Google
 



Selasa, 14 Mei 2013

Bakal doktor, 3 pelajar menyamun

CHANG KEONG menunjukkan pistol menembak cicak dan baju yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh semalam.


IPOH – Empat lelaki termasuk seorang bakal doktor yang sedang menjalani latihan di sebuah hospital awam di sini direman lima hari bermula semalam selepas didakwa menyamar sebagai anggota polis dan menyamun seorang peniaga di Jalan Datuk Onn Jaafar di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.25 pagi, doktor pelatih bersama tiga pelajar sebuah kolej swasta di sini yang berusia 21 hingga 26 tahun menaiki sebuah kereta Mercedes ketika bertindak menghalang kenderaan seorang peniaga berusia 30 tahun dan memperkenalkan diri masing-masing sebagai anggota polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, bakal doktor yang berusia 26 tahun itu kemudian keluar dari kereta menuju ke kereta mangsa sebelum membuka pintu kenderaan mangsa lalu menumbuk bahagian dada peniaga itu.

“Suspek yang memakai vest lutsinar polis memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum menunjukkan kad kuasa tertulis ‘Agensi Khas Malaysia’ berpangkat Timbalan Penguasa. Suspek juga cuba menunjukkan kononnya terdapat pistol terselit pada pinggangnya.

“Selepas itu suspek sama meminta wang RM350 daripada mangsa dan mengugut akan membawa mangsa ke balai polis jika enggan memberi wang. Seorang lagi suspek kemudian masuk ke dalam kereta peniaga itu sebelum membawa mangsa ke sebuah bank di Jalan Sultan Idris Shah di sini bagi mengeluarkan wang daripada mesin pengeluaran wang automatik,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini semalam.

--- KOSMO

Sabtu, 29 Disember 2012

Cuepacs Mahu Kerajaan Umum Jadual Gaji Secepat Mungkin




KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Cuepacs Sabtu mahu kerajaan mengumumkan jadual gaji yang lengkap untuk pekerja sektor awam secepat mungkin bagi memastikan mereka dapat menikmati pergerakan gaji yang mantap.

Setiausaha Agung kongres itu Loke Yim Pheng berkata dengan adanya jadual gaji yang baru, ia juga dapat mengatasi masalah pekerja yang akan menghadapi masalah mencapai tahap gaji maksimum atau 'gaji mati' tahun depan.

"Awal tahun depan, dianggarkan hampir 50,000 penjawat awam akan menikmati gaji maksimum, kalau mereka tidak ada jadual gaji yang lengkap, bermakna mereka tidak dapat pergerakan gaji," katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, Loke yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil guru dari India yang mahir dalam Bahasa Inggeris mengajar di sini merupakan cadangan yang baik.

Beliau berkata kemasukan guru dari negara luar dapat berkongsi kepakaran dan idea serta amalan baik dengan guru di negara ini bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif.

"Tetapi, untuk jangka panjang, kita perlu membina dan membentuk satu kumpulan guru yang betul-betul berkualiti dan bertaraf antarabangsa, justeru mereka juga boleh berkongsi idea, kefasihan dalam Bahasa Inggeris dengan negara luar," katanya.



-- BERNAMA

Selasa, 30 Oktober 2012

Lebih 1,000 graduan kejururawatan akan dilantik berkhidmat dengan kerajaan

2012/10/30
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan membuat pengambilan baru seramai 1,681 orang graduan lepasan diploma kejururawatan untuk berkhidmat di Kementerian Kesihatan pada Disember ini.

Proses temuduga akan dilaksanakan pada 10 hingga 12 November di 85 pusat temuduga di seluruh negara, kata menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Liow dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan bersetuju untuk mengatasi masalah pengangguran graduan lepasan diploma dengan menambah bilangan jawatan bagi jururawat di kementerian.

Beliau berkata, pada masa yang sama kementerian itu juga, dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi, akan melaksanakan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) khusus bagi graduan lepasan diploma kejururawatan yang masih menganggur.

Program SL1M Graduan Kejururawatan ini adalah satu daripada usaha kerajaan untuk memperkasa graduan dengan kemahiran dan pengalaman klinikan yang boleh meningkatkan kebolehan mereka untuk memperoleh pekerjaan sebagai jururawat.

Liow juga berkata, program SL1M ini akan membabitkan kerjasama sektor swasta iaitu hospital dan klinik swasta melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Graduan yang terpilih bagi mengikuti program ini akan ditempatkan di hospital atau klinik swasta yang berdaftar bagi tempoh sekurang-kurangnya satu tahun untuk meningkatkan serta memantapkan kemahiran dan pengalaman klinikan para graduan," katanya.

