Halaman

Google
 



Sunday, January 20, 2008

Batuk kokol dewasa punca jangkitan bayi

ARKIB : 20/01/2008

Siri akhir

SUDAH 10 tahun berlalu sejak Sabariah melahirkan anak lelakinya Zaki, dan kini, dia berbangga dan bersyukur kerana dikurniakan seorang anak perempuan comel bernama Zara.

Beberapa minggu selepas Zara dibawa pulang dari hospital memang sibuk; ada sahaja sanak saudara dan sahabat handai yang menjenguk si comel setiap hari; Sabariah dan suaminya Amir penat melayan kerenah tetamu yang berkongsi kegembiraan.

Suatu hari, Sabariah batuk-batuk dan seperti demam selesema dengan rasa perit di tekak. Mungkin dia diserang penyakit kerana terlalu sibuk menjaga anak yang baru lahir, maka dia pun membeli ubat batuk dari kedai.

Dalam tempoh seminggu, batuk yang dialami semakin teruk dan diiringi kesesakan bernafas. Akhirnya dia berjumpa doktor dan disahkan menghidap Pertusis yang juga dikenali batuk kokol. Tiba-tiba Zara pula menunjukkan tanda jangkitan – batuk-batuk teruk diikuti bunyi ‘whoop’ yang nyaring. Setiap kali batuk, mukanya merah padam, menyebabkannya rasa rengsa dan meragam. Zara disahkan menghidap Pertusis.

Sabariah diberitahu bahawa daya tahannya terhadap Pertusis telah berkurangan secara beransur-ansur walaupun dia pernah diberi vaksin penyakit ini semasa bayi. Sementara itu, Zara pula masih belum sempat melengkapkan tiga dos vaksin Pertusis, sebab itulah dia terdedah kepada penyakit itu. Untuk mencegah jangkitan daripada merebak, doktor mencadangkan agar Zaki yang berusia 10 tahun diberi vaksin penggalak (booster).

Apakah sebenarnya pertusis?

Pertusis atau batuk kokol ialah jangkitan serius yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis. Walaupun ia boleh dicegah dengan vaksin, masih ada 30 juta hingga 50 juta kes jangkitan Pertusis dilaporkan di seluruh dunia setiap tahun, dengan 300,000 daripadanya menyebabkan kematian.

Di Malaysia, semua bayi wajib mendapatkan vaksin DTP (Difteria, Tetanus dan Pertusis). Keberkesanan vaksin ini berjaya mengekang penularan jangkitan Pertusis. Malah, Profil Imunisasi Malaysia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati bahawa hanya enam kes Pertusis dilaporkan pada 2006.

Keimunan penuh terhadap Pertusis bagi bayi hanya diperoleh selepas dos ketiga vaksin diberikan apabila bayi berusia 5 bulan. Pendedahan kepada bakteria pada bila-bila masa sebelum keimunan penuh diperoleh boleh menyebabkan jangkitan, dan membawa kesan memudaratkan. Masalahnya, daya tahan terhadap penyakit tidak kekal; tahap imuniti semakin berkurangan apabila kanak-kanak berusia 11 atau 12 tahun. Namun begitu, mereka boleh diberi suntikan penggalak untuk mencegah Pertusis, agar tidak menghidap penyakit tersebut ataupun menyebarkannya kepada bayi yang baru lahir. Sebahagian besar daripada jangkitan Pertusis di kalangan bayi baru lahir memang berpunca daripada orang dewasa yang dijangkiti.

Apakah tanda atau gejalanya?

Gejala awal jangkitan mirip selesema biasa termasuk hidung berhingus, perit tekak, batuk ringan, demam ringan dan bersin. Selepas satu atau dua minggu jangkitan, batuk semakin teruk dan kerap berulang. Bunyi desisan sering didengar selepas batuk, sebab itulah penyakit diberi nama batuk kokol. Kejadian batuk berulang juga menyebabkan sesetengah kanak-kanak muntah.

Namun begitu, bukan semua orang yang dijangkiti Pertusis akan batuk berdesis atau batuk teruk. Bayi mungkin menghadapi kesukaran bernafas, menyebabkan mukanya merah padam. Malah pernafasannya juga mungkin terhenti buat beberapa ketika dalam kejadian yang lebih serius (‘apnea’). Kebanyakan dewasa atau remaja pula mungkin mengalami batuk yang berpanjangan, tapi tanpa bunyi desisan.

