Google
 



Jumaat, 25 Januari 2008

Merokok penyebab utama COPD

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my

KETIKA penyakit lain seperti batuk kering dan HIV dijangka menurun dalam tempoh 20 tahun lagi, masalah gangguan pernafasan kronik (COPD) dijangka semakin meningkat.

Laporan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan sekitar 600 juta orang menderita COPD. Kajian yang dilakukan oleh WHO dan Bank Dunia pada 1990 mendapati COPD berada pada tangga ke 12 penyakit yang menjadi beban (dari sudut ekonomi dan sosial). Bagaimanapun, menjelang 2020, COPD diramal berada pada tangga ke lima.

Secara lebih khusus, peningkatan itu dijangka tertumpu di Wilayah Asia Pasifik. Ini berdasarkan jumlah perokok yang tinggi di kawasan berkenaan. Rokok memang diketahui menjadi penyebab utama COPD. Sehingga kini seramai 448,000 orang di Malaysia didiagnos dengan COPD daripada peringkat sederhana hingga serius.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datin Dr Aziah Mahayiddin, berkata merokok adalah penyebab utama COPD.

“Merokok menyebabkan radang pada saluran udara, meningkatkan penghasilan mukus dan seterusnya berlaku halangan aliran udara yang kronik,” katanya.

Merujuk pada data yang dikeluarkan sempena Hari COPD sedunia baru-baru ini, COPD menjadi penyebab keempat utama kematian di seluruh dunia. Secara perbandingan COPD berkongsi kedudukan itu dengan HIV/Aids.

“Kami menyedari kurangnya kesedaran di kalangan warga Malaysia mengenai COPD menyebabkan ia tidak dapat dikesan pada peringkat awal. Sedangkan pengesanan simptom, diagnosis dan rawatan pada peringkat awal boleh mengurangkan kemungkinan bebanan penyakit ini,” katanya.

Oleh kerana COPD penyakit yang progresif sifatnya, jika tidak dirawat ia boleh menyebabkan masalah semput ketika melakukan aktiviti harian seperti menaiki tangga atau memakai pakaian.

Dr Aziah berkata, diagnosis awal COPD boleh mengatasi masalah itu menjadi semakin teruk. Justeru, bagi mereka yang berisiko seperti perokok, mengetahui simptom awal sangat penting tetapi berhenti merokok adalah jalan terbaik. Ini kerana hampir 90 peratus pesakit COPD adalah perokok selain mereka yang banyak terdedah dengan asap rokok.

Faktor utama COPD

  • Merokok - punca paling biasa di kalangan kebanyakan pesakit. Merokok menyebabkan kerosakan pada paru-paru dan saluran aliran udara. Berhenti merokok pada usia tua tidak membantu pesakit kerana mereka masih berisiko diserang COPD berdasarkan sejarah merokok pada zaman mudanya.

  • Pencemaran udara - pencemaran udara terutama oleh sulfur dioksida sama risikonya dengan asap rokok.

  • Bahan kimia - sesetengah tempat kerja tidak selamat kepada kakitangan kerana penggunaan bahan kimia seperti cadmimium dan habuk silika yang boleh merosakkan paru-paru.

  • Diet dan genetik - seperti sesetengah penyakit kronik, misalnya diabetes, diet dan genetik turut mempengaruhi COPD.

    Rawatan

    Bronchodilators adalah ubat yang biasa diberi kepada pesakit. Ia bertindak membuka saluran udara utama dalam paru-paru bertindak mencegah dan melegakan masalah semput atau pendek nafas.

    Bagaimanapun, ada beberapa jenis bronchodilator dan setiap satunya bertindak dengan cara tersendiri selain penggunaan yang khusus. Pilihan bronchodilator terpulang pada individu dan pandangan doktor.

    Antara bronchodilator yang ada adalah anticholinergics iaitu ubat yang bertindak menerusi sistem saraf. Ia mengawal saiz saluran udara. Selain itu, Beta2-agonists - ubat yang juga bertindak menerusi sistem saraf tetapi ia mengawal tisu otot di sekeliling saluran udara.

    Selain itu, doktor mungkin memberikan ubat-ubatan anti radang dan antibiotik.

    Perbezaan COPD dengan masalah pernafasan lain.

  • Bronkitis kronik - bersifat progresif yang menghasilkan lebihan lendir (mukus) dan batuk berpanjangan (sekurang-kurangnya tiga bulan dalam tempoh dua tahun). Masalah ini bertambah kronik jika pesakit itu juga seorang perokok atau terdedah pada asap rokok dan udara yang tercemar.

  • Masalah dinding pundi udara kekal dalam paru-paru (emphysema) - keadaan ini menyebabkan pundi udara membesar. Pesakit akan cepat letih dan semput.

  • Lelah - tidak disebabkan oleh merokok sebaliknya dikaitkan dengan alahan. Lelah boleh dicegah dengan rawatan yang betul.


  • --- Berita Harian

    Tiada ulasan:

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...