Google
 



Rabu, 30 Januari 2008

Lelaki lebih mudah kena barah ginjal

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@nstp.com.my




Lebih 90 peratus pesakit berusia 45 tahun ke atas

SECARA umum lelaki lebih kerap berhadapan dengan penyakit barah ginjal berbanding wanita. Mengikut anggaran umum, jumlah lelaki yang berhadapan dengan penyakit ini adalah dua kali ganda daripada wanita.

Malah, risiko barah ginjal semakin tinggi seiring dengan peningkatan usia. Lebih 90 peratus daripada kes membabitkan mereka yang didiagnos dengan barah ginjal adalah pesakit yang berusia 45 tahun ke atas.


Pakar Onkologi Klinikal dan Presiden Persatuan Onkologi Malaysia, Dr Gucharan Singh Khera, berkata umumnya pada waktu didiagnos, barah berkenaan sudah mengalami metastatis (merebak ke bahagian tubuh yang lain) di kalangan satu pertiga pesakit.

Dr Gucharan berkata, sehingga kini 208,000 orang di seluruh dunia didapati menghidap barah buah pinggang setiap tahun manakala 102,000 individu meninggal dunia akibat penyakit itu setahun. Pada tahun lalu, 51,000 kes barah ginjal didiagnos di Amerika Syarikat dengan membabitkan 13,000 kematian.

Katanya, walaupun wujud kemajuan dalam usaha memahami mekanisme pertumbuhan pelbagai jenis barah, barah ginjal masih menjadi penyakit yang belum difahami sepenuhnya.

“Apabila barah ginjal berada pada tahap lanjut, ia sangat sukar dikawal. Pada umumnya barah ginjal adalah penyakit yang tidak bertindak balas dengan kemoterapi atau terapi hormon,” katanya.

Menurut laporan kedua Daftar Kanser Kebangsaan mengenai kes barah di Malaysia pada 2003, ada 305 kes barah ginjal disahkan secara diagnosis di Semenanjung.

Faktor risiko

  • Pesakit yang menjalani dialisis ginjal dan mereka yang mempunyai sejarah barah ginjal dalam keluarga berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk diserang penyakit ini.
  • Merokok adalah faktor risiko utama barah ginjal. Perokok memiliki kebarangkalian dua kali ganda lebih tinggi berhadapan barah ginjal berbanding mereka yang tidak merokok.

  • Obesiti dan penggunaan ubat penahan atau pelega kesakitan dalam jangka panjang juga boleh mengundang masalah ini.

    Simptom

  • Darah dalam air kencing

  • Sakit belakang

  • Sakit pada sisi badan yang tidak hilang

  • Sakit atau pembesaran pada abdomen

  • Kehilangan berat badan yang tidak diketahui puncanya

  • Hilang selera makan

  • Badan letih dan lesu

    Rawatan

    Rawatan barah ginjal bergantung pada tahap seriusnya penyakit itu dan keadaan kesihatan pesakit secara menyeluruh.

    Terapi utama bagi barah ginjal adalah pembedahan. Bagaimanapun, ia hanya berkesan jika semua barah dapat dibuang. Rawatan radiasi juga boleh dibuat apabila barah sudah merebak ke luar ginjal.

    Selain itu, pesakit boleh menggunakan rawatan kemoterapi tetapi rawatan ini hanya boleh dilakukan pada sesetengah pesakit saja.

    Ada kaedah terapi baru yang digunakan kepada pesakit barah ginjal yang bertindak ke atas bahagian khusus sel barah. Rawatan ini menunjukkan keberkesanannya dalam rawatan pesakit barah ginjal lanjutan. Ini termasuk ubat menghalang pertumbuhan sel darah baru dan ubat yang mensasarkan faktor pertumbuhan sel penting yang lain.

    Bayer Schering Pharma baru-baru ini, memperkenalkan sejenis pil oral yang diambil dua kali sehari. Pil ini dikenali sebagai Nexavar yang bertindak merencatkan pembentukan salur darah baru yang membekalkan darah dan nutrisi kepada tumor.
  • Barah mulut akibat kimia di tempat kerja

    Oleh Hafizah Iszahanid - BERITA HARIAN ONLINE
    Hafiza@nstp.com.my


    IMBASAN rahang Ali sebelum pembedahan.

    Pekerja kilang tak sedar pendedahan terhadap bahan 'naphta' punca dapat kanser

    BAGI Ali Hamzah Abdul Karim, 49 tahun, pekerjaan di kilang membuat tayar sejak usianya 22 tahun adalah punca rezeki utama. Selama bekerja di situ dia tidak pernah ditimpa sakit teruk.

    Bagaimanapun, genap tahun ke 27 usia perkhidmatannya, mulutnya terasa sengal. Dia juga menyedari gusi bengkak dan ada bintil kecil tumbuh di hujung gusi. Bintil itu tidak sakit tetapi Ali terasa ia tidak normal, menyebabkan dia bertemu doktor.


    Dua kali berulang ke klinik, dia hanya dibekalkan antibiotik. Bagaimanapun bintil kecil di hujung gusi masih bengkak malah pecah. Doktor merujuknya kepada pakar maksilofasial di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

    Sedikit pun dia tidak menjangka, bintil kecil yang membengkak tetapi tidak sakit itu sebenarnya simptom barah mulut.

    Malah, barah itu sebenarnya bermula di dalam sinus hidungnya dan merebak ke rahang kiri. Mujur, barah itu merebak keluar dari sinus dan turun ke gusi jika tidak mungkin Ali perlu menunggu setahun lagi untuk mengetahui dia menghidap barah. Mujur juga, barah mulut yang dideritai Ali disedari pada pada peringkat awal.



    Pakar Perunding Kanan Pembedahan Maxilofasial, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Zainal Ariff Abdul Rahman berkata, walaupun kes barah mulut biasa ditemui di Malaysia, kes membabitkan Ali adalah pertama kali membabitkan pendedahan terhadap bahan kimia.

    "Ali tidak merokok, tidak minum arak dan tidak mengunyah sirih, jadi satu-satunya punca barah mulut yang dideritai Ali adalah pendedahan kepada bahan kimia 'naphta' yang digunakan dalam pembuatan tayar," katanya.

    Di peringkat antarabangsa, naphta memang diketahui sebagai faktor risiko barah. Justeru pengendaliannya harus dibuat dengan selamat dan berhati-hati. Ali adalah contoh kes risiko barah dalam persekitaran pekerjaan (occupational hazards). Satu lagi pekerjaan yang boleh mendedahkan kepada barah di sekitar hidung dan rahang ialah pekerjaan di industri pembuatan perabot dan kilang kayu.

    "Selama saya bekerja, saya tidak pernah ketahui tahap bahaya jenis bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan tayar. Saya tahu ia bahaya tapi tidak tahu ia boleh menyebabkan barah. Malah saya dan kawan-kawan kerap membasuh muka dengan naphta. Hanya selepas saya disahkan menghidap barah mulut, baru saya tahu,"

    RAHANG Ali berlubang kerana barah mulut.

    "Saya tidak pernah tahu mulut juga boleh diserang barah. Saya fikir, barah mungkin hanya terhad pada barah payu dara, barah paru-paru dan barah darah," katanya.

    Prof Zainal menjelaskan, barah mulut jarang dihebohkan berbanding barah lain. Bagaimanapun, barah mulut adalah barah yang bukan saja mencabar pesakit tetapi doktor. Ini kerana apabila mulut diserang barah, fungsi asas seperti bertutur, mengunyah, menelan dan bernafas turut terjejas.

    Bagi Ali, walaupun barahnya masih pada peringkat awal dan masih boleh dirawat ia sudah menjejaskan rahang sebelah kiri.

    Rahang yang terjejas itu dibuang melalui pembedahan yang mengambil masa tiga jam. Pembedahan berkenaan turut membuang sel sihat yang jaraknya satu sentimeter dari kawasan yang diserang barah. Ia menyebabkan Ali tiada lelangit dan rahang sebelah kiri.

    Ketiadaan lelangit itu menyebabkan ruang kiri dalam mulutnya berlubang. Dia juga sukar bercakap malah pendengarannya turut terjejas. Matanya juga berair sepanjang masa kerana saluran air matanya tersumbat disebabkan separuh daripada saluran itu turut dibuang.

    Prof Zainal berkata, komplikasi seperti pendengaran dan saluran air mata yang terjejas itu akan diperbaiki dalam satu pembedahan lain tidak lama lagi.

    Untuk sementara waktu, Ali diberi rahang palsu yang dibuat daripada plastik sementara menunggu rahang yang dibuat khas untuknya siap. Ia membantu 'menyempurnakan' bentuk lelangit Ali dan membolehkan dia bertutur seperti biasa.

    Ali bernasib baik kerana barah itu merebak turun ke gusi atas kirinya. Jika ia berkumpul di hidung dan naik ke bahagian pipi, ia mungkin mengambil masa setahun sebelum dapat didiagnos.

    "Seperti kebanyakan kes barah yang lain, simptom barah tidak mendatangkan kesakitan. Kerana itu pesakit tidak berjumpa doktor. Bagi kebanyakan orang, apabila sakit barulah dinamakan penyakit, kalau tidak sakit walaupun ia ketumbuhan atau situasi abnormal, tidak perlu dapatkan rawatan kerana ia tidak sakit," kata Prof Zainal.

    Mengenai barah mulut

    Prof Zainal berkata, secara umumnya barah mulut kurang dikenali di Malaysia berbanding jenis barah lain. Bagaimanapun ia tidak bermaksud kes barah mulut tidak wujud atau jarang berlaku di Malaysia. Dalam Pendaftar Barah kebangsaan (NCR), dicatatkan, barah mulut berada di tangga ke enam paling biasa di Malaysia.