Beliau berkata, graduan juga akan didedahkan dengan kemahiran insaniah atau 'soft skills' menerusi program latihan dalaman yang dilaksanakan oleh hospital atau klinik swasta yang berkaitan.

Bagi graduan yang tamat mengikuti program SL1M ini boleh terus diambil berkhidmat oleh hospital atau klinik swasta berkenaan ataupun memohon untuk berkhidmat di hospital atau klinik swasta yang lain.

Menurut Liow, program itu akan dilancarkan pada pertengahan Disember juga.

"Kementerian berharap program ini akan menarik minat hospital atau klinik swasta sebagai satu daripada CSR dan pada masa yang sama setiap hospital atau klinik swasta yang mengikuti program ini akan mendapat Insentif Potongan Cukai Berganda," katanya.

- BERNAMA

Sabtu, 13 Oktober 2012

15 premis makanan diarah tutup

ARKIB : 13/10/2012

RANAU 12 Okt. - Sebanyak 15 premis makanan di pekan Ranau dan Kundasang diarah ditutup serta-merta kerana gagal mematuhi garis panduan kebersihan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Penolong Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Ranau, Saimin Wahaman berkata, arahan itu melibatkan 11 premis di pekan Ranau dan empat premis di Pekan Kundasang.
Walau bagaimanapun, jika kesalahan itu diatasi dalam masa 14 hari mereka akan dibenarkan untuk beroperasi semula.

"Premis tersebut didapati tidak mematuhi pelbagai siri garis panduan kebersihan seperti pekerja tidak memiliki kad pemeriksaan kesihatan di samping tahap kebersihan dapur, penyimpanan bahan mentah, kebersihan penyediaan makanan dan tahap kebersihan tandas tidak memuaskan," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 73 premis telah diperiksa dalam operasi bersepadu antara Jabatan Kesihatan Ranau dan Majlis Daerah Ranau itu.

Rabu, 26 September 2012

Pembantu kesihatan, jururawat di UMS-KAL

ARKIB : 26/09/2012

Ismail Ali (empat dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Dr. Zaini Hussin (empat dari kanan) pada kunjungan hormat UMS-KAL ke Hospital Labuan, baru-baru ini. 
 
LABUAN 25 Sept. - Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan bersedia menempatkan seorang pembantu kesihatan dan jururawat bagi memastikan tahap perkhidmatan kesihatan mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) lebih terjamin.

Pengarahnya, Dr. Zaini Hussin berkata, pihaknya akan mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan dan mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan Jabatan Kesihatan Labuan sebelum hasrat murni itu dapat direalisasikan.

Katanya, penempatan kakitangan Kementerian Kesihatan di kampus tersebut perlu dibincangkan terlebih dahulu kerana ia melibatkan polisi kementerian.

Menurutnya, cadangan menempatkan seorang pembantu kesihatan dan jururawat di universiti itu adalah selepas waktu pejabat antara pukul 6 petang sehingga 10 malam bagi memberi perkhidmatan kepada kira-kira 2,000 mahasiswa dan 300 kakitangan serta pensyarah UMS-KAL.

"Pihak kami bersedia membincangkan cadangan pihak pengurusan UMS-KAL itu bagi membantu merawat warga kampus terutama mahasiswa selepas waktu pejabat," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengarah UMS-KAL, Prof. Madya Dr. Ismail Ali dan rombongan ke Hospital Labuan.

Hadir sama, Pegawai Perubatan, Dr. Adam Firdaus Dahlan; Penolong Pendaftar Kanan Pentadbiran UMS-KAL, Musnin Mattersah dan Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMS-KAL, Norhanizah Adnan.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan juga mencadangkan sebuah klinik bergerak sebagai cadangan tambahan sekiranya kakitangan tersebut tidak dapat ditempatkan di kampus berkenaan.

Jelasnya, cadangan sebuah klinik bergerak merupakan alternatif terbaik jabatan itu bagi memastikan kebajikan warga kampus dapat dijaga.

Sementara itu, Ismail berkata, penempatan kakitangan yang bertauliah daripada Jabatan Kesihatan akan dapat membantu meringankan beban mahasiswa yang ditimpa penyakit.

Isnin, 3 September 2012

Penawar malaria hampir ditemui

ARKIB : 03/09/2012

CAPE TOWN 2 Sept. - Saintis percaya, mereka kini semakin hampir mencipta penawar bagi penyakit malaria.

Sepasukan penyelidik dari Universiti Cape Town di Afrika Selatan, baru-baru ini menemui sebatian yang dipanggil MMV390048 yang mungkin mampu menyekat penyebaran parasit itu daripada manusia kepada manusia.

