Google
 



Jumaat, 25 Januari 2008

Kerosakan pada saraf tunjang boleh sebabkan lumpuh


Cedera tulang belakang jejas pundi kencing
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my

KEBANYAKAN kes kecederaan tulang belakang yang membabitkan saraf tunjang boleh menyebabkan kecacatan kekal dan lumpuh. Masalah ini tidak boleh dipulihkan sepenuhnya.

Justeru, rawatan lebih tertumpu kepada mengelakkan kerosakan sekunder pada saraf tunjang dan tulang di sekelilingnya yang boleh menyebabkan kecacatan atau lumpuh yang lebih teruk. Ada kes yang menyebabkan kematian terutama kerana komplikasi berkaitan sistem respiratori.

Pakar Perunding Ortopedik dan Pembedahan Trauma, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Khaizatul Ezam Abu Bakar, berkata kecederaan saraf tunjang tulang belakang atau ‘Spinal Cord Injury’ selalunya adalah trauma pada tulang belakang yang menyebabkan kecederaan pada saraf tunjang sama ada kecederaan primer (kerosakan saraf kekal sewaktu trauma) atau kecederaan sekunder (kerosakan lanjut pada saraf tunjang selepas trauma).

Dr Ezam berkata, antara kedua-duanya, kecederaan sekunder boleh dielakkan atau dikurangkan kesannya dengan rawatan tertentu.

“Saraf tunjang (spinal cord) adalah organ saraf atau neural yang bermula daripada pangkal otak dan berakhir pada tulang vertebra lumbar pertama dan kedua (L1/L2). Ia terletak di dalam saluran saraf tunjang (spinal canal) setiap vertebra yang bermula daripada vertebra servikal pertama.

“Saraf tunjang ini amat sensitif kepada sebarang kecederaan. Justeru, sebarang kecederaan boleh menyebabkan kerosakan yang kekal,” katanya.

Dr Ezam berkata, secara umum kecederaan saraf tunjang dibahagikan kepada kecederaan penuh (complete transaction) atau tidak sepenuhnya (incomplete cord injury).

Kecederaan saraf tunjang sepenuhnya bermaksud kehilangan sepenuh kawalan saraf dan deria rasa (sensasi) dan fungsi otot dan organ pada bahagian yang cedera serta ke bawah tahap kecederaan terbabit.

Kecederaan saraf tunjang yang tidak sepenuhnya pula bermaksud saraf tunjang pada bahagian yang tercedera masih berfungsi. Contohnya, bagi kecederaan saraf tunjang tidak sepenuhnya ia boleh menyebabkan kelumpuhan otot tertentu tetapi deria rasa masih normal.

Selain itu, katanya, wujud risiko kedua-dua tangan dan kaki lumpuh jika kecederaan terjadi pada bahagian saraf tunjang servikal (di tengkok).

“Jika kecederaan saraf tunjang itu terjadi pada bahagian tulang belakang bawah (lumbar dan thorako-lumbar) ia boleh menyebabkan kedua-dua kaki lumpuh. Kawalan bagi pundi kencing dan anus juga akan mengalami kerosakan,” katanya.

Pada peringkat global, kecederaan tulang belakang memang masalah yang kerap berlaku. Di Amerika contohnya, 10,000 kes kecederaan tulang belakang dilaporkan setiap tahun. Dengan 200,000 orang di Amerika hari ini hidup dengan tangan, kaki atau kedua-duanya lumpuh.

Kecederaan tulang belakang selalunya disebabkan kemalangan jalan raya, kecederaan ketika bersukan, dibelasah dan jatuh dari tempat tinggi.

Rawatan

* Rawatan awal ditumpukan untuk menstabilkan keadaan pesakit yang tercedera ini daripada mengalami kecederaan sekunder termasuk rawatan bantuan pernafasan jika diperlukan, pengawalan perdarahan dan rawatan kecederaan lain yang dialami pesakit trauma.

* Peringkat rawatan susulan membabitkan pembedahan menstabilkan tulang belakang (jika perlu), rawatan fisioterapi dan rehabilitasi adalah amat penting sekali.

“Rawatan menstabilkan tulang belakang biasanya membabitkan pembedahan dan penggunaan implan bagi menstabilkan semula tulang belakang yang rosak. Bagaimanapun, pembedahan ini tidak bermaksud fungsi otot yang dikawal oleh saraf tunjang pada bahagian itu akan pulih seperti sedia kala,” katanya.

Tujuan pembedahan untuk menstabilkan tulang belakang bagi memudahkan proses rehabilitasi dan fisioterapi, mengurangkan atau mengelakkan kesan kecederaan sekunder kepada saraf tunjang pada bahagian tulang belakang yang berkenaan dan mengurangkan risiko deformasi lanjutan pada tulang belakang pada masa hadapan.

Selain itu, katanya sokongan keluarga sangat penting untuk membantu pesakit kembali pulih. Pesakit lumpuh tidak boleh bergerak sendiri. Jika tidak dibawa untuk menjalani sesi terapi dan rehabilitasi dan mendapat sokongan moral, motivasinya terjejas dan pesakit akan mudah mengalami kemurungan,” katanya.

INFO: Kesan kecederaan saraf tunjang

* Pergerakan dan kawalan otot - ketidakupayaan mengawal otot.
* Hilang sensasi - ketidakupayaan mengawal rasa panas, sejuk dan sakit. Malah, tidak boleh mengawal suhu badan.
* Kawalan sistem organ - ketidakupayaan mengawal usus/pundi kencing selain kehilangan fungsi seksual dan tidak subur.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...