    Di negara ini juga, barah mulut lebih cenderung terjadi di kalangan masyarakat India iaitu 5.2 peratus bagi lelaki dan 7.7 peratus wanita daripada jumlah semua jenis barah.

    Manakala kajian daripada pelbagai hospital di Malaysia pada 1994 dan 1998 menunjukkan barah mulut dilaporkan paling tinggi di kalangan masyarakat India, diikuti peribumi di Sarawak dan Sabah sebelum diikuti dengan Melayu dan Cina.

    Di Semenanjung Malaysia, masyarakat India paling utama diserang barah mulut di Kelantan, Negeri Sembilan dan Perak, sementara Kadazan/Dusun dan Iban adalah kaum yang lebih kerap diserang barah mulut di Sabah dan Sarawak.

    Prof Zainal berkata, barah mulut merujuk pada ketumbuhan di mulut sama ada di kawasan dalam pipi, lidah, lantai mulut atau bibir. Untuk sebahagian pesakit, barah mulut kadang kalanya bermula sebagai pra barah yang berkemungkinan berkembang menjadi barah.

    "Ia terjadi dalam tompok putih, kemerahan dan ulser dalam mulut. Akan tetapi tidak semua pra barah ini berkembang menjadi barah dan tidak semua barah wujud daripada pra barah ini," katanya.

    Pada peringkat global, barah mulut adalah barah ke enam paling kerap di dunia dengan anggaran sebanyak 405,318 kes baru setiap tahun. Walaupun tidak begitu dikenali ramai kadar survival barah mulut lebih rendah berbanding barah pangkal rahim atau barah payu dara.

    Barah mulut adalah dua kali ganda lebih biasa di kalangan lelaki berbanding wanita. Untuk setiap 100,000 orang, 6.3 lelaki dan 3.2 wanita berkemungkinan mendapat barah mulut," katanya.

    Prof Zainal berkata, sebenarnya kes barah mulut lebih tinggi di kalangan negara membangun berbanding negara maju. Di Eropah sebagai contoh, dianggarkan 100,800 pesakit didiagnos menghidap barah di kawasan kepala dan leher dengan hampir 40,000 kematian direkodkan setiap tahun sementara di Amerika saja, 30,000 pesakit disahkan menghidap barah mulut.

    Di kalangan negara Asia Selatan, India dan Sri Lanka adalah negara yang mencatatkan kes tertinggi. Manakala insiden dan kematian disebabkan barah mulut juga dilaporkan meningkat di Taiwan, Jepun dan Australia.

    Faktor barah mulut

    Data dari Pangkalan Data Barah Oral Malaysia dan Bank Sistem Tisu (MOCDTBS) yang dibina oleh Inisiatif Penyelidikan Barah Oral Malaysia (MOCRI) menunjukkan daripada 156 pesakit barah mulut, pengunyahan sireh menjadi 59.9 peratus puncanya terjadi barah mulut, rokok (36.1 peratus) manakala pengambilan alkohol berlebihan 35.2 peratus.

    Manakala faktor lain termasuklah, usia melebihi 40 tahun (bagi golongan muda yang diserang barah mulut punca biasanya tidak diketahui), ketidaknormalan genetik selain pendedahan kepada sesetengah jenis bahan kimia (contohnya naphta yang digunakan dalam proses pembuatan tayar)

    Simptom

  • Ulser mulut yang tidak sakit dan tidak sembuh selepas tiga minggu

  • Pembentukan segumpal tisu di mana-mana bahagian mulut

  • Tompok putih atau merah pada gusi, lidah dan lain-lain bahagian mulut

  • Sukar menelan, mengunyah, bercakap, menggerakkan rahang atau lidah

  • Rasa kebas pada lidah dan kawasan di sekitar mulut

  • Sakit kerongkong berpanjangan untuk lebih enam minggu terutama bagi perokok berusia 50 tahun ke atas

  • Bengkak rahang

  • Bengkak leher yang lebih tiga minggu

  • Sakit telinga yang kronik

  • Kehilangan berat badan

    Langkah mencegah barah mulut

  • Elak merokok dan mengunyah sireh

  • Elak mengambil alkohol

  • Elakkan pendedahan berlebihan pada matahari untuk elak barah bibir

  • Mengambil lebih sayur dan buah-buahan dalam diet seharian

  • Mengekalkan berat badan ideal melalui pengambilan makanan seimbang dan senaman rutin

    Rawatan

  • Pembedahan - rawatan biasa bagi merawat semua peringkat barah mulut. Bagaimanapun pembedahan itu terdapat beberapa jenis bergantung pada saiz tumor, jumlah tisu yang terjejas dan kedudukannya.

  • Terapi radiasi - rawatan menggunakan tenaga x ray tinggi bagi membunuh sel barah. Ia terbahagi kepada dua jenis radiasi luaran (external) dan radiasi dalaman (internal).

  • Kemoterapi - rawatan bagi menyekat pertumbuhan sel barah sama ada dengan membunuh sel itu atau menghentikannya daripada merebak.

  • --- BERITA HARIAN

    Jumaat, 25 Januari 2008

    Lemah jantung lebih serius daripada barah

    Oleh Hafizah Iszahanid - BERITA HARIAN ONLINE


    ANGIOPLASTY antara kaedah rawatan lemah jantung.

    RAMAI yang tidak sedar bahawa lemah jantung (congestive heart failure) sebenarnya lebih teruk daripada barah payu dara. Apatah lagi penyakit itu bukan diagnosis sebaliknya komplikasi jantung.

    Lemah jantung tidak bermaksud jantung akan berhenti berdenyut secara tiba-tiba, sebaliknya ia akan terjadi secara perlahan-lahan atau dengan cepat selepas serangan jantung atau masalah otot jantung.

    Pakar Perunding Kardiologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Haizal Haron Kamar, berkata lemah jantung merujuk pada kegagalan jantung untuk mengepam darah secukupnya mengikut keperluan tubuh.

    "Apa saja masalah jantung boleh membawa kepada lemah jantung. Apabila jantung gagal mengepam darah mengikut keperluan, darah tidak diagihkan dengan baik dan bertindak menekan salur darah. Ini menyebabkan cecair terkeluar daripada salur darah dan masuk ke tisu badan," katanya.

    Jika jantung sebelah kiri gagal berfungsi, cecair berkumpul dalam paru-paru (pulmonary edema). Lebihan cecair ini menyebabkan kesukaran pada ruang pernafasan untuk mengembang setiap kali anda menarik nafas. Anda mengalami nafas pendek terutama jika melakukan aktiviti atau berbaring.

    Jantung kanan yang gagal berfungsi pula, cecair akan berkumpul di kaki dan bawah kaki. Apabila masalah ini semakin teruk, bahagian atas kaki akan bengkak dan perut turut kembung.

    Berat badan akan bertambah diikuti masalah sembab air. Bengkak air (edema) adalah tanda kegagalan jantung sebelah kanan. Perkara paling penting yang perlu anda tahu mengenai lemah jantung ialah masalah progresif mengikut peningkatan usia.

    Prof Haizal berkata, lemah jantung boleh terjadi dengan cepat selepas serangan jantung atau terjadi secara perlahan-lahan selepas diserang tekanan darah tinggi atau masalah koronari arteri.

    "Gaya hidup seseorang banyak kaitannya dengan serangan jantung atau masalah jantung. Merokok, terlebih berat atau makanan yang tinggi kolesterol dan lemak boleh menyebabkan atau menyumbang kepada lemah jantung.

    "Kadangkala jantung menjadi lemah tanpa ada penjelasan, keadaan yang dikenali sebagai "idiopathic dilated cardiomyopathy," katanya.

    Faktor lemah jantung

    • Penyakit koronari arteri dan serangan jantung. Penyakit koronari arteri adalah masalah jantung paling biasa dan penyebab kebanyakan kes lemah jantung. Dalam satu masa, arteri yang membekalkan darah kepada otot jantung menjadi sempit kerana pengumpulan lemak yang dikenali sebagai 'atherosclerosis'.

      Ada kalanya penyempitan itu mengandungi lemak dan bahan lain dikenali sebagai plak. Darah bergerak secara perlahan melalui arteri yang sempit, menyebabkan sesetengah bahagian otot jantung terhalang daripada darah yang kaya oksigen. Kawasan itu akan menjadi lemah kerana kurang oksigen dan tidak mengepam dengan kuat.

      Dalam kebanyakan kes, aliran darah ke otot hanya cukup menjadikannya 'hidup' tetapi bukan berfungsi dengan sempurna. Serangan jantung terjadi jika plak yang tidak seimbang pecah menyebabkan darah beku menyekat aliran darah kepada kawasan otot jantung.

