakan pesakit di rumah.

Jika usaha mengawal penyakit ini lambat dijalankan, terutamanya jika gejala tertentu mula timbul, komplikasi yang berlaku ketika ini mungkin tidak dapat dipulihkan lagi dan sering kali hanya dapat dikawal supaya tidak menjadi semakin teruk.

Penyakit mata diabetes

Salur darah di dalam mata adalah amat kecil dan menjadi antara yang pertama rosak di peringkat awal penyakit diabetes.

Perubahan pada mata akibat diabetes mungkin berlaku sebelum pesakit didiagnosis menghidap diabetes lagi dan perubahan ini amat mudah dikesan kini dengan adanya peralatan moden.

Oleh itu, pemeriksaan mata secara berkala dapat membantu dalam mendiagnosis diabetes dan juga memantau perkembangan penyakit berkenaan.

Mata pesakit diabetes yang semakin teruk selalunya menunjukkan pengawalan yang kurang berkesan, sejajar dengan kerosakan kepada organ lain seperti buah pinggang.

Perubahan pada mata di peringkat awal diabetes akan menyebabkan kebocoran kecil cecair atau darah daripada lubang-lubang kecil pada salur darah.

Bagi kes diabetes yang lebih teruk, salur-salur darah ini bukan sahaja akan bocor dengan lebih teruk malahan lambat-laun mungkin akan tersumbat.

Apabila semakin banyak salur-salur darah tersumbat, aliran darah mungkin menjadi tidak normal sehingga berlakunya pendarahan dengan banyak.

Tambahan lagi, pendarahan ini mungkin diikuti dengan kesan parut yang akan menyebabkan kemusnahan kawasan dalam mata yang sensitif cahaya (retina) dan akhirnya membawa kepada pesakit menjadi buta selamanya.

Pentingnya pemeriksaan berterusan

Mungkin telah berlaku perubahan besar pada mata akibat diabetes di kalangan pesakit yang tidak menunjukkan sebarang gejala diabetes.

Rawatan pada peringkat ini adalah yang paling berkesan kerana peluang kejayaannya lebih tinggi, serta rawatan yang lebih murah dan tidak menyakitkan.

Rawatan selepas pesakit menunjukkan gejala diabetes selalunya mempunyai peluang lebih rendah untuk berjaya dan kosnya juga lebih mahal.

Faktor masa ini ditekankan supaya pesakit tidak terlepas peluang merawat komplikasi diabetes ketika keadaan masih boleh dikawal dan peluang pulih adalah lebih tinggi.

Lebih lama pesakit tidak mengendahkan gejala-gejala yang timbul atau lambat mendapatkan rawatan, lebih rendah kebarangkalian untuk memulihkan kembali penglihatannya.

Rawatan mata

Di peringkat awal masalah mata akibat diabetes, rawatan hanya memerlukan pancaran cahaya ke dalam mata, sama seperti seseorang menyuluh menggunakan lampu suluh.

Prosedur ini bukan pembedahan, hanya mengambil masa beberapa minit untuk dilakukan dan pesakit boleh menyambung aktiviti harian secara normal sebaik sahaja selesai menjalani rawatan.

Kaedah ini kebanyakannya berjaya dan tidak menyakitkan dalam usaha mengelakkan pesakit kehilangan penglihatan.

Bagaimanapun, apabila kerosakan telah berlaku dan menyebabkan pesakit kehilangan penglihatan, rawatan akan menjadi semakin sukar.

Dalam keadaan ini, rawatan menggunakan laser terkini sering digunakan bagi menghalang keadaan pesakit menjadi lebih serius tetapi peringkat hilang penglihatan selalunya tidak dapat dipulihkan lagi.

Pesakit juga boleh mencuba pembedahan bagi kes peringkat serius tetapi ini akan menelan kos yang tinggi dan hanya boleh dijalankan pakar bedah vitreo-retina terlatih dan pernah menjalani latihan subkepakaran dalam bidang berkenaan.

Rawatan terkini untuk kes yang teruk, dan tidak dapat dirawat dengan kaedah lain, adalah dengan menggunakan suntikan ubat biologikal ke dalam mata.

Dikenali sebagai ubat ‘pintar’, ubat anti-VEGF seperti Lucentis menunjukkan hasil memberangsangkan dalam ujian peringkat awal kini tetapi kos penggunaannya amat mahal.

Pencegahan

Dapatkan nasihat doktor bertauliah dalam memantau dan merawat diabetes anda. Ini memerlukan doktor mengambil masa untuk menjelaskan dan berkongsi pemahaman asas penyakit ini bagi membantu pesakit menguruskan keadaan kesihatannya dengan lebih baik.

Malangnya, terlalu ramai doktor yang berkongsi pemahaman asas bersama pesakit dan tumpuan sebaliknya lebih diberikan kepada pemberian ubat yang kadangkala tidak bersesuaian.

Pesakit diabetes perlu mempelajari cara penggunaan alat glukometer dan menilai maklumat yang diterima melalui ujian ini, dalam menentukan cara mengawal dan merawat penyakit mereka.

Juga penting bagi pesakit diabetes mendapatkan nasihat pakar pemakanan untuk diet, senaman dan menurunkan berat badan bersesuaian dengan usaha mengawal penyakit mereka daripada menjadi semakin teruk.

Pemeriksaan fizikal penuh dan pemantauan berterusan, termasuk pemeriksaan mata juga amat penting selain perhatian kepada faktor risiko lain seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan merokok dalam usaha mengawal penyakit berkenaan.

Diet dan suplemen

Kawalan ketat kandungan gula dalam darah di kalangan pesakit diabetes dapat mengekalkan tahap kesihatan yang baik dan mengekalkan kualiti hidup.

Ini tidak bermakna seorang pesakit di abetes dilarang sama sekali memakan makanan lazat atau mempunyai kandungan tinggi zat tertentu.

Kawalan lebih melibatkan jumlah makanan dan kadar gula dalam darah selepas pengambilan makanan berkenaan.

Di sini, peranan alat glukometer dan nasihat pakar pemakanan memainkan peranan penting dalam menentukan corak pemakanan pesakit.

Selain itu, suplemen khas seperti buah bilberi dan ginko biloba tidak dibuktikan mempunyai kesan besar kepada masalah mata pesakit diabetes.

Wang yang digunakan untuk suplemen mungkin lebih baik digunakan mendapatkan nasihat pakar pemakanan yang akan memberikan kesan yang lebih besar dalam pengawalan penyakit diabetes.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...