Rawatan konvensional gabungan pelbagai ubat untuk penyakit malaria sebelum ini, hanya berkesan untuk jangka pendek memandangkan parasit malaria didapati kebal terhadap semua ubat berkenaan.
Bagaimanapun, pasukan penyelidik yang diketuai Profesor Kelly Chibale berkata, rawatan baru ciptaan mereka mampu 'membunuh parasit malaria' serta merta.

Menteri Sains dan Teknologi Afrika Selatan, Naledi Pandor berkata, penemuan itu adalah kejayaan penting dalam usaha untuk mengurangkan penyakit malaria di negara ini.

Sebatian baru tersebut mempunyai kekuatan menentang parasit malaria sepanjang kitaran hidupnya dan kerana itu jugalah ia mampu menghentikan penyebaran parasit antara manusia.

Pada 2010, malaria dianggar menyebabkan 655,000 kematian di benua Afrika dengan kebanyakannya kanak-kanak. - AGENSI

Sabtu, 14 Julai 2012

Bagaimana Untuk Menyiapkan Diri Bagi Sesi Temuduga Dan Berjaya


07 Julai, 2012 22:32 PM

Oleh Hazlinda Hamzah

PETALING JAYA, 7 Julai (Bernama) -- Dengan beratus-ratus orang memohon untuk mengisi jawatan yang sama, termasuk mereka yang baru menamatkan persekolahan, graduan dan mereka yang ingin bertukar majikan, peluang untuk dipanggil menghadiri temuduga adalah tipis.

Dan walaupun mereka dipanggil untuk menghadiri temuduga, melepasi proses saringan pula begitu sukar sekali.

Sementara majikan mempunyai begitu banyak pilihan dalam mengisi kekosongan, mereka yang berharap untuk diterima bekerja sering kali kecewa. Di mana silapnya?

Sekarang ini, persiapan rapi perlu serta kebijaksanaan dalam memohon jawatan dan melepasi proses saringan. Bagaimanapun, nasib juga memainkan peranan kerana beratus-ratus orang yang memenuhi segala syarat memohon jawatan yang sama.

PENAMPILAN PENTING

Tanggapan awal penting. Ini satu daripada syarat penentu yang pencari kerja perlu tahu sama ada dalam memohon jawatan atau menghadiri temuduga.

Tanggapan awal ini bermula dengan surat permohonan yang ringkas, menyeluruh dan menarik yang akan menarik perhatian majikan dan menambah peluang untuk dipanggil menghadiri temuduga.

Tetapi sekarang ini majikan lebih suka mengadakan temuduga terbuka dan dengan itu surat permohonan tidak lagi perlu.

Bagaimanapun, syarat itu kekal. Untuk meyakinkan bakal majikan, penampilan fizikal semasa menghadiri temuduga yang menunjukkan tanggapan pertama adalah penting.

Jadi calon-calon yang menghadiri temuduga dinasihatkan berpakaian elok - bersih dan kemas - sesuai dengan tuntutan jawatan dan status syarikat yang mereka mahu bekerja.

�Setiap kali anda berjalan masuk ke bilik temuduga, tanggapan awal tercetus secara automatik. Panel temuduga akan meneliti pakaian anda,� jelas Sujitha Rajaratnam, Pengarah Sumber Manusia Akzo Nobel Decorative Paints Malaysia baru-baru ini.

Tanggapan pertama ini membawa impak segera. Daripada pakaian yang dipakai, sehinggalah pada aksesori pelengkap dan cara seseorang itu berjalan atau duduk, akan diteliti apabila calon memasuki bilik temuduga.

�Semua orang bermula dengan cara yang sama, dan begitu juga saya. Saya pernah melihat mereka yang berpakaian elok dan mereka yang tidak kisah dengan faktor penampilan semasa temuduga. Mereka seharusnya tahu yang seluar jeans dan selipar tidak boleh dipakai untuk temuduga, katanya.

Pakaian kemas perlu diiringi sikap yang betul.

"Sikap yang betul adalah faktor penting bagi majikan dalam melakukan pilihan yang tepat,� jelas Sujitha lagi.

KOMUNIKASI LEBIH BAIK DIPERLUKAN

Sujitha yang terbabit dalam proses merekrut petugas, mengutarakan satu kelemahan serius yang sering diperhatikan pada calon semasa temuduga.

"Saya mendapati kelemahan dalam kemahiran berkomunikasi dalam kebanyakan temuduga yang dijalankan hari ini. Dan memperbetul kelemahan ini adalah penting. Kami sentiasa mencari bakat-bakat baru dan sesiapa sahaja boleh menikmati laluan kerjaya yang hebat di Akzo Nobel,� katanya.