      Serangan jantung menyebabkan kematian otot jantung yang dengan cepat melemahkan keupayaan jantung mengepam. Kadangkala penyakit koronari arteri terhad kepada koronari arteri kecil. Jika arteri tersekat, ia tidak menyebabkan serangan jantung tetapi lama kelamaan jantung menjadi lemah.
    • Tekanan darah tinggi - Jika tekanan ekanan darah tinggi, jantung terpaksa berkerja keras daripada yang sepatutnya untuk mengedarkan darah ke seluruh badan. Lama kelamaan, otot jantung menjadi tebal atau dalam sesetengah kes menjadi kembang. Akhirnya, otot jantung menjadi terlalu lemah atau terlalu keras untuk mengepam darah secara berkesan.
    • Masalah injap jantung - Empat injap jantung memastikan darah mengalir pada arah yang betul melalui jantung. Injap yang rosak memaksa jantung bekerja lebih keras bagi memastikan darah mengikut arah aliran yang betul. Lama kelamaan, kerja 'lebih keras' ini melemahkan jantung.
    • Masalah otot jantung (Cardiomyopathy) - Ada kalanya masalah ini disebabkan jangkitan, pengambilan alkohol yang berlebihan dan kesan toksin akibat penggunaan dadah, kokain atau ubat-ubatan ketika sesi kemoterapi. Ada kalanya penyakit seperti lupus, masalah tiroid boleh merosakkan otot jantung. Dalam kes tertentu yang puncanya tidak diketahui, ia dikenali sebagai "idiopathic dilated cardiomyopathy".
    • Radang pada otot jantung (Myocarditis) - Ia biasanya disebabkan virus dan boleh menyebabkan kegagalan fungsi di sebelah kiri jantung.
    • Masalah jantung sejak lahir (congenital heart defects) - Jika jantung dan ruang (chambers) atau injap tidak terbentuk dengan betul, bahagian jantung yang sihat dan terbentuk dengan betul perlu bekerja lebih keras.
    • Ritma jantung yang abnormal (heart arrhythmias) - Ia menyebabkan jantung berdengup dengan terlalu cepat. Masalah itu menyebabkan jantung perlu bekerja lebih keras. Lama kelamaan, ia boleh menyebabkan jantung menjadi lemah. Degup jantung yang perlahan juga boleh menyebabkan lemah jantung.


    FAKTA: Simptom lemah jantung
    • Letih dan lemah
    • Nafas pendek apabila baring
    • Batuk yang kerap
    • Bengkak (edema) di kaki, buku lali dan jari kaki
    • Bengkak pada perut (kembung)
    • Berat badan bertambah kerana sembab air (fluid retention)
    • Kurang selera makan dan loya
    • Denyut nadi yang pantas atau tidak sama


    Rawatan
    • Perubahan gaya hidup dan ubat ubatan Ia memperlahankan proses lemah jantung dan membaiki kualiti hidup. Antaranya berhenti merokok, kawal masalah tekanan darah tinggi dan kolesterol, bersenam dan mengamalkan diet yang sihat. Ambil ubat-ubatan jika disarankan doktor.
    • Angioplasty - Pembedahan pintasan koronari untuk mereka yang mengalami lemah jantung disebabkan masalah koronari arteri (CAD). Pembedahan ini merawat penyempitan atau penyekatan di arteri koronari.
    • Pacemaker - Alat ini mengawal ritma denyut nadi. Ia selalunya ditanam di dalam jantung dan bertindak menstimulasi jantung yang berdegup secara perlahan atau terlalu cepat atau mengawal denyut nadi yang tidak selari. Ia juga digunakan bagi menyeragamkan degupan pada kedua-dua belah jantung.

    Wanita Malaysia anggap seks penting

    - BERITA HARIAN ONLINE

    WALAUPUN seks selalu menjadi 'isu tertutup' di kalangan wanita, kajian Pfizer melalui 'Global Better Sex Survey' (GBSS) tahun lalu mendapati, majoriti wanita berpendapat, seks adalah satu aspek kehidupan yang penting.

    Sebanyak 85 peratus wanita di dunia menganggap seks adalah penting untuk mencapai hubungan yang memuaskan. Malah, 83 peratus wanita Malaysia berkongsi pendapat yang sama.

    GBBS juga mendapati secara global lebih 50 peratus wanita tidak mencapai kepuasan seksual sepenuhnya. Angka yang sama juga didapati di kalangan wanita di Malaysia.

    Pakar Terapi Seksual dan Kaunselor Perhubungan, Dr Rosie King, berkata masalah ketidakpuasan seksual wanita jarang mendapat perhatian berbanding lelaki yang mendapati seks adalah antara komponen penting dalam kehidupan manusia.

    "Ketidakpuasan seksual wanita adalah satu misteri kerana ia merujuk kepada pelbagai masalah seksual di kalangan wanita. Ketidakpuasan seksual yang paling biasa adalah ketiadaan libido," katanya.

    Dr Rosie berkata, terdapat banyak faktor yang mungkin menyumbang ke arah ketidakpuasan seksual wanita termasuk masalah disfungsi seksual bukan saja di kalangan wanita malah pasangan mereka.

    "Sebenarnya, disfungsi seksual lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki. Disfungsi seksual di kalangan lelaki dianggarkan pada tahap 31 peratus sementara di kalangan wanita 43 peratus. Ini bermakna setiap dua daripada lima wanita mengalami disfungsi seksual," katanya.

    Jenis disfungsi seksual wanita yang biasa

    Ketiadaan libido

    Disfungsi seksual yang paling biasa di kalangan wanita adalah ketiadaan libido. Antara faktor yang biasa dikaitkan dengan ketiadaan libido termasuk tekanan perasaan, terlalu letih, kemurungan, putus haid, mempunyai anak kecil dan hubungan yang tidak bahagia.

    Pada peringkat awal sesuatu hubungan misalnya ketika bercinta, nafsu seksual wanita lebih tinggi kerana peningkatan dalam hormon testosteron. Selepas 18 bulan sehingga tiga tahun, tahap nafsu ini akan menurun.

    Selepas itu ramai wanita tidak pernah lagi atau jarang sekali mengalami nafsu yang spontan terhadap seks, walaupun mereka mungkin masih bersedia terhadap perlakuan seks sekiranya pasangan mereka memulakannya.

    Umumnya nafsu seksual lelaki adalah lebih tinggi daripada wanita. Perbezaan ini dikenali sebagai percanggahan nafsu. Kebanyakan wanita yang rendah libido juga akan mengalami masalah menangani percanggahan nafsu ini.

    Gangguan nafsu berahi

    Satu lagi masalah seksual yang biasa adalah gangguan nafsu berahi. Wanita yang mengalami gangguan nafsu berahi, bermasalah untuk membangkitkan rasa ghairah dan menikmati hubungan seks yang berlaku dalam keadaan kering serta tidak selesa.

    Mereka juga tidak dapat mencapai nikmat dan keseronokan ketika melakukan hubungan seks. Kebanyakan wanita tidak menyedari mereka memerlukan antara 15 hingga 20 minit untuk bercumbu sebelum bersedia untuk melakukan hubungan intim. Banyak perubahan berlaku pada pelvis wanita yang akan membolehkan hubungan seks berlaku dalam keadaan yang selesa. Sekiranya tiada masa diberikan untuk perubahan ini berlaku, wanita mungkin akan berasa sakit ketika melakukan hubungan seks.

    "Wanita mendapati lebih sukar untuk menumpukan perhatian terhadap pengalaman yang erotik berbanding lelaki. Justeru, nafsu seksual mereka bangkit dengan lebih perlahan. Sekiranya seseorang wanita mempunyai masalah untuk membangkitkan nafsu seksual, kemungkinan besar dia akan mengalami masalah mencapai orgasma dan menderita gangguan orgasma," katanya.

    Gangguan kesakitan seksual

    Gangguan kesakitan seksual atau dispareunia adalah satu lagi masalah seksual bagi wanita. Hubungan seks yang menyakitkan mungkin disebabkan ketiadaan rasa ghairah atau ia mungkin disebabkan masalah fizikal yang mendasari seperti jangkitan atau keradangan. Satu bentuk hubungan seks yang menyakitkan dikenali sebagai `vaginismus' iaitu hubungan seks tidak dapat dilakukan kerana kekejangan otot lantai pelvis.

    Sebab-sebab disfungsi seksual wanita

    Dr Rosie berkata, masalah seksual wanita dan ketidakpuasan seksual boleh disebabkan oleh pelbagai faktor dari segi biologi, psikologi, jalinan hubungan, seksual dan keadaan semasa.

    Bagaimanapun, kajian mendapati bahawa disfungsi seksual lelaki seperti disfungsi erektil atau pancutan air mani terlalu awal boleh melemahkan fungsi seksual wanita. Selain itu, ia juga mengehadkan nikmat dan kepuasan seksual wanita.

    "Wanita yang bersuamikan lelaki disfungsi erektil (ED) akan turut berhadapan dengan masalah rendah libido, kurang nafsu berahi, kelemahan orgasma dan kepuasan seksual yang berkurangan," katanya.

    Namun, apa yang menarik, apabila masalah ED lelaki berjaya dirawat, tindak balas seksual di kalangan isteri akan bertambah baik.

    "Ramai lelaki berasa malu untuk mendapatkan bantuan bagi masalah ereksi mereka. Mereka mungkin tidak menyedari bahawa masalah ereksi mereka boleh memberi kesan bukan saja dalam hubungan mereka dan emosi isteri malah juga terhadap keseronokan, fungsi dan kepuasan seksual isteri," katanya.

    Dr Rosie berkata, apabila seorang lelaki mengalami ED, dia secara tipikalnya akan kehilangan harga diri dan keyakinan lalu menjadi murung dan mula menyisihkan diri daripada pasangannya. Anehnya, isteri pula sering kali menyalahkan diri mereka apabila suami mengalami masalah seksual.

    "Banyak soalan akan timbul, adakah saya terlalu gemuk atau terlalu tua? Apakah dia tidak lagi menyintai saya?. Akhirnya, kedua-dua pihak mengasingkan diri dan hubungan intim pasangan mula retak," katanya.

    Jika lelaki mendapatkan rawatan untuk ED dan rawatan itu berjaya mengembalikan ereksi yang keras dan tegang pada peringkat maksimum (dikenali sebagai ereksi gred 4 pada Skala Kekerasan Ereksi), tindak balas seksual isteri juga akan bertambah baik.