Adakah penyakit ini sangat berjangkit?

Jangkitan Pertusis senang berjangkit kerana bakteria boleh disebarkan menerusi titisan cecair dalam udara apabila orang yang dijangkiti bersin, batuk atau ketawa. Sesiapa yang berada sebilik dengan orang yang dijangkiti mengalami risiko jangkitan dengan hanya menghidu udara atau menyentuh hidung dan mulut dengan tangan selepas terkena titisan ini secara tidak disedari. Malah, orang yang dijangkiti akan menyebarkan bakteria dari peringkat awal jangkitan, sehingga dua minggu selepas batuk bermula.

Bolehkah pertusis dirawat?

Dewasa, remaja dan kanak-kanak boleh pulih dari Pertusis dengan rawatan antibiotik, tetapi kanak-kanak kecil dan bayi mungkin perlu dimasukkan ke hospital. Walau bagaimanapun, batuk berulang-ulang akan berlaku selama tiga bulan walaupun telah diberi rawatan. Komplikasi yang mungkin timbul termasuk pneumonia, kekurangan air dalam badan, jangkitan telinga dan sawan.

Jangkitan serius Pertusis boleh menyebabkan kematian di kalangan bayi di bawah 6 bulan, termasuk pendarahan otak, hipoksia (kandungan oksigen yang rendah) dan ensefalopati (jangkitan otak).

Bolehkah pertusis dicegah?

Kita bernasib baik kerana dalam usaha mencegah jangkitan Pertusis, ilmu sains moden menghasilkan vaksin Pertusis. Vaksin diberikan menerusi imunisasi 3 dalam 1 yang dikenali DTP, pemvaksinan menentang Difteria, Tetanus dan Pertusis sekali gus.

Vaksin DTP ialah salah satu daripada vaksin dalam Program Imunisasi Kementerian Kesihatan yang bermatlamat memberi vaksin kepada setiap kanak-kanak di Malaysia. Bayi menerima suntikan vaksin DTP pada usia 2 bulan, 3 bulan dan akhirnya 5 bulan dengan satu lagi dos tambahan pada usia 18 bulan.

Oleh kerana vaksin Pertusis berkesan selama kira-kira lima tahun, orang dewasa juga disyorkan mendapatkan suntikan penggalak untuk mencegah Pertusis. Langkah ini amat penting agar orang dewasa tidak menghidap penyakit dan menyebarkannya kepada bayi yang belum menerima dos pemvaksinan penuh DTP. Vaksin penggalak atau tambahan untuk dewasa berbeza daripada vaksin untuk bayi di mana ia mempunyai komponen difteria dan pertusis yang lebih rendah (dTp).

Vaksin dTp untuk orang dewasa digalakkan khasnya bagi orang dewasa yang sentiasa berdekatan kanak-kanak seperti guru tadika, pekerja tadika, pembantu rumah dan juga pekerja kesihatan dan perubatan. Pernah berlaku jangkitan Pertusis di hospital berpunca daripada doktor atau jururawat yang dijangkiti. Jangkitan merebak dengan pantas daripada seorang pesakit ke pesakit lain.

Keimunan sepanjang hayat

Jika anda seorang ibu atau bapa, pastikan bayi diberikan vaksin Pertusis berasaskan jadual imunisasi tempatan. Untuk mengekalkan daya tahan menentang jangkitan, pastikan anak anda menerima suntikan penggalak apabila berusia 12 tahun. Orang dewasa juga disyorkan mendapatkan suntikan tambahan tiap-tiap 10 tahun untuk mengekalkan imuniti. Bincangkan perkara ini apabila anda bertemu doktor anda.

* Rencana ini ditulis oleh Dr. Zulkifli Ismail, Pakar Runding Pediatrik, bekas Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Asuhan Positif. Program Asuhan Positif diuruskan oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dan disokong sebahagiannya menerusi geran pendidikan tidak bersyarat daripada GlaxoSmithKline. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mypositiveparenting.org.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...