"Sebagai pengamal HR, saya akan memberi penekanan yang lebih kepada kemampuan calon-calon untuk meyakinkan bakal majikan mereka apabila berkomunikasi semasa sesi temuduga,� kata Sujitha.

Calon-calon perlu meyakinkan panel yang membuat pemilihan akan kemampuan komunikasi mereka semasa temuduga.

Pemerhatian Sujitha juga menunjukkan graduan institut pengajian tinggi swasta nampak lebih terbuka dan menonjol semasa temuduga tidak seperti rakan-rakan mereka daripada institut pengajian tinggi awam.

�Saya mahu lihat lebih ramai graduan daripada universiti-universiti awam menunjukkan kemampuan mereka petah bercakap termasuk memberikan pandangan dan pendapat mereka terhadap perkara-perkara tertentu.

DOKUMEN

Semasa temuduga, ringkasan butiran peribadi atau curriculum vitae (CV) mesti disediakan untuk dirujuk oleh mereka yang mengendalikan temuduga. CV ini perlulah ringkas, padat dan lengkap.

Format CV paling sesuai adalah tidak lebih daripada dua muka surat dan harus mengandungi butir-butir seperti pengalaman kerja, kelayakan akademik dan maklumat terkini pekerjaan semasa mereka.

Pemohon juga perlu menyusun kemas dokumen-dokumen mereka di dalam folio, bersama-sama dengan CV dan sijl-sijil asal, selain membawa bersama mereka sebatang pen dan kertas kosong semasa temubual jika terdapat keperluan.

Selain daripada itu, mungkin terdapat keperluan untuk mengisi borang-borang sebelum temuduga bermula.

Ingat, tambah Sujitha, borang-borang ini perlu diisi lengkap kerana ia membantu penemuduga untuk mendapatkan butir-butir yang diperlukan oleh syarikat sekilas pandang.

�Seseorang perlu menulis semula. Jangan biarkan penemuduga untuk menghalusi CV panjang lebar sekali lagi. Pindahkan semua butiran yang perlu pada ruang-ruang yang disediakan pada borang. Ia tidak mengambil masa yang lama untuk melengkapkannya,� tambah beliau.

BUATLAH SEDIKIT KAJI SELIDIK

Seseorang calon temuduga perlu tahu mengenai latar belakang syarikat yang berkenaan. Mereka perlu melakukan sedikit kaji selidik akan produk-produk keluaran syarikat itu dan industri.

Ia pasti berfaedah untuk mengetahui maklumat lanjut syarikat berkenaan dan bagaimana kedudukannya jika dibandingkan dengan penggiat industri atau pesaing berkaitan.

Calon-calon juga boleh melayari laman web syarikat untuk mengetahui mengenai pelanggan syarikat, selain tumpuan dan pendekatannya.

DISKRIPSI TUGAS

Satu lagi petua penting adalah untuk meneliti bidang tugas jawatan yang dipohon itu.

Memahami bidang tugas akan membolehkan calon-calon lebih bersiap sedia untuk menghadapi temuduga, khasnya mengenai kesesuaian calon itu sendiri bagi jawatan berkenaan.

Dan akhir sekali, mereka yang menghadiri temuduga perlu berada di tempat yang sepatutnya tepat pada masa dan perlu berada dalam keadaan relaks semasa sesi temubual.

Graduan hari ini perlu mencari jalan meningkatkan peluang untuk mencari pekerjaan daripadak mengeluh yang mereka ketinggalan dalam persaingan mencari kerja.

Jadi apa pula kata mereka yang bersiap untuk memasuki pasaran kerja? Mohd Alif Osman, seorang penuntut tahun akhir program diploma seni hias dalaman yang berusia 23 tahun yakin akan masa depannya dalam industri itu.

�Sebelum ke temuduga, seorang graduan perlu mengetahui keperluan sebenar industri dan baca akan latarbelakang syarikat yang mereka berminat untuk bekerja. Ini pasti dapat membantu saya menghadapi temuduga dengan lebih baik,� jelas Mohd Alif.

Chun Ee Voon, 20, seorang penuntut Malaysian Institute of Arts juga menyuarakan kesediaannya untuk merebut apa-apa peluang pekerjaaan selepas menamatkan kursus dua setengah tahun.

Sekarang ini bukan mudah untuk mendapatkan peluang pekerjaan, jadi mereka yang sedang mencari pekerjaan perlu menghargai setiap peluang temuduga dan berusaha ke arah menambah baik kemahiran komunikasi dan pengetahuan mereka untuk meyakinkan bakal majikan.

-- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...