    Dr Rosie berkata, hubungan intim selalu dirujuk sebagai `seks bertindak sebagai pelekat dan pelincir dalam hubungan'.

    "Pelekat kerana ia dapat membantu merapatkan hubungan pasangan dan pelincir kerana hubungan seks yang baik dapat membantu pasangan mengatasi masalah lain dalam kehidupan mereka," katanya.

    Justeru, adalah penting bagi pasangan untuk memupuk kemesraan dalam hubungan mereka dengan menjalin ikatan emosi yang intim (berkongsi tanggapan dan perasaan peribadi), hubungan rekreasi yang intim (menikmati masa yang dihabiskan bersama-masa) dan hubungan seksual yang intim (melakukan hubungan seks dengan aktif dan tetap).

    Jika mana-mana satu pihak mengalami masalah seksual, pasangan itu wajar mendapatkan bantuan profesional dan masalah ini perlu ditangani dengan segera.

    Merokok penyebab utama COPD

    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@nstp.com.my

    KETIKA penyakit lain seperti batuk kering dan HIV dijangka menurun dalam tempoh 20 tahun lagi, masalah gangguan pernafasan kronik (COPD) dijangka semakin meningkat.

    Laporan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan sekitar 600 juta orang menderita COPD. Kajian yang dilakukan oleh WHO dan Bank Dunia pada 1990 mendapati COPD berada pada tangga ke 12 penyakit yang menjadi beban (dari sudut ekonomi dan sosial). Bagaimanapun, menjelang 2020, COPD diramal berada pada tangga ke lima.

    Secara lebih khusus, peningkatan itu dijangka tertumpu di Wilayah Asia Pasifik. Ini berdasarkan jumlah perokok yang tinggi di kawasan berkenaan. Rokok memang diketahui menjadi penyebab utama COPD. Sehingga kini seramai 448,000 orang di Malaysia didiagnos dengan COPD daripada peringkat sederhana hingga serius.

    Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datin Dr Aziah Mahayiddin, berkata merokok adalah penyebab utama COPD.

    “Merokok menyebabkan radang pada saluran udara, meningkatkan penghasilan mukus dan seterusnya berlaku halangan aliran udara yang kronik,” katanya.

    Merujuk pada data yang dikeluarkan sempena Hari COPD sedunia baru-baru ini, COPD menjadi penyebab keempat utama kematian di seluruh dunia. Secara perbandingan COPD berkongsi kedudukan itu dengan HIV/Aids.

    “Kami menyedari kurangnya kesedaran di kalangan warga Malaysia mengenai COPD menyebabkan ia tidak dapat dikesan pada peringkat awal. Sedangkan pengesanan simptom, diagnosis dan rawatan pada peringkat awal boleh mengurangkan kemungkinan bebanan penyakit ini,” katanya.

    Oleh kerana COPD penyakit yang progresif sifatnya, jika tidak dirawat ia boleh menyebabkan masalah semput ketika melakukan aktiviti harian seperti menaiki tangga atau memakai pakaian.

    Dr Aziah berkata, diagnosis awal COPD boleh mengatasi masalah itu menjadi semakin teruk. Justeru, bagi mereka yang berisiko seperti perokok, mengetahui simptom awal sangat penting tetapi berhenti merokok adalah jalan terbaik. Ini kerana hampir 90 peratus pesakit COPD adalah perokok selain mereka yang banyak terdedah dengan asap rokok.

    Faktor utama COPD

  • Merokok - punca paling biasa di kalangan kebanyakan pesakit. Merokok menyebabkan kerosakan pada paru-paru dan saluran aliran udara. Berhenti merokok pada usia tua tidak membantu pesakit kerana mereka masih berisiko diserang COPD berdasarkan sejarah merokok pada zaman mudanya.

  • Pencemaran udara - pencemaran udara terutama oleh sulfur dioksida sama risikonya dengan asap rokok.

  • Bahan kimia - sesetengah tempat kerja tidak selamat kepada kakitangan kerana penggunaan bahan kimia seperti cadmimium dan habuk silika yang boleh merosakkan paru-paru.

  • Diet dan genetik - seperti sesetengah penyakit kronik, misalnya diabetes, diet dan genetik turut mempengaruhi COPD.

    Rawatan

    Bronchodilators adalah ubat yang biasa diberi kepada pesakit. Ia bertindak membuka saluran udara utama dalam paru-paru bertindak mencegah dan melegakan masalah semput atau pendek nafas.

    Bagaimanapun, ada beberapa jenis bronchodilator dan setiap satunya bertindak dengan cara tersendiri selain penggunaan yang khusus. Pilihan bronchodilator terpulang pada individu dan pandangan doktor.

    Antara bronchodilator yang ada adalah anticholinergics iaitu ubat yang bertindak menerusi sistem saraf. Ia mengawal saiz saluran udara. Selain itu, Beta2-agonists - ubat yang juga bertindak menerusi sistem saraf tetapi ia mengawal tisu otot di sekeliling saluran udara.

    Selain itu, doktor mungkin memberikan ubat-ubatan anti radang dan antibiotik.

    Perbezaan COPD dengan masalah pernafasan lain.

  • Bronkitis kronik - bersifat progresif yang menghasilkan lebihan lendir (mukus) dan batuk berpanjangan (sekurang-kurangnya tiga bulan dalam tempoh dua tahun). Masalah ini bertambah kronik jika pesakit itu juga seorang perokok atau terdedah pada asap rokok dan udara yang tercemar.

  • Masalah dinding pundi udara kekal dalam paru-paru (emphysema) - keadaan ini menyebabkan pundi udara membesar. Pesakit akan cepat letih dan semput.

  • Lelah - tidak disebabkan oleh merokok sebaliknya dikaitkan dengan alahan. Lelah boleh dicegah dengan rawatan yang betul.


  • --- Berita Harian

    Kerosakan pada saraf tunjang boleh sebabkan lumpuh


    Cedera tulang belakang jejas pundi kencing
    Oleh Hafizah Iszahanid
    hafiza@nstp.com.my

    KEBANYAKAN kes kecederaan tulang belakang yang membabitkan saraf tunjang boleh menyebabkan kecacatan kekal dan lumpuh. Masalah ini tidak boleh dipulihkan sepenuhnya.

    Justeru, rawatan lebih tertumpu kepada mengelakkan kerosakan sekunder pada saraf tunjang dan tulang di sekelilingnya yang boleh menyebabkan kecacatan atau lumpuh yang lebih teruk. Ada kes yang menyebabkan kematian terutama kerana komplikasi berkaitan sistem respiratori.

    Pakar Perunding Ortopedik dan Pembedahan Trauma, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Khaizatul Ezam Abu Bakar, berkata kecederaan saraf tunjang tulang belakang atau ‘Spinal Cord Injury’ selalunya adalah trauma pada tulang belakang yang menyebabkan kecederaan pada saraf tunjang sama ada kecederaan primer (kerosakan saraf kekal sewaktu trauma) atau kecederaan sekunder (kerosakan lanjut pada saraf tunjang selepas trauma).

    Dr Ezam berkata, antara kedua-duanya, kecederaan sekunder boleh dielakkan atau dikurangkan kesannya dengan rawatan tertentu.

    “Saraf tunjang (spinal cord) adalah organ saraf atau neural yang bermula daripada pangkal otak dan berakhir pada tulang vertebra lumbar pertama dan kedua (L1/L2). Ia terletak di dalam saluran saraf tunjang (spinal canal) setiap vertebra yang bermula daripada vertebra servikal pertama.

    “Saraf tunjang ini amat sensitif kepada sebarang kecederaan. Justeru, sebarang kecederaan boleh menyebabkan kerosakan yang kekal,” katanya.

    Dr Ezam berkata, secara umum kecederaan saraf tunjang dibahagikan kepada kecederaan penuh (complete transaction) atau tidak sepenuhnya (incomplete cord injury).

    Kecederaan saraf tunjang sepenuhnya bermaksud kehilangan sepenuh kawalan saraf dan deria rasa (sensasi) dan fungsi otot dan organ pada bahagian yang cedera serta ke bawah tahap kecederaan terbabit.

    Kecederaan saraf tunjang yang tidak sepenuhnya pula bermaksud saraf tunjang pada bahagian yang tercedera masih berfungsi. Contohnya, bagi kecederaan saraf tunjang tidak sepenuhnya ia boleh menyebabkan kelumpuhan otot tertentu tetapi deria rasa masih normal.

    Selain itu, katanya, wujud risiko kedua-dua tangan dan kaki lumpuh jika kecederaan terjadi pada bahagian saraf tunjang servikal (di tengkok).

    “Jika kecederaan saraf tunjang itu terjadi pada bahagian tulang belakang bawah (lumbar dan thorako-lumbar) ia boleh menyebabkan kedua-dua kaki lumpuh. Kawalan bagi pundi kencing dan anus juga akan mengalami kerosakan,” katanya.

    Pada peringkat global, kecederaan tulang belakang memang masalah yang kerap berlaku. Di Amerika contohnya, 10,000 kes kecederaan tulang belakang dilaporkan setiap tahun. Dengan 200,000 orang di Amerika hari ini hidup dengan tangan, kaki atau kedua-duanya lumpuh.

    Kecederaan tulang belakang selalunya disebabkan kemalangan jalan raya, kecederaan ketika bersukan, dibelasah dan jatuh dari tempat tinggi.

    Rawatan

    * Rawatan awal ditumpukan untuk menstabilkan keadaan pesakit yang tercedera ini daripada mengalami kecederaan sekunder termasuk rawatan bantuan pernafasan jika diperlukan, pengawalan perdarahan dan rawatan kecederaan lain yang dialami pesakit trauma.

    * Peringkat rawatan susulan membabitkan pembedahan menstabilkan tulang belakang (jika perlu), rawatan fisioterapi dan rehabilitasi adalah amat penting sekali.

    “Rawatan menstabilkan tulang belakang biasanya membabitkan pembedahan dan penggunaan implan bagi menstabilkan semula tulang belakang yang rosak. Bagaimanapun, pembedahan ini tidak bermaksud fungsi otot yang dikawal oleh saraf tunjang pada bahagian itu akan pulih seperti sedia kala,” katanya.

    Tujuan pembedahan untuk menstabilkan tulang belakang bagi memudahkan proses rehabilitasi dan fisioterapi, mengurangkan atau mengelakkan kesan kecederaan sekunder kepada saraf tunjang pada bahagian tulang belakang yang berkenaan dan mengurangkan risiko deformasi lanjutan pada tulang belakang pada masa hadapan.

    Selain itu, katanya sokongan keluarga sangat penting untuk membantu pesakit kembali pulih. Pesakit lumpuh tidak boleh bergerak sendiri. Jika tidak dibawa untuk menjalani sesi terapi dan rehabilitasi dan mendapat sokongan moral, motivasinya terjejas dan pesakit akan mudah mengalami kemurungan,” katanya.

    INFO: Kesan kecederaan saraf tunjang

    * Pergerakan dan kawalan otot - ketidakupayaan mengawal otot.
    * Hilang sensasi - ketidakupayaan mengawal rasa panas, sejuk dan sakit. Malah, tidak boleh mengawal suhu badan.
    * Kawalan sistem organ - ketidakupayaan mengawal usus/pundi kencing selain kehilangan fungsi seksual dan tidak subur.

    Rabu, 23 Januari 2008

    Kesakitan sendi pada usia tua

    ‘‘ADAKAH biasa bagi seseorang yang berusia sekitar 60-an atau golongan berusia untuk mengalami kesakitan sendi, terutamanya pada bahagian lutut? Ini kerana isteri saya juga mengalami masalah yang sama, cuma pada tahap yang berbeza.

    Ia banyak menjejaskan aktiviti harian dan kualiti kehidupan saya. Untuk melegakan keadaan saya kerap mengambil ubat penahan sakit. Apakah masalah ini boleh diperbaiki dengan amalan pemakanan yang baik?’’

    JAWAPAN:
    Masalah kesakitan sendi banyak dialami oleh golongan berusia.

    Ia juga dikenali sebagai masalah kemerosotan rawan atau dikenali sebagai osteoartritis.

    Penipisan atau koyakan pada rawan ini akan menyebabkan tulang keras akan bergeseran antara satu sama lain apabila adanya pergerakan. Keadaan ini akan menyebabkan kesakitan, pembengkakan dan seterusnya menjejaskan kemampuan pergerakan sendi.

    Lama-kelamaan, sendi juga mungkin akan kehilangan bentuk asalnya.

    Sebenarnya, ia juga boleh menjejaskan sendi-sendi lain, seperti pinggul dan tangan.

    Selain penuaan faktor risiko lain terma-

    suklah berat badan berlebihan, kecederaan sendi dan juga mereka yang terlibat dalam aktiviti yang memberikan tekanan berlebihan kepada sendi seperti ahli sukan.

    Pada peringkat permulaan, kesakitan pada sendi boleh dirasai selepas aktiviti fizikal atau senaman. Kekejangan sendi terutamanya pada waktu pagi juga memberi petanda awal kepada osteoartritis.

    Glukosamin yang diambil secara oral banyak digunakan untuk merawat osteoartritis.

    Pengambilan glukosamin bermanfaat dalam membantu membina semula rawan dan merawat artritis. Dos yang biasa digunakan untuk rawatan osteoartritis adalah sekitar 1500 miligram sehari.

    Kesan positifnya termasuklah melegakan kesakitan, yang berkemungkinan besar disebabkan oleh bahan antiradang untuk memudahkan pergerakan.

    Bagi mereka yang mempunyai masalah keradangan, pengambilan minyak ikan juga menawarkan cara mudah untuk memperolehi jumlah omega 3 secukupnya, yang terdiri daripada asid eikosapentaneoik (EPA) dan asid dokosaheksanoid (DHA).

    Asid-asid lemak poli-tidak tepu ini juga turut berperanan dalam pengawalan masalah keradangan seperti osteoartritis.

    Manakala pengambilan ubat penahan sakit seharusnya dikurangkan dan hanya diambil apabila keadaan memerlukan.


    --- Utusan Malaysia

    Jenis-jenis kanser yang menyerang wanita

    Oleh Prof. Madya Dr. Shah Reza (Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM))

    PENGURANGAN risiko kanser boleh dilakukan dengan mengubah gaya dan tatacara kehidupan.

    Perhatian perlu diberi pada keadaan badan, perasaan tahap kesihatan diri dan juga bentuk serta rupa struktur badan. Ujian saringan juga perlu ditekankan bagi mengesan kanser dengan lebih awal.

    Sel-sel normal yang membina tisu badan mengalami tumbesaran, membahagi serta penggantian secara teratur dan tenteram. Kadangkala sel-sel tua yang sepatutnya digantikan, masih meneruskan tumbesarannya. Pertumbuhan ini mungkin tidak teratur dan bercelaru, akhirnya mereka menjadi luar kawalan dan seterusnya bertukar pada ketumbuhan yang ganas (malignan) ataupun yang tidak ganas (benign).

    Ketumbuhan yang tidak ganas (benign) tidak merebak ke bahagian lain dan lazimnya tidak membimbangkan. Pembedahan terpaksa dilakukan jika saiz ketumbuhan terlalu besar dan memberi tekanan kepada organ-organ berhampirannya.

    Ketumbuhan yang ganas pula (malignan), akan menakluk, merosakkan dan merebak pada organ-organ berhampiran dan juga organ yang jauh serta boleh menyebabkan ketumbuhan baru di tempat lain.

    Faktor keturunan (kehadiran gen-gen tertentu) juga boleh menyebabkan ketumbuhan berlaku selain pendedahan kepada sinar-sinar tertentu, bahan kimia, virus dan bermacam jenis faktor persekitaran lain.

    Jenis-jenis kanser bergantung pada bahagian anatomi badan yang terlibat seperti paru-paru, payudara, kulit, ovari, rahim, pangkal rahim, faraj, vulva, usus besar dan rektum.

    Semua penyakit boleh dicegah atau dirawat sekiranya pengesanan dapat dilakukan pada peringkat awal.

    Lazimnya terdapat tanda-tanda awal yang harus diamati dan diperhatikan. Juga sebagai satu bentuk pencegahan, golongan wanita dinasihatkan supaya menjalani penyaringan secara berkala untuk mengenal pasti kanser di peringkat awal.

    Petanda awal

    Di antara petanda-petanda awal kanser pada bahagian badan berkenaan adalah perubahan pada tabiat kebiasaan pundi kencing dan juga usus besar.

    Selain itu, luka-luka yang tidak sembuh, pendarahan ataupun discaj yang tidak pernah dialami, penebalan ataupun tongkol-tongkol pada payudara ataupun bahagian kulit yang lain serta perubahan pada tahi lalat atau mana-mana tompok kulit juga mungkin menjadi petanda awal kanser tertentu.

    Pesakit juga perlu peka untuk ujian masalah kesusahan menelan serta keabnormalan pencernaan makanan atau minuman selain batuk yang tidak hilang dan juga perubahan pada suara.

    Perlu diingat bahawa ini bukanlah petanda mutlak kanser tetapi hanya kehadiran gejala berkenaan sepatutnya dirujuk kepada doktor.

    Kesakitan biasanya bukan tanda-tanda awal kanser. Walau bagaimanapun, jangan ditunggu sehingga kesakitan menjelma, barulah rujukan mahu dibuat kerana ketika itu mungkin sudah terlambat.

    Kanser paru-paru

    Majoriti pesakit mendapat kanser paru-paru dari aktiviti merokok. Wanita yang merokok mempunyai risiko 12 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat kanser paru-paru jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok.

    Walaupun jika anda bukan perokok, tapi menyedut asap rokok secara pasif juga dapat menambahkan risiko kanser paru-paru.

    Lazimnya tanda-tanda kanser paru-paru hanya jelas kelihatan apabila penyakit tersebut sudah pun di peringkat yang teruk.

    Pesakit pada kebiasaannya mengalami batuk yang tidak sembuh-sembuh, kahak bercampur darah, sakit dada, berbunyi apabila menghembus nafas (wheezing), stamina pernafasan yang cetek serta keserakan suara.

    Selain itu, penghidap kanser jenis ini juga mengalami episod berulang-ulang penyakit pneumonia dan juga bronkitis, kurang selera makan serta jatuh berat badan dan selalu mendapat demam.

    Untuk mengelak kanser paru-paru, jangan mulakan merokok serta jauhkan diri dari asap rokok. Untuk mereka yang sudah pun mula merokok, carilah pertolongan supaya dapat membuang tabiat tersebut.

    Kanser payudara

    Kanser ini adalah antara penyebab kematian utama di kalangan wanita. Kebarangkalian untuk seorang wanita mendapat kanser ini pula adalah satu dalam lapan (1:8). Di antara faktor-faktor yang dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser jenis ini termasuk peningkatan umur, sejarah keluarga dengan kanser payudara (terutamanya di sebelah ibu atau saudara perempuan) serta pembawa gen genetik abnormal BCRA1 dan BCRA2.

    Selain itu, penggunaan hormon gantian tanpa pengawasan doktor, pendedahan kepada radiasi serta sejarah menghidap kanser payudara juga meningkat risiko anda.

    Penyusuan badan, pengurangan berat badan serta bersenam dapat mengurangkan risiko kanser ini.
    Seperti juga mana-mana kanser lain, pengesanan awal dapat mencegah dan mungkin menyembuhkan dengan rawatan awal.

    Di antara perubahan awal yang perlu diperhatikan termasuk pembengkakan, tonjolan, kekerasan, penebalan dan juga pengecutan kulit pada payudara.

    Kerengsaan pada kulit payudara serta puting yang tenggelam ke dalam, bersisik, berdarah, mengalami discaj, sakit serta tidak selesa perlu disiasat untuk kemungkinan kanser.

    Anda dinasihatkan supaya menjalani ujian mammografi sekurang-kurangnya setahun sekali terutamanya sekiranya sudah menjangkau umur 50 tahun. Selain itu, anda juga harus proaktif dalam memeriksa payudara sendiri kerana diri sendiri lebih tahu perubahan awal badan.

    Kanser usus dan rektum (kanser kolorektal)

    Kanser kolorektal ini perlahan tumbesarannya dan pada kebiasaannya bermula dengan polip di usus sebelum menjadi kanser. Anda dikategorikan sebagai berisiko sekiranya mempunyai waris terdekat (ibu, ayah, adik-beradik) dengan polip atau kanser kolorektal semasa berumur kurang dari 60 tahun, mempunyai penyakit yang melibatkan usus atau diri sendiri mempunyai polip di usus.

    Lazimnya kanser kolorektal tidak mempunyai apa-apa petanda peringkat awal, tetapi selalunya didiagnosis pada peringkat lewat.

    Antara petanda kanser jenis ini adalah perubahan dari kebiasaan tabiat usus, pendarahan dari rektum, darah di dalam najis ataupun najis berwarna hitam, najis menjadi panjang dan bergaris pusat kecil serta ketidakselesaan abdomen (kembung, kejang dan sering kentut atau sedawa).

    Selain itu, selera makan juga menurun, rasa lemah serta letih tanpa sebab juga mungkin menjadi petanda kanser kolorektal yang akan memerlukan pemeriksaan lanjutan.

    Bagi mereka yang telah melangkau umur 50 tahun, anda boleh menjalani ujian saringan seperti ujian darah di dalam najis setahun sekali, ujian sigmoidoskopi fleksibel setiap 5 tahun, ujian barium enema berkontras setiap 5 tahun serta ujian kolonoskopi setiap 10 tahun.

    Walau bagaimanapun, ini bergantung pada faktor berlakunya kanser kolorektal setempat. Sekiranya statistik kejadian kanser kolorektal di tempat anda tinggi, makan anda juga berisiko dan lebih baik mengambil langkah berjaga-jaga.

    Kanser kulit

    Walaupun sebagai orang asia kulit kita lebih berpigmen, anda juga berkemungkinan boleh terkena kanser kulit.

    Jenis-jenis kanser kulit termasuk jenis sel basal (kulit nampak seperti lilin, pucat warnanya, mungkin timbul seperti mutiara dan kadangkala tompok bersisik), jenis sel skuamos (kehadirannya juga menyerupai sel basal) atau jenis melanoma (seperti tahi lalat, hanya membesar dengan perimeter tidak sekata, bertambah hitam dan senang berdarah).

    Terdapat beberapa tanda pada kulit yang boleh diperhatikan seperti perubahan pada saiz tahi lalat, bersisik, berdarah dan juga seakan melecur.

    Selain itu, perhatikan juga perubahan pada warna dan juga kehadiran tompok-tompok pada kulit, kegatalan, kesakitan dan juga ketidakselesaan pada biji-biji ataupun tahi lalat serta kudis yang tidak sembuh.

    Pastikan yang anda juga memeriksa pada semua tempat sama ada yang terdedah atau terlindung daripada cahaya matahari.

    Kanser ovari

    Risiko untuk mendapat kanser telur adalah kecil, tetapi kebarangkaliannya meningkat dengan peningkatan usia terutamanya selepas melangkau usia 60 tahun. Faktor-faktor yang meningkatkan risiko kanser jenis ini termasuklah kemandulan, makanan kaya dengan lemak, sejarah kanser usus dan payudara, endometriosis serta pembawa gen abnormal BRCA1 dan BRCA2.

    Mereka yang kurang risikonya termasuklah mereka yang mengambil pil perancang keluarga, pernah melahirkan anak walaupun sekali dan mereka yang pernah menyusu badan.

    Kanser ovari, bila dikesan, mungkin sudah pun terlambat. Oleh itu, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjutan seperti ultrasound memandangkan tidak ada ujian saringan khas untuk kanser ini.

    Berjumpalah dengan doktor sekiranya anda mengalami ketidakselesaan di kawasan pinggul, kembung, sendawa, bergas, kesukaran pencernaan yang tidak dapat dijelaskan, pendarahan abnormal melalui faraj serta pembengkakan abdomen.

    Kanser rahim

    Risiko kanser rahim meningkat selepas umur 55 tahun, terutamanya mereka di dalam julat di antara 60 hingga 75 tahun dan jarang berlaku di kalangan mereka di bawah 40 tahun.

    Mereka yang menggunakan pil perancang keluarga juga mempunyai risiko yang rendah.

    Faktor-faktor yang meningkatkan risiko kanser rahim termasuklah penggunaan hormon gantian estrogen sahaja (tanpa progesteron), tidak pernah melahirkan anak, putus haid selepas umur 52 tahun, lebih berat badan, darah tinggi, kencing manis serta penyakit lain seperti masalah tiroid dan hempedu.
    Penggunaan ubat Tamoxifen, Hiperplasia lapisan dalaman rahim, penyakit keturunan seperti kanser usus juga meningkat risiko kanser rahim.

    Anda juga berisiko sekiranya mempunyai haid tidak teratur dan kerap kali tidak datang haid.

    Tanda-tanda amaran kanser rahim termasuklah pendarahan selepas menopaus, discaj atau lelehan di antara tempoh haid dan haid yang berpanjangan dengan kehadiran darah yang banyak.

    Biasanya doktor tidak menjalankan saringan untuk kanser rahim, tetapi sekiranya disyaki, anda mungkin dikehendaki menjalani ujian-ujian seperti:

    “Biopsi endometrial – pensampelan tisu dari dalaman rahim untuk kajian.
    “Pemeriksaan ultrasound – terutamanya ultrasound melalui faraj, mengukur ketebalan dinding endometrium.
    “Penkuretan dan dilatasi – pangkal rahim di buka, dan dalam rahim disedut ataupun dicalit untuk kajian lanjutan.
    “Histeroskopi – penggunaan peralatan optik untuk melihat secara langsung dengan pembesaran imej dan persekitaran di dalam rahim.

    Kanser pangkal rahim (serviks)

    Ujian saringan PAP dapat mengesan keabnormalan pangkal rahim pada peringkat awal. Ujian lanjutan seperti kolposkopi mungkin dijalankan untuk kepastian. Contoh tisu pangkal rahim diambil untuk kepastian jika ianya kanser rahim.

    Puan berisiko tinggi untuk kanser pangkal rahim sekiranya mempunyai infeksi virus HIV (Human Immunodeficeincy Virus), virus HPV (Human Papilloma Virus), sistem imuniti badan yang lemah atau terdedah pada ubat diethylstilbesterol (DES) semasa anda di dalam kandungan (ubat ini tidak lagi digunakan sekarang).

    Peringkat awal kanser ini lazimnya tidak menunjukkan sebarang petanda tetapi sekiranya mengalami mengalami masalah berikut, segeralah berjumpa dengan doktor.

    “Discaj atau lelehan abnormal melalui faraj
    “Pendarahan abnormal melalui faraj
    “Pendarahan selepas hubungan kelamin

    Sekarang terdapat imunisasi terhadap kanser pangkal rahim yang disebabkan oleh HPV dan ianya dinasihatkan diberikan pada anak-anak perempuan yang berumur antara sembilan hingga 26 tahun. Vaksin ini diberikan dalam tiga dos.

    Walaupun divaksinasi, ujian saringan PAP masih perlu dilakukan kerana terdapat beberapa jenis lagi virus HPV yang tidak dapat dilindungi melalui vaksinasi.

    Kanser faraj dan vulva

    Kebanyakan kanser jenis ini berlaku pada mereka berusia melebihi 60 tahun. Sekiranya anda mengalami perkara-perkara berikut di sekitar alat kelamin, dinasihatkan supaya berjumpa dengan doktor dengan segera.

    “Kudis, pembengkakan yang tidak hilang-hilang
    “Kegatalan
    “Pendarahan yang abnormal
    “Perubahan pada kulit-kulit di sekitar, seperti perubahan pada tahi lalat
    Perokok dan mereka yang dijangkiti virus HPV berisiko tinggi. Biopsi tisu pada luka-luka yang timbul mungkin perlu diambil untuk ujian saringan lanjutan.

    Secara umumnya, terdapat beberapa cara untuk mengurangkan risiko kanser terhadap diri anda seperti:
    - Tidak merokok atau berhenti merokok
    - Kurangkan pengambilan makanan dengan lemak tepu atau lemak trans
    - Banyakkan makanan berserat tinggi
    - Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala
    - Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari
    - Sekiranya anda berkulit cerah atau kurang pigmen kulit, hadkan pendedahan pada cahaya matahari
    - Tumpuan dan perhatian pada sebarang perubahan pada badan anda
    - Jangan amalkan tatacara serta gaya hidup seksual secara bebas
    - Amalkan ujian tertentu yang patut dilakukan pada umur serta julat tahun tertentu
    - Kurangkan pengambilan minuman beralkohol.

    --- Utusan Malaysia

    Ahad, 20 Januari 2008

    Batuk kokol dewasa punca jangkitan bayi

    ARKIB : 20/01/2008

    Siri akhir

    SUDAH 10 tahun berlalu sejak Sabariah melahirkan anak lelakinya Zaki, dan kini, dia berbangga dan bersyukur kerana dikurniakan seorang anak perempuan comel bernama Zara.

    Beberapa minggu selepas Zara dibawa pulang dari hospital memang sibuk; ada sahaja sanak saudara dan sahabat handai yang menjenguk si comel setiap hari; Sabariah dan suaminya Amir penat melayan kerenah tetamu yang berkongsi kegembiraan.

    Suatu hari, Sabariah batuk-batuk dan seperti demam selesema dengan rasa perit di tekak. Mungkin dia diserang penyakit kerana terlalu sibuk menjaga anak yang baru lahir, maka dia pun membeli ubat batuk dari kedai.

    Dalam tempoh seminggu, batuk yang dialami semakin teruk dan diiringi kesesakan bernafas. Akhirnya dia berjumpa doktor dan disahkan menghidap Pertusis yang juga dikenali batuk kokol. Tiba-tiba Zara pula menunjukkan tanda jangkitan – batuk-batuk teruk diikuti bunyi ‘whoop’ yang nyaring. Setiap kali batuk, mukanya merah padam, menyebabkannya rasa rengsa dan meragam. Zara disahkan menghidap Pertusis.

    Sabariah diberitahu bahawa daya tahannya terhadap Pertusis telah berkurangan secara beransur-ansur walaupun dia pernah diberi vaksin penyakit ini semasa bayi. Sementara itu, Zara pula masih belum sempat melengkapkan tiga dos vaksin Pertusis, sebab itulah dia terdedah kepada penyakit itu. Untuk mencegah jangkitan daripada merebak, doktor mencadangkan agar Zaki yang berusia 10 tahun diberi vaksin penggalak (booster).

    Apakah sebenarnya pertusis?

    Pertusis atau batuk kokol ialah jangkitan serius yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis. Walaupun ia boleh dicegah dengan vaksin, masih ada 30 juta hingga 50 juta kes jangkitan Pertusis dilaporkan di seluruh dunia setiap tahun, dengan 300,000 daripadanya menyebabkan kematian.

    Di Malaysia, semua bayi wajib mendapatkan vaksin DTP (Difteria, Tetanus dan Pertusis). Keberkesanan vaksin ini berjaya mengekang penularan jangkitan Pertusis. Malah, Profil Imunisasi Malaysia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati bahawa hanya enam kes Pertusis dilaporkan pada 2006.

    Keimunan penuh terhadap Pertusis bagi bayi hanya diperoleh selepas dos ketiga vaksin diberikan apabila bayi berusia 5 bulan. Pendedahan kepada bakteria pada bila-bila masa sebelum keimunan penuh diperoleh boleh menyebabkan jangkitan, dan membawa kesan memudaratkan. Masalahnya, daya tahan terhadap penyakit tidak kekal; tahap imuniti semakin berkurangan apabila kanak-kanak berusia 11 atau 12 tahun. Namun begitu, mereka boleh diberi suntikan penggalak untuk mencegah Pertusis, agar tidak menghidap penyakit tersebut ataupun menyebarkannya kepada bayi yang baru lahir. Sebahagian besar daripada jangkitan Pertusis di kalangan bayi baru lahir memang berpunca daripada orang dewasa yang dijangkiti.

    Apakah tanda atau gejalanya?

    Gejala awal jangkitan mirip selesema biasa termasuk hidung berhingus, perit tekak, batuk ringan, demam ringan dan bersin. Selepas satu atau dua minggu jangkitan, batuk semakin teruk dan kerap berulang. Bunyi desisan sering didengar selepas batuk, sebab itulah penyakit diberi nama batuk kokol. Kejadian batuk berulang juga menyebabkan sesetengah kanak-kanak muntah.

    Namun begitu, bukan semua orang yang dijangkiti Pertusis akan batuk berdesis atau batuk teruk. Bayi mungkin menghadapi kesukaran bernafas, menyebabkan mukanya merah padam. Malah pernafasannya juga mungkin terhenti buat beberapa ketika dalam kejadian yang lebih serius (‘apnea’). Kebanyakan dewasa atau remaja pula mungkin mengalami batuk yang berpanjangan, tapi tanpa bunyi desisan.

    Adakah penyakit ini sangat berjangkit?

    Jangkitan Pertusis senang berjangkit kerana bakteria boleh disebarkan menerusi titisan cecair dalam udara apabila orang yang dijangkiti bersin, batuk atau ketawa. Sesiapa yang berada sebilik dengan orang yang dijangkiti mengalami risiko jangkitan dengan hanya menghidu udara atau menyentuh hidung dan mulut dengan tangan selepas terkena titisan ini secara tidak disedari. Malah, orang yang dijangkiti akan menyebarkan bakteria dari peringkat awal jangkitan, sehingga dua minggu selepas batuk bermula.

    Bolehkah pertusis dirawat?

    Dewasa, remaja dan kanak-kanak boleh pulih dari Pertusis dengan rawatan antibiotik, tetapi kanak-kanak kecil dan bayi mungkin perlu dimasukkan ke hospital. Walau bagaimanapun, batuk berulang-ulang akan berlaku selama tiga bulan walaupun telah diberi rawatan. Komplikasi yang mungkin timbul termasuk pneumonia, kekurangan air dalam badan, jangkitan telinga dan sawan.

    Jangkitan serius Pertusis boleh menyebabkan kematian di kalangan bayi di bawah 6 bulan, termasuk pendarahan otak, hipoksia (kandungan oksigen yang rendah) dan ensefalopati (jangkitan otak).

    Bolehkah pertusis dicegah?

    Kita bernasib baik kerana dalam usaha mencegah jangkitan Pertusis, ilmu sains moden menghasilkan vaksin Pertusis. Vaksin diberikan menerusi imunisasi 3 dalam 1 yang dikenali DTP, pemvaksinan menentang Difteria, Tetanus dan Pertusis sekali gus.

    Vaksin DTP ialah salah satu daripada vaksin dalam Program Imunisasi Kementerian Kesihatan yang bermatlamat memberi vaksin kepada setiap kanak-kanak di Malaysia. Bayi menerima suntikan vaksin DTP pada usia 2 bulan, 3 bulan dan akhirnya 5 bulan dengan satu lagi dos tambahan pada usia 18 bulan.

    Oleh kerana vaksin Pertusis berkesan selama kira-kira lima tahun, orang dewasa juga disyorkan mendapatkan suntikan penggalak untuk mencegah Pertusis. Langkah ini amat penting agar orang dewasa tidak menghidap penyakit dan menyebarkannya kepada bayi yang belum menerima dos pemvaksinan penuh DTP. Vaksin penggalak atau tambahan untuk dewasa berbeza daripada vaksin untuk bayi di mana ia mempunyai komponen difteria dan pertusis yang lebih rendah (dTp).

    Vaksin dTp untuk orang dewasa digalakkan khasnya bagi orang dewasa yang sentiasa berdekatan kanak-kanak seperti guru tadika, pekerja tadika, pembantu rumah dan juga pekerja kesihatan dan perubatan. Pernah berlaku jangkitan Pertusis di hospital berpunca daripada doktor atau jururawat yang dijangkiti. Jangkitan merebak dengan pantas daripada seorang pesakit ke pesakit lain.

    Keimunan sepanjang hayat

    Jika anda seorang ibu atau bapa, pastikan bayi diberikan vaksin Pertusis berasaskan jadual imunisasi tempatan. Untuk mengekalkan daya tahan menentang jangkitan, pastikan anak anda menerima suntikan penggalak apabila berusia 12 tahun. Orang dewasa juga disyorkan mendapatkan suntikan tambahan tiap-tiap 10 tahun untuk mengekalkan imuniti. Bincangkan perkara ini apabila anda bertemu doktor anda.

    * Rencana ini ditulis oleh Dr. Zulkifli Ismail, Pakar Runding Pediatrik, bekas Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Asuhan Positif. Program Asuhan Positif diuruskan oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dan disokong sebahagiannya menerusi geran pendidikan tidak bersyarat daripada GlaxoSmithKline. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mypositiveparenting.org.

    Rabu, 9 Januari 2008

    Cacar air, si manja anda & anda

    Cacar air dianggap sebagai lumrah kehidupan dan sesuatu yang perlu dilalui oleh setiap kanak- kanak tetapi tahukah anda penyakit ini boleh mendedahkan anda kepada jangkitan kedua apabila dewasa? Minggu ini Program Positive Parenting membincangkan isu ini.

    Ruam merah mula muncul di seluruh badan anak anda. Beberapa hari kemudian, bintik-bintik seperti jerawat ini menjadi lepuhan bercecair. Anak anda demam, hilang selera makan dan meragam. Dia terperap di dalam rumah dan tidak dapat pergi ke tadika. Doktor memberi amaran untuk memastikan anak anda tidak menggaru ruamnya (walau segatal mana pun) kerana menggaru boleh menyebabkan jangkitan bakteria pada kulit. Malah anda terkejut apabila doktor menerangkan kemungkinan berlakunya komplikasi serius seperti radang peparu atau ensefalitis (radang otak). Sebelum ini, anda menganggap cacar air hanyalah jangkitan biasa yang ringan. Bukankah semua orang dijangkiti sekali seumur hidup dan pulih sepenuhnya?

    Tidak lama kemudian, gejala yang sama mula muncul pada adiknya. Anda tiada pilihan lain kecuali mengambil cuti kerja untuk menjaga mereka. Tanggungjawab menjaga dua anak kecil yang sakit memang meletihkan, lebih-lebih lagi jika anda sudah mengandung tiga bulan.

    * Mengenai cacar air

    Cacar air ialah sejenis jangkitan yang disebabkan oleh virus Varicella-zoster yang amat mudah berjangkit dan boleh merebak menerusi sentuhan fizikal dan melalui udara daripada titisan bersin atau batuk. Kanak-kanak yang dijangkiti boleh menyebarkan virus dua minggu sebelum ruam muncul dan sehinggalah semua lepuhan menjadi kering.

    Selagi anak anda sihat, kesan jangkitan cacar air biasanya bersifat ringan dan akan hilang dalam masa dua minggu. Namun begitu ia lebih berbahaya di kalangan kanak-kanak yang mempunyai sistem imun lemah, menghidap ekzema atau mengambil ubat steroid (contohnya penghidap asma).

    Anda perlu mencegah anak anda daripada menyebarkan penyakit dan memastikan dia tinggal di rumah dan tidak menghadiri kelas tadika. Malangnya, adalah lebih sukar untuk mengelakkan anggota keluarga lain daripada dijangkiti. Risikonya sangat tinggi kerana mereka berada berdekatan dengan satu sama lain. Cuba jauhkan anak anda daripada wanita hamil dan sesiapa yang belum pernah menghidap cacar air atau belum diberi vaksin.

    Antara langkah untuk merawat cacar air termasuk menegah anak anda menggaru dan mencegah jangkitan sekunder, menggalakkannya minum banyak air dan memastikan pengambilan khasiat pemakanan secukupnya dan mengawasi sebarang komplikasi serius. Sejenis agen antivirus yang dinamakan acyclovir akan mengurangkan tahap keterukan penyakit tetapi ubat ini perlu diberikan pada peringkat awal jangkitan.

    Kehidupan selepas menghidap cacar air. Selepas jangkitan cacar air, virus Varicella-zoster ‘menyorok’ dalam keadaan tidak aktif dalam urat saraf individu. Virus in boleh aktif semula beberapa tahun kemudian apabila anak anda sudah dewasa atau jika sistem imunnya lemah. Turut dikenali sebagai herpes zoster, kayap ialah sejenis ruam menyakitkan yang boleh menyebabkan neuralgia postherpetik, sejenis penyakit yang mengakibatkan kulit terasa sakit selama berbulan atau bertahun walaupun ruam sudah hilang.

    * Mencegah anak anda daripada dijangkiti cacar air

    Hanya melalui vaksin boleh mencegah cacar air ialah menerusi imunisasi. Vaksin dihasilkan dengan menggunakan virus Varicella-zoster yang lemah dan diberikan kepada kanak-kanak berusia 1 dan 12, dewasa serta remaja yang belum pernah dijangkiti cacar air. Walaupun vaksin ini boleh mencegah jangkitan cacar air bagi kebanyakan kanak-kanak, sebilangan kecil masih boleh dijangkiti. Namun begitu jangkitan tersebut adalah lebih ringan dengan tanda-tanda yang tidak begitu serius dan parutan kulit yang berkurangan.

    Seperti semua vaksin lain, vaksin cacar air boleh mendatangkan kesan sampingan – paling umum ialah kemerahan, kesakitan dan bengkak di tempat suntikan. Bincanglah dengan doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut mengenai vaksin ini.

    * Cacar air & kehamilan anda

    Oleh kerana cacar air boleh menjangkiti semua orang pada sebarang peringkat usia – baik kanak-kanak kecil mahupun remaja, dewasa dan warga tua – risiko wanita hamil bertemu dengan penghidap virus Varicella-zoster adalah sangat tinggi. Keadaan ini amat membahayakan jika anda belum pernah menghidap cacar air.

    Bahaya kepada anda. Cacar air semasa dewasa mungkin membahayakan dan boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang peparu atau ensefalitis, walaupun keadaan sedemikian jarang berlaku. Kesan parut pada orang dewasa juga lebih teruk.

    Bahaya kepada bayi anda. Jangkitan cacar air yang berlaku pada peringkat awal kehamilan menyebabkan kecacatan semasa lahir, berat lahir yang rendah atau kecacatan anggota pada janin. Jika anda dijangkiti seminggu sebelum melahirkan anak atau dalam tempoh sepuluh hari selepas beranak, jangkitan tersebut boleh mengancam nyawa bayi baru lahir.

    * Mengurangkan risiko jangkitan

    Jika anda hamil dan belum pernah menghidap cacar air, bincanglah dengan doktor tentang risiko anda dan janin anda. Minta suami dan anak-

    anak anda (walaupun mereka sudah mencapai usia remaja) untuk mendapatkan vaksin bagi mengurangkan risiko mereka menghidap penyakit tersebut dan menjangkiti anda. Vaksin cacar air untuk dewasa meliputi 2 dos yang diberikan dalam selang masa 4 minggu.

    - Penulis ialah Pakar Runding Pediatrik, bekas Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Positive Parenting. Program Positive Parenting diurus oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan sumbangan geran pendidikan tanpa syarat dari GlaxoSmithKline. Untuk maklumat lanjut, kunjungi www. mypositiveparenting.org


    --- Utusan Malaysia

    Hubungan intim terjejas

    “SAYA berusia 50-an dan merupakan seorang penghidap diabetes yang sedang dalam rawatan doktor. Saya mudah berasa letih dan sering kelihatan tidak bermaya.

    Akibatnya, hubungan intim saya dan isteri juga turut terjejas. Saya sangat berminat untuk mencuba rawatan alternatif atau herba yang mungkin boleh membantu dengan masalah yang membelenggu saya ini.”

    JAWAPAN: Keletihan dan kelesuan merupakan antara simptom yang kerap dirungutkan oleh mereka yang menghidap diabetes. Terdapat beberapa jenis herba yang mungkin boleh melegakan masalah anda.

    Herba ‘Horny Goat Weed’ boleh digunakan untuk melegakan keletihan, meningkatkan fungsi erektil lelaki, selain memberi kesan positif dalam mempertingkatkan keinginan syahwat.

    Gingko juga boleh digunakan kerana ia merupakan antara herba tertua yang mempunyai sejarah penggunaan yang lama kerana manfaatnya dalam memperbaiki aliran darah.

    Gingko merehatkan saluran darah dan merangsang peredaran darah ke seluruh tubuh termasuk ke alat kelamin.

    Bekalan darah yang mencukupi penting untuk membolehkan alat kelamin lelaki menegang atau mengekalkan ketegangan untuk hubungan intim.

    Dalam perubatan Ayurvedik pula, Tribulus popular sebagai tonik kesihatan sistem pembiakan dan dikatakan boleh memperbaiki fungsi seksual.

    Panax Ginseng juga dianggap sebagai salah satu herba afrodisia (perangsang keinginan seks).

    Ginseng didapati dapat memberi manfaat kepada mereka yang sering keletihan, insomnia dan kemurungan yang turut menjejaskan prestasi seksual.

    Antara herba lain yang pernah digunakan untuk memperbaiki masalah kemerosotan fungsi seksual termasuklah Muira Puama, Withania dan Damiana.

    Bagi kaum lelaki, Muira Puama membantu mereka yang kekurangan keinginan seks serta kesukaran untuk mengekalkan ereksi manakala bagi wanita pula, masalah sama mungkin boleh dibantu dengan menggunakan Damiana yang dikatakan boleh merangsang keinginan seks dan kepekaan klitoris.

    Gabungan herba-herba ini tentunya lebih baik kerana kesan meluasnya kepada kesihatan secara umumnya.


    --- Utusan Malaysia

    Tidur tidak nyenyak tingkat risiko diabetes

    RISIKO menghidap diabetes akan meningkat dengan mendadak jika anda tidak mendapat tidur yang nyenyak untuk tiga malam berturut-turut.

    Kajian di Sekolah Perubatan Universiti Chicago mendapati gangguan tidur untuk tiga malam berturut-turut ini menyebabkan keupayaan badan memproses glukosa (gula) jatuh dengan teruk di samping meningkatkan bilangan garis usia dan kulit kedut di muka.

    Menurut penyelidik kajian ini, ujian sensitiviti insulin peserta menunjukkan kemerosotan sehingga 25 peratus menyebabkan kandungan gula (yang gagal diproses) lebih tinggi di dalam darah.

    Penemuan ini mungkin membuktikan kaitan masalah tidur yang lebih teruk di kalangan warga emas dan mereka yang obes dengan peningkatan kes diabetes.

    Golongan dewasa dianggarkan mendapat antara 80 hingga 100 minit tidur nyenyak setiap malam sementara warga emas melebihi umur 60 tahun pula hanya mendapat 20 minit tidur nyenyak setiap malam.

    Tidur nyenyak atau ‘tidur gelombang perlahan’ dianggap paling ‘memulihkan’ bagi menjernihkan semula pemikiran dan merehatkan badan.

    Hasil kajian ini menunjukkan penjagaan kualiti tidur mungkin dapat membantu mengelakkan atau sekurang-kurangnya melambatkan seseorang menghidap diabetes jenis kedua.

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...